Monday, September 29, 2014

Pulau Perhentian ... Penyu di dasar lautan...

Kalau catatan terdahulu saya berkongsikan mengenai snorkeling di Pantai Penyu sebelum melihat sendiri penyu di Turtle Point sekitar di Teluk Pauh, kali ini saya ingin berkongsikan pula mengenai gambar penyu yang dirakamkan sendiri di kawasan ini. 

Sebenarnya saya merakamkan sekitar 4 keping gambar di bawah ini sahaja  dan selebihnya dirakamkan oleh pemandu bot yang kami ambil pakej untuk snorkeling ini. 



Mereka lebih cekap dan mahir berenang ke dasar dan mempunyai daya ketahanan pernafasan yang panjang. 



Manakala saya tercungap-cungap mencari udara biarpun baru setengah minit menyelam ke dasar. 

Keduanya mereka memakai tapak kaki atau fin yang membolehkan mereka pantas menyaingi penyu yang berenang di dasar ini. 



Apapun jangan menyeksa diri untuk mengikut penyu berenang kerana dah kerjanya dan cara hidupnya berenang sebegitu. 

Jadi saya berada di permukaan air untuk melihat penyu ini mendiamkan diri di dasar. 

Rupanya penyu tersebut bukan mendiamkan diri tetapi mereka memakan sesuatu dari celahan pasir-pasir dasar. 



Kemudian saya bertanya kenapa penyu ini berada di kawasan pengairan ini sahaja dan jawapan yang diterima adalah di sini adalah kawasan sumber makanan yang paling sesuai dan banyak untuk penyu. 



Jarak antara dasar lautan dan juga permukaan juga tidak terlalu dalam kerana penyu perlu naik ke permukaan untuk bernafas sebelum turun semula ke dasar. 

Saya sedikit terganggu dengan sikap beberapa penyelam dari bot yang lain kerana mereka begitu ghairah untuk memegang penyu malah aksi mereka mengejar penyu juga amat menjengkelkan kerana mendatangkan ketakutan kepada si penyu. 



Apalah salahnya jika mereka sekadar berenang dengan sedikit jarak yang memberi keselesaan ataupun tidak membentuk ancaman kepada penyu-penyu ini. 

Kalau penyu-penyu ini merasakan pergerakan mereka terbatas dan terganggu maka mungkin suatu hari nanti mereka akan meninggalkan kawasan ini untuk mencari kawasan yang lebih selesa tanpa gangguan manusia.  

Ibarat pesanan dari pemandu bot kami "tak payah pegang penyu, anda tak masuk dalam buku rekod dunia pun...." 

Pulau Perhentian .. melihat penyu...

dari catatan keempat :

Catatan kelima ini masih di Pulau Perhentian Besar dan masih lagi mengenai aktiviti snorkeling yang kami ikuti secara pakej. 


Dari Pantai Penyu, kami bergerak ke kawasan Teluk Pauh dan sebenarnya kami menjangkakan akan melakukan snorkeling di kawasan teluk ini. 

Pantai di teluk ini dikatakan antara yang tercantik di Perairan Pulau Perhentian dan di sinilah terletaknya Perhentian Island Resort.

Namun rupanya kami dibawa ke situ untuk melihat penyu yang kebetulan berada di kawasan ini.

Pemandu bot kami memberitahu kami bahawa kawasan ini dikenali sebagai Turtle Point kerana penyu-penyu akan berada di sini sepanjang masa untuk mencari makanan. 


Sumber makananya yang terdapat di dasar laut teluk ini banyak dan kedalamannya pula tidak terlalu jauh.

Ini memudahkan penyu naik semula ke permukaan air untuk mendapatkan udara. 

Pemandu bot kami juga agak tegas dengan mengatakan di larang menyentuh penyu, menangkap atau cuba mengancam penyu yang ditemui. 


Hanya berenang untuk melihatnya sahaja. 

Kami segera turun dan turut bersama kami beberapa penyelam dari bot-bot lain yang mulai tiba selepas itu. 

Jumlahnya hampir 20 orang dan saya antaranya. 

Kawasan ini hanya sesuai untuk mereka yang tahu dan mahir melakukan snorkeling dan berenang. 


Jadi isteri dan anak-anak saya hanya melihatnya dari atas bot bersama mereka yang sama tidak mahu turun. 

Kami tidak menunggu lama kerana kami telah mendapat isyarat dari pengiring kami bahawa terdapat seekor penyu berada di kawasan ini . 

Masing-masing segera ke kawasan yang ditunjukan dan dari jaral 3 meter kami jelas melihat seekor penyu sedang berehat di dasar lautan ini dan tidak bergerak.


Terdapat beberapa pelancong asing yang mahir dan mula menyelam ke dasar dan seperti memahami arahan pemandu bot,  mereka sekadar berada di sekitarnya sebelum naik ke permukaan semula. 

Kami yang tidak mahir menyelam ini sekadar melihat dari atas sahaja. 

Tidak lama kemudian, penyu mula melakukan pergerakan dan berenang di dasar dan rata-rata kami segera berenang mengikut arah pergerakanya di sekitar kawasan. 

Memang penat kerana penyu tersebut masih berenang dan berada di bawah sahaja 

Ketika ini saya sudah terasa sudah penat dan mulai memanjat bot kembali. 

Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan penyu akan naik ke permukaan. Lantas kamera saya menanti dari atas bot pergerakan penyu. 

Mudah sahaja, tengok sahaja pergerakan penyelam yang lain yang rapat mengikuti penyu tersebut. 

Akhirnya ia muncul di atas permukaan seketika. 
  


Anak-anak saya yang berada di tepi bot mulai menjerit keseronokan kerana melihat penyu yang begitu besar muncul di tepian bot. 

Selama ini mereka hanya mampu melihatnya dari youtube dan buku sahaja. 

Saiznya saya anggarkan melebihi 1 meter lebar dan panjang sekitar 1.5 meter panjang. 



Ketika ini semua penyelam terasa teruja sangat dan mereka mula mengejar rapat penyu yang timbul di permukaan ini . 

Manakala pemandu bot menjerit kuat supaya tidak menyentuh penyu tersebut dan mengulanginya beberapa kali. 

Cuma kekesalan saya timbul kerana masih ada seorang dua yang masih engkar dan bangga menepuk bahagian belakang penyu tersebut. 



Penyu ini  hanya mengambil beberapa saat sahaja untuk timbul sebelum berenang semula ke dalam air dan timbul kembali dengan pantas dan hanya yang mempunyai kekuatan dan kemahiran berenang seperti uncle in sahaja yang mampu mengikut penyu tersebut . 

Beberapa pelancong asing juga turut menyerah kalah untuk mengejar tetapi mereka sama seperti yang lain, merasa kepuasan dapat melihat penyu dari jarak yang amat dekat. 


Saya nampaknay kena terus berlatih berenang untuk melihat penyu di kunjungan yang akan datang ... Insyallah ..

Cuma ingat.. hormati makhluk istimewa ini jika anda ke sana. 

Jangan mengancam atau membuatnya kurang selesa jika anda menemuinya kerana kami juga ingin bertemu dengannya sekali lagi ...

Pulau Perhentian .. Snorkeling @ Teluk Keke

sambungan dari catatan keempat:

Antara lokasi terbaik untuk anda belajar snorkeling adalah di Teluk Keke di Pulau Perhentian Besar terutama ketika air surut. 


Kenapa saya memilih lokasi ini?

Mudah. Pertama ianya berada di dalam pakej yang saya ambil.

Namun saya mengemari lokasi ini kerana ianya mempunyai perairan cetek yang amat landai.

Parasnya membolehkan anak-anak kecil dan isteri saya melakukan snorkeling sepuasnya dan melata pula mereka menjelajah kawasan ini.  

Batu karangnya pula agak banyak walaupun tidaklah semewah batu karang yang besar seperti di beberapa lokasi lain. 


Namun bagi saya dan mereka sangat mengemari kawasan ini. 

Tiada alunan ombak yang kuat di sini. Malah untuk melihat ombak membelah pantai juga agak sukar. 

Anak saya amat teruja kerana sebaik sahaja menghulurkan roti, sekumpulan anak-anak ikan mula mengerumuni kawasannya. 

Malah ada yang berenangan sekeliling dirinya dan sekali sekala dia menjerit keseronokan. 


Adiknya yang selalunya berada di tepi pantai bermain pasir juga kelihatan sudah berani masuk ke air mengejar ikan-ikan kecil itu. 

Manakala mamanya pula sendirian pula ke sana sini menggunakan tangan merangkak melakukan snorkeling. 


Sebenarnya kawasan Teluk Keke ini jika air pasang agak dalam juga. Ini boleh di lihat melalui paras batu karang yang masih tinggal di batuan di tanjungnya yang menandakan paras air ketika pasang. 

Manakala di sebelah Teluk Keke adalah Tanjung Batu Layar. 


Di sebelah Tanjung Batu Layar adalah Tanjung Batu Lochek yang mempunyai pantai yang sama landainya dengan Teluk Keke ini. 

Kami pergi ke bahagian pantai ini pada hari keesokanya tetapi ketika itu masih air pasang. 



Jika anda mahu mencari tempat yang sesuai, saya mencadangkan anda mengunjungi kawasan kedua-dua pantai di Teluk Keke ini untuk belajar melakukan snorkeling sebelum mencuba di pantai atau lokasi yang lain. 




Saya tidak merasa takut untuk meninggalkan sedikit jauh anak-anak saya ketika saya dan isteri sama-sama melakukan snorkeling di kawasan sekitarnya. 

Mereka juga tidak takut untuk bersendirian seketika kerana tarikan pada anak-anak ikan sedikit melekakan mereka. 



Melihat pula pemandangan dari pantai ke arah Pulau Perhentian Kecil memang sangat mengagumkan. 

Cuma kami ke sini sekitar pukul 5 petang yang menyaksikan matahari hampir terbenam dan warna biasan kehijauan air sudah mulai pudar. 

Mungkin jika lebih awal ke sini, pemandangannya mungkin lebih menarik dan mempersonakan. 


Jadi bagaimana ? mahu ke Pulau Perhentian?


Pulau Perhentian... snorkeling @ Penyu Point

sambungan dari catatan yang terdahulu di Pulau Perhentian;

Destinasi seterusnya adalah Penyu Point yang terletak di kawasan pantai di Perhentian Island Resort. 


Pantai ini dikatakan antara yang tercantik di pulau ini. Air lautnya menghijau warnanya ketika matahari mulai terbit sehingga ke waktu petang. 

Koleksi batu karang juga sangat banyak dan hampir dengan pantai cuma agak dalam sedikit berbanding di kawasan lain. 

Yang menjadikannya istimewa, koleksi ikan-ikan di sini dikatakan lebih besar dan mudah dihampiri. 

Jika anda ingin mudah melakukan snorkeling di sini, anda pilih sahaja menginap di Perhentian Island Resort dan boleh melakukan aktiviti tersebut sepanjang masa. 

Selain tarikan koleksi terumbu karang yang begitu banyak di sini, kelibat penyu-penyu sedang mencari makan adalah tumpuan utama di sini malah di sinilah sahaja anda akan menemui penyu dengan mudah.



Malah keterujaan anda untuk melihat penyu membuatkan anda mulai lupa dan leka untuk melihat koleksi batu karang di kawasan ini. 

Ini berdasarkan pengalaman kami yang sepatutnya meluangkan masa melakukan snorkeling di kawasan ini tetapi 30 minit yang diberikan hanyalah dihabiskan untuk seekor penyu yang kami temui. 

Saya akan kongsikan lagi dua catatan khas mengenai kisah penyu di sini....



Pulau Perhentian ... snorkeling at Pantai Penyu

Sambungan dari Catatan kedua;

Untuk berkongsikan pengalaman kami melakukan snorkeling di sekitar Pulau Perhentian Besar, saya akan kongsikan secara lokasi yang kami pergi. 


Lebih menarik untuk anda melihat sendiri keunikan setiap lokasi yang telah kami pergi dan mungkin di masa akan datang jika anda ke sana anda boleh memilih lokasi yan anda suka. 

Apapun saya mulakan dengan sedikit catatan mengenai snorkeling itu sendiri. 

Apakah itu snorkeling:

Selaman separa badan di permukaan air. 

Badan masih terapung di permukaan air manakala muka dan sebahagian bawah badan akan menghadap dasar air untuk melihat batu karang, ikan-ikan dan apa juga di dasarnya. 


Anda akan bernafas melalui tiub pernafasan yang akan berada di atas permukaan air melalui pernafasan mulut anda. 


Peralatan Snorkeling?

Yang lengkap adalah snorkel itu sendiri iaitu topeng muka dengan menutup hidung dan alat penafasan yang akan menyalurkan udara terus ke mulut anda untuk bernafas. 

Alat saluran penafasan atau tiub biasanya berukuran lebih 30 cm panjang dan perlu dipastikan sentiasa berada di dalam mulut dengan mengigitnya dan tube pernafasan melebihi paras air ketika melakukan selaman ini.


Lebih lengkap adalah dengan memakai fin iaitu selipar itik untuk memudah pergerakan tetapi bukan keperluan utama. 

Lebih selamat pula memakai jaket keselamatan yang akan memberikan apungan kepada badan anda terutama yang masih belum mahir untuk berenang sendirian. 


Siapa yang boleh melakukan snorkeling?

Sesiapa sahaja asalkan ada keberanian dan ingin melihat khazanah laut. 


Untuk anak-anak kecil, jika anda yakin kebolehan anak anda untuk melakukan snorkeling ini anda boleh membenarkan dan sangat disyorkan dibawah pengawasan anda sepenuhnya dan memilih lokasi yang sesuai yakni tidak terlalu dalam.

Percayalah, mereka akan lebih teruja berbanding anda sendiri. 


Waktu yang sesuai untuk melakukan snorkeling:

Waktu pagi dan petang malah sepanjang hari asalkan lautan tidak berombak ataupun sedang hujan.


Lebih selesa untuk menghayati keindahan dasar lautan tanpa perlu berenang melawan arus atau menghadapi risikonya. 

Waktu air surut lebih mendekatkan anda ke dasar lautan dan dapat melihat secara jelas batu karang kerana airnya cetek berbanding air pasang.


Apa yang perlu dibawa ketika snorkeling?

Saya mencadangkan anda memakai 'sunburn lotion' kerana anda akan berada di bawah panas matahari yang terik tanpa anda sedari kerana seronok melakukan snorkeling ini. 

Bawa bersama air masak yang cukup untuk menghilangkan dahaga dan sedikit snek ringan terutama yang membawa anak kecil kerana mereka mungkin lapar di pertengahan aktiviti ini.


Untuk menarik perhatian ikan-ikan kecil bawa bersama roti atau biskut kerana anda pasti gemar melihat ikan mengerumuni anda atau anak anda dengan begitu jinak dan banyak.

Dan jika anda mampu bawa bersama kamera kalis air untuk menangkap gambar batu karang dan ikan. 

Jika tiada tanya pemandu bot samada ada yang menawarkan perkhidamatan sewa kamera untuk jenis berkenaan seperti yang saya lakukan. 


Tips Keselamatan:

Saya mencadangkan anda mengambil pakej yang disediakan kerana pemandu bot akan memantau keselamatan anda sepanjang masa. 


Jangan bergerak sendirian dan melebihi kawasan yang dibenarkan dan di Taman Laut Pulau Perhentian terdapat pagar boya putih yang dipasang sebagai sempadan keselamatan untuk melakukan snorkeling serta kawasan larangan kepada bot-bot.

Untuk siri pertama ini kerana kami amatur, maka kami di bawa ke Pantai Penyu di Perhentian Besar untuk latihan asas. 


Memandangkan hampir 70% di antara kami adalah mahir dalam snorkeling ini maka hanya saya dan keluarga yang memerlukan latihan asas ini manakala yang lain sudah laju melakukan snorkeling. 

Pantai ini di namakan Pantai Penyu kerana di sinilah tempat pendaratan penyu-penyu untuk bertelur di waktu malam. 


Tempatnya amat sesuai kerana cetek di waktu air surut dan batu karang dan ikan kecil jelas kelihatan dan sangat cantik kawasan teluk ini. 

Malah sebaik sahaja bot kami menghampiri pantai ini, semuanya teruja kerana kecantikan dan keindahan pantai ini. 


Anak saya pula sibuk bermain ombak yang tidaklah besar tetapi baginya amat menyeronokan manakala si adik pula sibuk bermain pasir pula. 


Pantai ini juga amat jernih airnya dan dari atas batuan di hujung tanjung kelihatan bewarna hijau dan kebiruan. 

Koleksi gambar kami di Pantai Penyu saya kongsikan. Untuk koleksi batu karang saya akan kongsikan dalam siri catatan seterusnya. 

Saya sebenarnya membawa kamera dalam air saya ke sini tetapi malangnya tidak berfungsi seperti biasa. 

Esoknya saya kembali ke sini dengan menyewa sebuah kamera dalam air.