Saya penyokong Pasukan Pahang sedari kecil kerana saya adalah Orang Pahang.
Menonton perlawanan yang melibatkan pasukan Pahang adalah antara kenangan yang paling saya gemari ketika berkesempatan berbuat demikian setelah memasuki asrama di Kuantan sekitar 1991-1996.
Malah ketika itu setiap nama pemain Pahang mudah meniti bibir kami seasrama dan sekolah dan ketika itu populariti liga Semi Pro memuncak sebelum ianya pudar selepas peristiwa budaya menjual perlawanan ataupun rasuah melanda Malaysia.
Bintang-bintang Pahang ketika zaman itu adalah seperti Dollah Salleh, Zainal Abidin, Azharudin, Azizul Kamaluddin, Azhar Kamaluddin, Mubin Moktar, Khairul Azman, Muadzar yang dibantu dan membantu awang import pahang seperti Alan David Davinson, Igor, Mike Peterson dan beberapa nama lagi bintang menjadi kegilaan kami.
Bukan sekadar menonton perlawanan kalau dapat menonton mereka berlatih di Padang MPK 1 atau MPK 2 sudah cukup teruja.
Untuk menonton perlawanan bukanlah sesuatu yang mudah. Duit saku kami simpang untuk membeli tiket berharga RM 6 kalau tak silap.
Untuk menempuh perjalanan ke perlawanan juga bukan mudah kerana perlu melanggar peraturan asrama atau "panjat tembok".
Risikonya boleh digantung atau dibuang asrama.
Malah menempuh laluan 5 km berjalan kaki juga menjadi cabaran kerana kadangkala berkejaran dengan anjing liar dan juga perlu meniti lorong-lorong di perumahan nelayan di sebelah asrama.
Ketika tingkatan 3 pula kami perlu menantikan sehingga habis tuisyen iaitu selepas pukul 10 malam atau prep dan bergegas ke Stadium Darul Makmur semata-mata untuk menyaksikan baki 15 minit yang selalunya masuk percuma.
Kadang-kala berbaloi pengorbanan kami kerana ada beberapa perlawanan yang menyaksikan 15 minit terakhir itulah menjadi detik jaringan demi jaringan.
Bila pulang selepas perlawanan pastinya wajah kami terbayang kepuasan. Namun cabaran pulang kembali menanti kami bukan sekadar dengan gangguan anjing dan lorang yang gelap tetapi perlu menantikan detik terbaik untuk masuk semula ke Asrama bagi mengelakkan di tangkap abang keselamatan ataupun oleh Warden sendiri.
Pernah juga beberapa orang di kalangan kami tertangkap dan dikenakan tindakan tatatertib.
Masuk pula ke Tingkatan 4 saya amat bertuah kerana berpindah asrama dan kali ini asrama yang saya sertai pula merupakan asrama sukan ataupun projek yang jaraknya sekitar 1.5 km sahaja dari Stadium Darul Makmur.
Istimewanya pula, sebagai salah satu keistimewaan pendedahan yang kami terima adalah menonton perlawanan Bolasepak di Stadium setiap kali Pahang beraksi secara percuma!!!
Maka 2 tahun saya dari 1995 hingga 1996 begitu istimewa. Sangat bertuah rasanya.
Selepas berpindah keluar dari Negeri Pahang untuk bekerja, peluang untuk menyaksikan perlawanan secara langsung selalunya tipis kecuali Pahang bertandang di kawasan negeri saya seperti di Shah Alam ataupun Seremban, Negeri Sembilan.
Dan bilamana saya sudah menetap di Cameron Highlands hanya selepas 8 tahun, dua minggu yang lalu saya kembali ke Kuantan secara kebetulan untuk menemani Isteri yang pergi berkursus.
Peluang itu tidak saya lepaskan dan saya membawa bersama dua anak kecil saya untuk sama menonton walaupun dalam suasana perlawanan yang tertangguh kerana hujan lebat.
Melihat wajah bangga mereka memakai baju jersey Pahang iaitu Kuning dan Biru dan kemudian begitu bangga pual berkongsi cerita dengan rakan-rakan mereka selepas pulang ke Cameron Highlands membuatkan saya turut bangga.
Malah ketika menyaksikan siaran langsung di TV untuk perlawanan bertemu Lion XII dan juga Felda United jelas masih terlihat riak keseronokan kepada mereka dengan pengalaman menyaksikan perlawanan di Stadium Darul Makmur.
Kesudahannya perlawanan ini Pahang Menang 4-0. Tahniah ...
Klik untuk melihat koleksi gambar yang sempat saya rakamkan di SINI.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.