Ini sekadar update mengenai Mossy Forest yang pertama kali saya kunjungi semula untuk tahun 2014.
Dalam catatan yang terdahulu saya berkongsikan kisah 2010, 2011, 2012 dan 2013.
Kali ini membawa anak kecil saya ke sana di hujung dan kali ini kami tidak sekeluarga sahaja kerana rakan dari Egpyt turut bersama sekeluarga.
Cuma kami ke sana selepas ke Tea Centre di Ladang Teh Sungei Palas dan Puncak Gunung Brinchang dan selepas hujan.
Yang ralatnya seawal pintu masuk adalah longgokan sampah yang bertaburan di sekitar pondok rehat dan menunggu.
Malu terasa dengan rakan Arab saya yang juga berstatus "Pelancong Asing" .
Memanjat tangga di permulaan laluan berkayu Mossy Forest agak perlu berhati-hati kerana selepas hujan sememangnya agak licin.
Namun lebih licin di laluan yang terlindung selepas pendakian di tangga laluan masuk ini.
Ini kerana permukaan yang juga terdapat lumut lebih menyebabkan ianya licin selepas hujan.
Lebih terasa adalah suasana yang berkabus di sepanjang laluan ini menjadikan lebih menarik di kala anda kadang kala berada di Negeri Perak atau Negeri Pahang atau di pertengahan sempadan kedua-dua negeri ini ketika di sini..
Yang menarik seperti biasa adalah tumbuhan berlumut yang membaluti pokok-pokok yang renek di sepanjang laluan.
Tumbuhan berlumut juga kelihatan lebih hijau kerana suasana yang lebih lembab dalam tempoh beberapa bulan sebelum ini.
Dalam salah satu catatan saya mengenai Mossy Forest, saya pernah mencadangkan anda memilih waktu-waktu sebegini untuk melihat lumut-lumut yang lebih menghijau warnanya berbanding kekuningan di kala musim panas.
Kami tidak bebas untuk berjalan pantas kerana membawa anak kecil yang perlu lebih berhati-hati meniti titian kayu ini baik ketika mendaki apatah lagi ketika menuruni tangga.
Payung juga perlu dibawa kerana adakalanya di pertengahan laluan, ianya kembali hujan namun kami agak beruntung kerana sekadar renyai-renyai berbanding lebat sebelumnya.
Tiga pondok rehat menjadi pilihan kami untuk berlindung dari hujan. Namun seperti sudah menjadi kebiasaan, sampah-sampah dibuang begitu sahaja di lantai oleh pengunjung terdahulu.
Tolong lebih prihatin wahai pengunjung ke Mossy Forest.
Anda sedang dan telah menikmati pemandangan kelas dunia yang unik.
Pihak Jabatan Perhutanan telah bertungkus lumus menyediakan prasarana pejalan kaki yang amat selesa ini untuk memberi peluang kepada semua orang baik yang muda ataupun tua menikmati pemandangan dan keunikan hutan lumut di puncak 2000 meter dari paras laut tanpa perlu lasak mendaki.
Namun nampaknya benar kata pepatah, diberi madu , tuba dibalas...
Ataupun lebih tepat mungkin barangkali pihak kerajaan tersilap kira kerana memberi "bunga kepada monyet".
Masakan monyet-monyet tidak berekor ini mampu menilai dan menghargai keindahan peluang yang diberikan.
Akibatnya bunga yang cantik bukan dihargai sebaliknya lunyai digengam dan diramas lalu dicampak ke tepi.
Rendahnya mentaliti manusia seperti itu ,.... maka monyet adalah gelaran yang layak buat mereka.
Beberapa kali, kami bertembung dengan sekumpulan pendaki Gunung Irau yang menuruni laluan ini selepas mendaki dan bermalam di puncaknya pada hari sebelumnya.
Saya masih berhutang niat untuk mendaki Gunung Irau ini dari tahun 2012. Harap-harap dapat dilaksanakan sebelum puasa. Insyallah.
Apapun untuk kunjungan kali ini ke Mossy Forest dengan membawa rakan luar memang berbaloi untuk mereka menikmati alam yang 360 darjah berbeza dari lanskap muka bumi mereka.
Keindahan dan keunikkan mossy forest ini perlu di ketengahkan dan menjadi pilihan untuk perlancongan alam secara santai.
Jika anak saya seusia 4 dan 6 tahun serta anak teman saya juga berusia 4 tahun bersama ibunya yang tetap berjubah dan berpurdah menikmati sepenuhnya keindahan Mossy Forest ini, saya rasa ianya bukanlah halangan kepada anda untuk sama-sama menikmatinya juga.
Di beberapa bahagian laluan ke Puncak Gunung Brinchang terdapat beberapa spot menarik untuk melihat keunikan Mossy Forest yang lebih asli zahirnya tanpa laluan pejalan kaki.
Namun sedikit cabaran perlu dihadapi dan Insyaallah saya kongsikan dalam kunjungan saya kelak...
Koleksi gamabar kami di sini ..klik
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.