Dalam catatan yang lepas yang memetik kertas kerja En. Jamaluddin Lamin berkenaan mengenai petikan Kertas Kerja yang ditulis sekitar 1987 oleh beliau mengenai "Smalholder Management in Oil Palm: Malaysian
Experience".
Seperti yang saya janjikan saya akan berkongsikan pula sedikit maklumat bagaimana pembukaan tanah rancangan felda dan apakah keperluannya pula pembukaan bandar baharu.
Mengikut kertas kerja ini, beliau menerangkan bahawa pada tahun 1955 terdapat hampir 116,000 permohonan tanah yang diterima oleh pejabat tanah seluruh negara dan ada di antaranya diragui dan bertindih.
Di atas usaha kerajaan, satu badan kerajaan diwujudkan untuk menyelesaikan tuntutan tanah ini dan antara yang dicadangkan adalah negara memerlukan pelan rancangan yang amat kukuh untuk memastikan pembangunan tanah ini kelak dilakukan seiring dengan pembangunan ekonomi dan sosial.
Maka FELDA ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan tugas utama mempromosikan dan membantu penyiasatan, mewujudkan formula pembangunan, dan memajukan pelan pembangunan atas nama penerokaan tanah di semenanjung.
Pada tahun 1956-60, Felda tidak memainkan peranan secara terus kepada kerja-kerja pembangunan bagi mengelakkan sebarang salah faham fungsi kerajaan negeri atas hak milik tanah namun ianya menyaksikan fasa pembangunan yang amat perlahan dengan hanya 14 skim tanah rancangan dapat dibangunkan dalam tempoh itu melibatkan keluasan 5,910 ha tanah getah.
Hanya selepas itu kerajan persekutuan membuat rancngan dan perjanjian di antara kerajaan negeri, maka pembangunan tanah rancangan dapat dijalankan secara terus dibawah Felda.
Hasilnya dari tahun 1961 hinggalah 1975 seluas 291,818 hektar tanah berjaya dibangunkan terutamanya melibatkan tanaman kelapa sawit diikuti dengan getah dan tanaman yang lain seperti koko, kopi dan tebu.
Pembangunan tanah rancangan bermula dibawah satu pasukan peninjau yang membuat kajian secara menyeluruh mengenai kesesuaian kawasan yang bakal dibangunkan sebagai kawasan penempatan terutamanya mengambil kira keadaan muka bumi, kawasan tidak rendah untuk mengelakan banjir dan kesesuaian jarak untuk peneroka ke tempat kerja.
Kawasan yang sesuai kemudian akan dirancang dan dibangunkan dengan penempatan peneroka yang lengkap dengan kemudahan seperti jalan raya, rumah kediaman, balai raya, masjid, klinik, kawasan perniagaan, pejabat felda dan sekolah.
Namun pembangunan tanah rancangan tidak sepenuhnya dibuat secara bersendirian oleh Felda sebaliknya sumbangan dari agensi kerajaan yang lain seperti di dalam jadual di bawah:
Kawasan penempatan Felda atau dikenali sebagai Tanah Rancangan selalunya dibina dengan kemampuan menempatkan sekitar 300- 400 buah keluarga dengan keluasan sekitar 1,600 hingga 1,800 ekar.
Ianya kemudian bakal menampung kehidupan masyarakat seramai 1600 hingga 2000 orang penduduk hasil perkembangan keluarga peneroka kelak.
Peneroka hanya dibawa masuk setelah kemudahan asas ini telah dibina dan biasanya setiap tanah rancangan mampu disiapkan dalam tempoh 30 hingga 36 bulan selepas kerja meneroka kawasan hutan dimulakan.
Maka bermulalah kehidupan sebagai peneroka yang ketika itu akan menetap di tanah rancangan dengan serba kekurangan seperti kemudahan asas harian seperti air dan elektrik malah menerima ancaman binatang buas juga.
Kedudukan tanah rancangan yang jauh ke kawasan pendalaman dan baharu diteroka menjadikan mereka ini agak terasing malah bagi sesetengah rancangan felda ianya amat jauh dari bandar ataupun pekan terdekat.
Ini diburukan lagi dengan kemudahan pengankutan samada milik sendiri ataupun awam yang amat terhad ketika itu.
Penyelesaian yang dirancang oleh FELDA adalah mewujudkan bandar-bandar baharu yang melengkapkan dan mendekatkan kemudahan dan juga keperluan para peneroka.
Biasanya bandar baharu yang dibuka adalah terletak di kawasan tengah beberapa buah felda yang yang bersebelahan.
Maka kawasan yang lengkap dengan kemudahan kesihatan, perniagaan yang lebih besar, kemudahan pejabat kerajaan dan seumpamanya akan memudahkan urusan pentadbiran dan peribadi peneroka.
Mungkin anda pernah mendengar nama-nama bandar seperti Bandar 32, Bandar 22, Bandar 16 dan sebagainya.
En. Jamaluddin Lamin kemudian mengambil contoh pembangunan Bandar Baru 22 yang terletak di Keratong 2, yang terletak di Wilayah Pahang Tenggara dan pastinya melibatkan agensi kerajaan yang bertanggungjawab iaitu DARA.
Kawasan pembangunannya terletak di tengah-tengah gugusan felda ini menjadikan ianya seperti pusat kegiatan utama kepada masyarakat peneroka sekitarnya seperti sekolah menengah, kawasan industri desa, bengkel-bengkel, pusat kesihatan dan sebagainya.
Apapun kini, mungkin bandar-bandar baharu ini tidaklah begitu aktif berbanding dahulu kerana kemudahan pengangkutan yang lebih baik mampu dimiliki oleh peneroka yang lebih mudah mengunjungi pekan-pekan utama yang berada sekitarnya.
Bagi saya, ini adalah konsep pembangunan yang berjaya dilakukan oleh pihak Felda dan jika anda ke kawasan perladangan atau estet, konsep yang sama dibangunkan oleh pihak syarikat untuk memastikan keperluan pekerja dan juga perniagaan mereka disokong dengan aktiviti sosial ekonomi pekerja dan masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.