Monday, March 31, 2014

Cameron Highlands : Mencari sisi yang berbeza ..siri 4 -;berbasikal bukit ...

Saya pernah berkongsikan catatan "mencari sisi yang berbeza" jika di di Cameron Highlands.
Catatan pertama, mengenai beberapa tempat yang agak terpencil seperti Jalan Shum Yip Leong, Water Cress di Jalan Boh dan kebun-kebun sayur.. baca di sini 
Siri keduanya pula ke perkampungan Orang Asli .. di sini
Manakala siri ketiga adalah berkisar cabaran ringan berkhemah dan berkembara ringkas di laluan jungle trekking di sekitarnya . di sini catatannya..
Untuk siri keempat saya telah janjikan mencari sisi berbeza dengan  berbasikal di sekitar Cameron Highlands.
Namun agak lama saya berjanji untuk berkongsikan catatan ini kerana tidak berkesempatan untuk melakukannya sendiri.
Apapun untuk catatan sisi yang berbeza siri keempat, saya ingin berkongsikan bagaimana dan ke mana untuk mengisi dan mencari sisi yang berbeza di Cameron Highlands.

Ianya berdasarkan perkongsian saya dan juga rakan-rakan di sini serta saya kongsikan juga coretan rakan Facebook saya yang telah melakukannya..

kesian si kecil ini.. lama dah dalam store.... iskh iskh ...

Umum mengetahui bahawa pemandangan di Cameron Highlands sememangnya cantik ditambah dengan suasana nyamannya yang amat mendamaikan...
Oleh itu saya mencadangkan anda meninggalkan kereta anda apabila sampai di sini.

Persiapkan basikal bukit untuk anda merasai sendiri cabarannya yang boleh anda pilih sebagai pilihan sisi yang berbeza di Cameron Highlands. 
Lebih tenang jika anda memilih hari bekerja untuk ke sini. Ambil cuti tahunan anda. Biasanya hujung minggu suasana sesak dan sangat sesak di musim percutian. 
Anda boleh memilih cabaran berbasikal dari peringkat yang mudah sehinggalah yang paling mencabar.
Antaranya untuk koleksi cabaran yang mudah menyelusuri laluan bengkang bengkok di Jalan Tengkolok atau ke Jalan Sultan Abu Bakar. 
Lebih menarik anda melalui Kampung Taman Sedia dengan berehat menikmati strawbery atau berhenti sebentar di Parit Fall.

Mengelilingi pinggiran Padang Golf juga boleh diisi sebagai pilihan dengan singgah menjenguk laluan ke banglo-banglo lama yang agak menarik juga serta jangan pula lupa untuk singgah sebentar di Olde Smoke House di penghujungnya.  
Kesemua laluan ini adalah laluan dalam yang tidak menggunakan laluan utama yang sibuk.
Cabaran yang lebih istimewa tentunya di kawasan ladang teh.
Terdapat 3 ladang teh yang besar tetapi hanya 2 buah ladang teh yang dibuka untuk awam iaitu milik Boh Plantation samada di Ladang BOH Habu ataupun Ladang Sungei Palas.
Bagi mereka yang ingin mencuba di laluan Ladang Teh  BOH di Habu saya mencadangkan anda memilih atau mencuba aturan ini:
a. Menginap di Chalet MSN yang berada di dalam ladang teh. Hanya sekitar RM 90 semalam untuk seunit berkonsepkan rumah panjang.
Dalam catatan terdahulu , saya telah berkongsikan mengenai rekabentuk dan keistimewaanya antaranya kemudahan untuk penginapan berkumpulan dan memasak.

Juga sedikit berkongsikan pengalaman pertama saya ke Cameron Highlands yang memilih untuk menyewa di sini ...
b. Mulakan kayuhan anda di sekitar Ladang Bahagian Central dan Habu yang berada di bahagian hadapan ladang ini...
Berehat sebentar di Tea Centre mereka sambil menghirup teh yang pastinya bertambah rasa  dan bau aromanya setiap kali hembusan angin meniup ke arah anda apabila daun-daun teh dikeringkan di kilangnya yang hanya bersebelahan...
Lengkapkan laluan ke puncak tinjau mereka samada dengan mendaki di laluan teh ataupun berkayuh lagi ke laluan mereka melalui belakang kilang teh.
c. BerBBQ bersama keluarga atau rakan dan bersembanglah  sehingga lewat malam. Tidak perlu keluar ke Tanah Rata yang berada 22 km jauhnya.. pastikan air teh sentiasa panas beserta kacang dan jajan...
d. Mulakan awal pagi anda dengan bangun seawal mungkin dan berkayuhlah ke bahagian Farlie Division dengan melalui Bahagian Central...
Tarikan utama adalah pemetik daun teh yang sudah memulakan kerja mereka seawal pagi.

Tanya kepada penduduk atau pekerja yang anda temui untuk mengetahu lokasi atau bahagian mana aktiviti memetik daun teh untuk hari tersebut.
e. Kayuhlah ke Landasan Kapal terbang tertinggi di Malaysia... jika kena pada masanya, anda boleh melihat bagaimana pembajaan melalui udara dilakukan di ladang teh ini. Catatannya di SINI
f.  Sambung kayuhan anda ke Ladang Farlie yang sangat menarik dan panjangkan pula ke hujungnya ke Perkampungan Orang Asli Pangan bersesuaian dengan kedudukan ladang ini yang paling jauh ke dalam.
http://mrkumai.blogspot.com/2013/05/tips-melawat-cameron-highlands-ladang.html
g. Jika masih bertenaga, sambungkan kayuhan anda ke bahagian laluan lama ke Kuala Boh dan santai dan berehat di alur anak sungainya sebelum berpatah balik mengikut jalan yang sama.
h. Singgah di kawasan penempatan rumah pekerja untuk bekalan makanan dan bersembanglah dengan kanak-kanak yang sentiasa bermain-main di padang permainan.
i. Sampai di chalet MSN.... berehat untuk malam kedua...
Untuk siri kelima, saya akan berkongsikan pula mengenai mencari sisi yang berbeza di Ladang Teh Sungei Palas dan koleksi gambarnya saya pinjam dari kenalan FB saya yang baharu sahaja melakukannya minggu lepas...  panjang-panjang di sini nanti bosan pula...
Insyaallah ...

Thursday, March 20, 2014

Memilih Apartment Muslim.. mengapa ?

Soalan yang selalu jugak ditanya adalah bagaimana memilih apartment percutian yang sesuai di Cameron Highlands.
 
 
Selain lokasi dan lokasi selalunya dalah harga dan jenis kemudahan yang disediakan.
 
Namun selalunya juga tidak akan terlepas bertanyakan pemiliknya?
 
Banyak apartment yang dimiliki oleh pelbagai bangsa di sini. 
 
Cuma untuk mereka yang muslim, saya selalu mencadangkan untuk memilih apartment percutian muslim. Bukan sekadar orang tengahnya muslim tetapi perlu juga dimiliki oleh pemilik muslim.
 
Kenapa ? Jika anda pelancong muslim, apartment untuk muslim selalunya akan :
 
a. Hanya khas untuk pelancong muslim.
b. Tidak perlu ragu untuk menggunakan kemudahan memasak yang disediakan kerana dijamin terjaga status halalnya.
c. Mempunyai kemudahan untuk menunaikan solat seperti sejadah dan juga arah kiblat.
d. Sekitarnya adalah penduduk muslim juga kerana penempatan yang berpola. Jangan nak buat maksiat tau ...
e. Usah bimbang dengan kebersihan halal seperti binatang peliharaan anjing yang mungkin masuk ke dalam rumah.
 
Jadi anda boleh membuat keputusan samada memilih apartment khusus untuk muslim jika ke sini..
 
Tepuk dada tanya iman ...  

Tuesday, March 4, 2014

Tempat Makan untuk rombongan besar @ Cameron Highlands

Pelancong yang datang ke Cameron Highlands bukan hanya melibatkan keluarga kecil dan juga pasangan tetapi rombongan dan juga konvoi.
 
Kalau rombongan biasanya melibatkan bas persiaran, sekolah dan juga agensi pelancongan.
 
Yang memilih pakej tentunya tiada masalah kerana semua telah tersedia samada tempat penginapan, jadual melawat tempat menarik dan soal makan minum.
 
 
Yang datang rombongan sekolah selalunya semuanya tidak lengkap dan biasa saya melihat mereka akan berhenti di kedai makan secara spontan.
 
Bayangkan dengan jumlah sekitar 40 orang kedai-kedai makan biasanya tidak dapat menampung mereka untuk makan serentak dan perlu dipecahkan kepada beberapa kedai dengan pilihan yang terhad dan harga yang berbeza.
 
Selalunya jalan penyelesaian adalah menempah katering yang boleh menghantar makanan atau pun berhenti untuk makan yang telah ditetapkan.
 
Namun bukan semua katering mempunyai kedai atau restoran besar yang menawarkan tempat untuk makan dan selalunya hanya dalam bentuk berbungkus atau di tempat penginapan sahaja.
 
Yang datang berkonvoi pula biasanya menjadikan perjalanan mereka pergi dan balik dalam satu hari tentu tidak mempunyai tempat penginapan.
 
Dan berkonvoi dalam jumlah yang ramai memerlukan tempat meletak kenderaan yang luas dan selamat.
 
Saya tidak pasti pilihan yang mana sesuai.
 
Makan bungkus atau bergerak ke gerai-gerai pilihan ataupun menempah katering.
 
Jadi nasihat saya:
 
1. Jimatkan masa anda dengan membuat tempahan awal .
 
2. Cari pihak kedai atau restoran atau katering yang boleh menawarkan tempat makan yang sesuai dengan jumlah ahli rombangan anda atau anda boleh meminta mereka mencari tempat awam yang sesuai seperti taman-taman riadah, kawasan rehat atau kawasan perkelahan yang boleh anda jadikan kawasan hentian.
 
Antaranya, mungkin di Taman Pertabalan, Tapak Perkhemahan Sungai Pauh atau di Parit Fall. Santai berkelah atau dalam taman boleh menjadi konsepnya...
 
3. Rundingkan harga makanan secara lebih awal untuk penjimatan.
 
4. Dapatkan pandangan ahli atau rakan anda yang pernah menganjurkan rombongan ke sini.
 
Selamat merancang...
 
* gambar di atas adalah gambar perkongsian dari laman FB salah seorang pembaca yang berkonvoi dari Melaka dan mereka telah melakukan perancangan yang bijak untuk mencari tempat makan dengan lebih awal.

Perkhidmatan Menyewa Kereta dan Motorsikal @ Cameron Highlands

Saya pernah berkongsikan dalam catatan terdahulu betapa tiada perkhidmatan sewa kereta untuk dipandu sendiri sebagaimana yang diamalkan di Langkawi pada tahun lepas.
 
Yang ada hanyalah motorsikal dan basikal sepanjang pengetahuan saya.
 
Catatan tersebut sebagai jawapan untuk soalan yang ditanya oleh salah seorang pembaca yang ingin ke Cameron Highlands dari Sarawak.
 
Memang ketika itu tiada perkhidmatan seumpamanya.
 
Tetapi lewat tahun lepas saya mendapati terdapat beberapa stiker yang ditampal untuk perkhidmatan sewa kereta seperti yang saya temui di beberapa lokasi antaranya di Stesen Bas di Terminal Fressia.
 
Photo: Dulu ada yang tanya saya adakah ada perkhidmatan sewa kereta harian seperti di Langkawi.. 

Yang bertanya dari Sarawak. Saya jawab masa tu belum ada. Kereta sewa atau teksi adalah.. 

Tadi nampak stiker kereta sewa harian.. Juga sewa motor jugak.. 

Ramai jugak mat salleh naik kapcai...
 
Jadi saya rasa, mungkin elok untuk saya kongsikan di dalam catatan ini jika anda ingin mencari perkhidmatan yang seperti ini.
 
Photo: Sewa motorsikal harian.. Boleh merempit di CH..
 
Cuma saya sekadar menampal dan berkongsikan maklumat ini.
 
Saya bukan yang menawarkan perkhidmatan ini.
 
Hubungi nombor yang tertera untuk maklumat lanjut dan jangan minta saya yang bertanya kepada mereka atau untuk menguruskannya.
 
Harap jelas ya... selalunya pembaca mengambil jalan mudah untuk bertanya di sini mengenai maklumat yang dikongsi dan ada yang meminta diuruskan.... iskh iskh iskh ...

Monday, March 3, 2014

Kemudahan bersukan di Cameron Highlands...

Catatan mengenai kemudahan-kemudahan bersukan di Cameron Highlands pernah saya kongsikan dua tahun lepas... di sini
 
 
Yang ingin saya kongsikan dalam catatan ini tidaklah mengulangi sangat kemudahan yang maksudkan cuma ingin menambah sedikit perkembangan yang mungkin sekadar impian...
 
Pertama ... Cameron Highlands ini amat sesuai cuacanya untuk beberapa jenis sukan dan Olahraga antaranya kerana kedinginan membolehkan setara seperti latihan di luar negara.
 
Namun kemudahan trek dan balapan tiada disediakan. Malang dan rugi. Awalnya kerja-kerja menaik taraf dan membina stadium di padang utama di Tanah Rata mengembirakan kami kerana diumunkan oleh wakil TPM iaitu Menteri Besar di Padang ini sendiri dalam jamuan kenduri rakyat yang tidak dapat dihadiri oleh TPM kerana berkabus tebal untuk pendaratan helikopter.
 
 
Beritanya RM 2 juta diperuntukan.
 
Apa yang kami dapat sebuah astaka bukannya stadium yang hanya kawasan pentas ada bumbung dan tempat duduk sebelah tiada berbumbung dan berkerusi plastik (setakat catatan ini ditulis).
 
Mungkin cuaca dah sejuk jadi tak perlu lah orang awam dan rakyat biasa berteduh kecuali VVIP sahaja yang perlu dinaungi bumbung...
 
 
Orang awam tak akan basah kalau hujan sama seperti pemain bola yang lecun di padang untuk disorak manakala baju batik VVIP perlu dijaga dari hujan kerana mahal harganya dan bagi membolehkan mereka melihat pemain bola bermain dalam hujan sambil menghirup kopi dan ketawa yang dibuat-buat sesama mereka...
 
Itu amat penting ... malah teramat penting ...
 
Hanya padang yang dinaik taraf sebahagiannya dengan paip bawah tanah dan ditinggikan ketinggian permukaan padang supaya tidak menjadi bendang ketika musim hujan.
 
Tiada trek dan balapan yang kami bayangkan,....
 
 
Tak tahu di mana dan bagaimana perancangan penuh pihak yang berwajib kerana ada beberapa siri cerita yang mengatakan ianya dalam Fasa kedua... mmm fasa kedua.... bila ?
 
Cuma dalam ketidaktentuan trek ini saya melihat di hujung tahun , mereka yang berpakaian msss - (selangor) masih meladeni padang ini selama sebulan untuk latihan pusat mereka.
 
 
Pagi tengahari dan petang dijadikan jadual latihan mereka. Hanya kerana inginkan cuaca dingin.
 
Kalau sekadar untuk menggunakan kemudahan, tempat mereka lebih banyak pilihan trek dan padang.
 
Yang tiada adalah cuaca dingin yang tak mampu diwujudkan di sana.
 
Cuma di Cameron Highlands, trek dan balapan pula amat sukar untuk dibina malah amat sukar juga gayanya untuk kemudahan bukan hanya orang Cameron tetapi satu Malaysia sebenarnya..
 
Kedua saya melihat perkembangan sukan berbasikal yang sangat popular di seluruh negara. Cuma kesesakan jalanraya di Cameron Highlands di hujung minggu amat tidak sesuai.
 
Maka kalaulah .."kalaulah" ada laluan berbasikal yang khusus amat membantu dan mengurangkan risiko kemalangan. .. cuma .. "kalaulah "..
 
 
atau mungkin ... jangan marah saya.. menunggu mangsa demi mangsa dahulu baru akan difikirkan caranya.. terhantuk .. barulah sedap tergadah ...
 
Ketiga kemudahan futsal berbumbung... masa panas sebegini memang sesuai tetapi memahami Cameron Highlands memang berwatakan hujan yang sepanjang tahun, tiada lagi cadangan rasanya untuk membina seumpamanya...
 
kalaulah ada...  anda mesti tersenyum ... di sana , bersepah sana sini kemudahan futsal berbumbung ... sini? ...
 
 
Tapi tak apalah ... kalau nak seribu daya kan .. kalau tak mahu seribu dalih .. maka anggap sahaja tiga-tiga impian diatas sekadar dalih untuk tidak sangat bersukan di Cameron Highlands ini... dalih dalih semata...
 
Cuma minggu lepas seronok sangat sebab dalam kekurangan dan padang utama yang masih ditutup dan terlewat siap pembinaannya, masih pantas peserta kejohanan merentas desa peringkap MSS Pahang membelah laluan di Cameron Highlands..
 
Semua gambar-gambar di atas adalah sekitar kejohanan tersebut ... sini.. ada juga di sini dan juga di sini..
 
Terkenang-kenang zaman dulu-dulu kala... tak pernah pun ke Cameron Highlands sebagai acara peringkat negeri...
 
 
dan kini saya memahami kenapa tidak terpilih daerah unik ini... tiada kemudahan sukan yang boleh digunakan untuk kejohanan peringkat tinggi negeri .. untuk daerah pun dalam sawah gayanya berkubang..opss 'berlari'...