Thursday, November 7, 2013

Cameron Highlands : Perkampungan Orang Asli Pangan

Sebuah kampung orang asli yang dilalui oleh kami peserta kayuhan Thompson Trail adalah Kampung Pangan iaitu yang terletak di penghujung Ladang Teh Boh bahagian Farlie.
 
 
Namun jika mengikut laluan TT yang baharu ini, Kampung ini terletak di permulaan sebelum masuk ke kawasan ladang teh.
 
Jika dahulu kampung ini adalah kampung pertama dilalui untuk perkampungan orang asli yang lain di bahagian dalam termasuklah ke Kampung Kuala Boh, Relung, Rantau, Pos Mensun, Teji, Tiat , Cheros , Pos Telanok dan sebagainya, kini laluanya berubah menjadikan kampung mereka kampung terakhir di penempatan ini.
 
Bagaimana hendak menyebut nama kampung ini. Sebutan suku katanya adalah Pan - Gan
 
Ini adalah sebutan yang betul kerana semasa saya ditanya mengenai kampung ini oleh salah seorang rider, saya menyebut Pangan tetapi seorang kanak-kanak orang asli membetulkan sebutan saya dengan Pan - Gan.
 
Saya sempat bersembang dengan salah seorang penduduk dewasa di sini. 
 
Katanya, jumlah penduduk sekitar 250-300 orang bercampur peringkat umur. Cuma saya terlupa nak bertanyakan suku kaum mereka di sini .
 
Rasanya masih lagi suku kaum Semai yang merupakan majoriti suku kaum di Cameron Highlands.
 
Penduduknya ada yang bekerja di Ringlet, pembinaan empangan dan juga sebagai pekerja ladang teh bersebelahan perkampungan mereka.
 
Saya menemui kanak-kanak di sini. 
 
Mereka sama seperti kanak-kanak Orang Asli yang lain yang masih malu-malu tetapi berani untuk mendekati kami bila tidak diperhatikan. 
 
Mereka teruja melihat pelbagai jenis basikal yang melalui kampung mereka ini biarpun dari jauh sahaja.
 
 
Mereka juga memberikan pose yang amat menarik setiap kali lensa saya menghala ke arah mereka. 
 
Senyuman mereka, melirik manja dan sedikit reaksi takut dipamerkan secara ikhlas.
 
 
Saya kongsikan gambar yang saya rakamkan dengan mereka dan masing-masing ketawa dan seronok mengerumuni saya. 
 
 
Insyallah di lain kali saya akan mencuci gambar-gambar mereka ini sebelum kembali ke kampung mereka dan menyerahkan kepada mereka sebagai tanda kenang-kenangan. 
 
Biasanya saya akan bersama keluarga kecil saya mengunjungi kampung orang asli sebagai aktiviti di hujung minggu dan cuti . 
 
Seperti catatan saya ke Perkampungan Sungai Ubi berdekatan di Tanah Rata di sini.
 
 
Seronok sebenarnya membuat aktiviti sebegini yang sedikit berlainan.
 
Terkilan pula bila memikirkan kalau di Kg. Kuala Boh, kanak-kanak di sana diberikan sedikit cenderhati dan buah tangan dari para rider yang disediakan oleh pihak penganjur.
 
Mujurlah saya mempunyai beberapa bar coklat yang saya bawa dan dikongsikan bersama mereka biarpun sedikit.
 
 
Mengikut sembang-sembang dengan beberapa orang dewasa di sana, terdapat 4 jenis bentuk rumah bantuan yang terdapat di kampung ini.
 
Yang asalnya adalah rumah tradisional mereka. Setiap tahun, kerajaan membina beberapa unit rumah baharu secara percuma kepada penduduk dari jenis kayu seperti rumah peneroka felda sehinggalah rumah batu.
 
Bentuknya berubah-ubah mengikut tahun dan terkini adalah bentuk rumah yang dijadikan tempat rehat para rider yang kelihatan selepas melalui laluan off road.
 
Singgah di kampung ini memang melegakan bagi sesetengah rider kerana melepasi satu peringkat yang amat meletihkan mereka.
 
Untuk lagi koleksi gambar di Kampung Pangan boleh dilihat di sini
    

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.