Monday, August 19, 2013

Syawal 2013 @ Felda Kumai: Di Ambang Syawal

Bila bercerita mengenai hari raya, adalah tidak akan terlepas jika tidak menceritakan suasana menyambut ambang syawal atau lebih disebut malam raya. 


Terkenang ketika kecil, suasana menyambut malam raya tidaklah semeriah dan segempita hari ini. 

Dahulu kami menyambutnya dengan ala kadar tetapi telah bermula seawal pertengahan malam bualan lagi. 

Lampu-lampu pelita dipasang disekeliling rumah. Bukan satu pelita tetapi puluhan pelita digantung dan diletakan di keliling rumah. 

Bila dah bercerita mengenai pelita ini, dahulu semasa saya masih bersekolah rendah, kami mula mengumpulkan tin-tin susu pekat seawal sebelum ramadhan. 

Dengan sumbunya kami menggunakan lapisan zink di dalam tin milo atau susu yang digulung dan dimasukan kedalam tin susu. 

Sumbu pelita ketika itu adalah pintalan kain buruk yang digentel sepadatnya. 

Minyak kerosin ataupun lebih dikenali dengan minyak gas mudah dibeli di serata kedai di sekitar felda. 

Tidak ketinggalan juga ada yang membuat pelita buluh yang lebih panjang dan dibuat sumbunya diatas buluh tersebut. 

Suasana sebegini amat menarik kerana ketika itu felda saya ini masih tidak dibekalkan lampu elektrik dan sekitar malamnya agak gelap tanpa lampu jalan. 

Jadi dengan lampu ini lah kami bermain dan berkumpul bersama rakan-rakan bermain mercun.

Apapun kemeriahan sebegini tidak lagi dilihat. Kini pelita dibeli siap dari kedai dan terus dipasang di waktu malam. 

Juga tidak kurang hebatnya dengan ada rumah memasang lampu klip-klip namanya yang popular di bahagian anjung rumah. 


Di waktu malam kini terutamanya ketika malam raya bertukar wajah. 

Kalau dahulu bermain bunga api amat terhad kerana hanya mendapat bekalan bunga api yang biasa sahaja. Namun kreativiti kami menjangkau imiginasi. 

Pelbagai rekaan dibentuk untuk menvariasikan lagi bunga api kami dari sekadar apa yang dibeli di kedai. 

Yang masih saya ingat antaranya adalah dengan menggunakan muncung tiub  tayar basikal yang diisi dengan patahan bunga api dan dipasang dengan paku. 

Muncung tiub ini pasanga kayu panjang dan kami mengetuknya.

Hasil ketukan paku yang memampatkan bunga api menghasilkan letupan kecil.

Selain itu diwaktu petang dan malam, kami bermain meriam karbaid.

Bekalan karbaid mudah didapati kerana masih ada rumah yang menggunakan sumber ini sebagai pelita di waktu malam. 

Meriam karbaid ini terdapat dua jenis iaitu tanah dan buluh. Selalunya jenis tanah lebih mudah dibuat dengan mencantunkan beberapa tin milo dan susu yang telah ditebuk di kedua-dua bahagian hujungnya sebelum di tanam di dalam tanah. 

Juga masih teringat kerana terlebih inovasi , batang paip yang dahulunya dibina untuk membekalkan air secara berkelompok di tepi jalan juga digunakan. 

Selalunya kami berlawan antara blok bunyi kekuatannya. Kalau di blok ini berdentum , maka akan dibalas dengan dentuman dari blok yang lain pula dan bersahutan dengan bebrapa lokasi yang lain. 

Meriam karbaid ini dimainkan pada waktu petang dan selepas berbuka dan selalunya tidak lah sampai ke tengah malam kerana pasti akan dikejar jiran yang terganggu dengan bunyi dentuman tersebut.

Kini suasananya berubah. Kebanjiran anak-anak rantau yang pulang ke kampung bukan sekadar membawa buah tangan untuk mak dan ayah tetapi juga bekalan bunga api dan mercun yang pelbagai. 

Maka suasananya akan amat meriah dengan percikan bunga api yang bertali arus dan bunyi dentuman mercun bola,kipas dan pelbagai lagi. 

Bagi kanak-kanak, bunga api bukan lagi dari jenis yang bias berwarna merah atau bertangkai besi tetapi dengan pelbagai versinya. 

Ini semuanya menjadikan sambutan di felda amat meriah dari satu sudutnya. Adik beradik berkumpul di laman rumah berserta jiran tetangga. 

Namun di sudut yang lain mungkin ada pembaziran namun terpulang kepada anda. 

Anak-anak kecil dibawah pengawasan orang tua riang bermain bunga api. 

Malah suasana ini tidak terhenti di situ sahaja.  

Di dapur kaum ibu dan wanita pastinya tidak menang tangan menyiapkan juadah untuk hari esoknya.

Ada juga keluarga yang mengadakan BBQ untuk mengisi masa dan aktiviti bersama seperti kami sekeluarga yang telah menjadi tradisi sejak sepuluh tahun yang lalu. Juga kerana ramai yang menjadi sponsor. 

Apapun ragam dan acara yang anda lakukan ketika ambang Syawal di Malam Raya sebegini pastinya bermatlamatkan satu perkara iaitu "Bersama keluarga" selepas lama tidak berkumpul ramai-ramai begini... 

Untuk koleksi gambar saya dan keluarga di ambang Syawal, anda boleh lihat di SINI.. 

Ingat.. lain padang lain belalangnya... 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.