Dah selalu ke Ladang Teh Sungei Palas rasanya jemu jugak. Cuma dah tak ada tempat yang lain nak pergi , kami melangkah juga ke sana.
Cuma kali ini misi kami mencari sisi pandangan yang berbeza dan sudut yang mungkin tidak pernah kami pergi.
Rasanya kalau sekadar tempat tumpuan yang biasa, mungkin reaksinya agak dingin tetapi bila dapat melihat sisi lain, seronok pulak.
Kali ini kunjungan kami lebih kepada cardio walk di sekitar tea centre ini.
Dari tempat meletak kenderaan, kami berjalan ke puncak tea centre sebelum terus sahaja ke bahagian belakang kilang mereka.
Laluan ini memang popular untuk ke puncak Tea Centre namun bagi yang berusia emas, ibu mengandung dan bayi, agak sukar untuk mendaki.
Apatah lagi ada yang membawa ahli keluarga yang OKU samada berkerusi roda atau peralatan khas ataupun tidak.
Anda boleh minta pengecualian untuk bermula dari laluan ini di pintu masuk ke pusat tea ini dengan alasan sedemikian.
Ternyata terdapat sebuah rumah yang berwarna merah dengan bumbungnya berlumut memberikan pemandangan yang menarik untuk bergambar.
Dikatakan rumah ini adalah dihuni oleh Pengurus atau jurutera Kilang Ladang Teh disebelahnya.
Lewat ke belakangnya pula anda boleh melihat pokok bunga kertas yang bersaiz besar dan bewarna merah bunganya.
Untuk melihat pokok bunga kertas bersaiz sebegini di Cameron Highlands agak mudah sebenarnya malah ada yang saya temui lebih daripada saiz ini.
Kami turun semula dan kali ni kami melencong ke sebelah kanan menghala ke seed garden mereka untuk berjalan di laluan jalan ladang.
Di sini sambil-sambil santai berjalan di permukaan landai kami melihat beberapa jenis bunga liar yang dipetik sepanjang jalan.
Malah di sini juga anda boleh melihat pemandangan anjung tea centre dari arah bawah.
Juga lebih menarik adalah rimbunan pokok teh yang menghijau dan lebih natural berbanding di laluan naik ke tea centre yang telah pun terkesan bentuknya akibat pengunjung yang bergambar.
Menghabiskan masa di laluan ini amat menyeronokkan cuma jangan biarkan anak kecil anda berlari terlalu jauh di hadapan terutamanya melibatkan selekoh yang memungkinkan ada kenderaan ladang datang.
Kami menghabiskan sekitar satu jam di awal pagi ahad sebelum bergerak pula ke lokasi kedua. Tak terasa penat kerana cuaca redup dan sejuk.
Jadi, kalau anda ingin bersantai.. apa kata anda memilih sisi yang berbeza ini untuk kelainan. Juga jika anda mempunyai basikal, pastinya jangkauan anda lebih melebar ke sisi yang lain pula.
Kami dah berangan-angan kan basikal.....
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.