Tuesday, May 14, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Jenis-jenis pelancong

Dalam menulis mengenai tips melawat Cameron Highlands berdasarkan pengalaman sendiri, saya sering melihat sendiri ragam dan keletah pelancong ke sini.
Pelbagai ragam dapat dilihat dan kadang kala mencuit hati dan kadang kala menjengkelkan.
Dalam memerhati ragam-ragam ini mungkin sekadar pendapat peribadi boleh saya kelaskan beberapa jenis dan golongan pelancong yang hadir di Cameron Highlands;
Kali ini , gambar-gambar di dalam catatan ini saya ambil dari laman-laman blog di internet. Klik atas gambar untuk ke laman sumber.
Keluarga:
Kebanyakan adalah datang secara berkeluarga malah kadang-kala melibatkan beberapa keluarga yang besar. Mereka menyewa apartment percutian beramai-ramai dan serba serbinya melakukan aktiviti bersama.
Dari berjalan, ke pasar malam malah makan pun bersama-sama. Bayi, anak kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa dan golongan emas berbondongan ke sana sini.
Gelak ketawa antara mereka dan saling usik mengusik menjadi antara ragam yang tidak dirancang.
Percutian sebegini sememangnya menghiburkan dan merapatkan hubungan antara ahli keluarga yang besar ini.
Santai:
Agak jarang untuk melihat kalangan pelancong yang jenis santai kerana rata-ratanya hadir bersama ahli keluarga. Bagi pelancong yang bersantai biasanya melibatkan kalangan muda mudi yang datang bersama rakan-rakan. Mereka memang ingin berehat dan bersantai tanpa mempunyai minat untuk bershoping dan melawat kawasan tumpuan.
Juga saya lihat golongan pesara yang datang berdua dan sering menghabiskan masa bersantai dan menikmati suasana sejuk di sini.
Saya pernah bersembang dengan sepasang pesara guru yang datang dari Shah Alam. Mereka hanya berdua datang dan melancong ke sini. Mereka menikmati suasana di sini dengan berjalan di waktu pagi dan petang. Tengahari mereka tidur dan berehat sahaja di hotel. Hampir 5 hari kami sering bertembung di beberapa lokasi.
Berjalan-jalan:
Ini yang ramai datang ke sini. Melibatkan semua golongan usia khasnya yang bekeluarga. 

Hampir semua lokasi tumpuan ingin mereka kunjungi dan selalunya akan segera bergegas ke lokasi yang lain.
Biasanya mereka akan bergerak pantas dan saya tidak pasti samada mereka benar-benar menikmati suasana di sesuatu lokasi ataupun tidak.
Mereka ini juga gila bergambar dan biasanya pelbagai aksi dan objek akan menjadi sasaran mereka.
Bershoping:
Ini sebenarnya sebahagian dari kegemaran pengunjung. Tidak dapat lari dari gejala ini sebaik sahaj sampai di beberapa destinasi seperti pasar malam di Brinchang, Kea Farm dan juga beberapa loaksi yang lain.
Sayur-sayuran antara barangan belian yang wajib dibeli dan ditambah dengan bunga dan keleksi teh pelbagai rasa.
Kalau anda lihat di Kea Farm, anda akan dapat melihat bagaimana pengunjung tak cukup tangan membawa bungkusan plastik barangan yang dibeli. Kadangkala berulang alik ke kereta untuk menyimpannya.
Kalau anda perasan juga, ketika bonet atau ruang menyimpan dibuka, pelbagai jensi sayuran dan barangan lain telah diisi namun bukan penamat malah akan disusun semula untuk mengisi yang lain.
Kembara:
Cameron Highlands daerah yang sejuk dan sesuai untuk aktiviti kembara. Ramai juga yang datang ke sini semata untuk berkembara. Baik sekadar berbasikal. denai kembara, mendaki gunung ataupun berkonvoi motorsikal dan kereta.
Saban minggu pasti ada sahaja kumpulan pelancong sebegini yang akan mudah dilihat disini.
Semuanya mengambil kesempatan dengan cuaca yang amat sesuai untuk melakukan aktiviti kembara ini.
 Juga kelihatan adalah pelancong asing yang tanpa henti berjalan kaki mencuba satu demi satu denai kembara dan mendaki gunung.
Malah perkhidmatan agensi perlancongan kembara juga mendapat sambutan yang amat menggalakan seperti ke perkampungan orang asli, melihat bunga reflisia, mendaki gunung, ladang teh dan hutan lumut.  
Backpacker:
Biasanya hanya melibatkan kalangan pelancong asing. Mereka hadir dari segenap penjuru dunia dengan menjadikan lokasi ini sebagai antara persinggahan mereka. 

Beberapa rumah tumpangan yang murah menjadi tumpuan mereka sebagaimana yang tercatat dalam panduan pengembaraan mereka.
Aktiviti mereka sekitar 2-3 hari di sini untuk menyelasaikan beberapa kunjungan ke lokasi yang menajdi tumpuan para backpacker.
Mereka boleh dilihat berjalan kaki dan menumpang kenderaan orang tempatan biarpun terpaksa di bahagian belakang landrover.
Mereka berjalan sepanjang hari biarpun hujan lebat untuk melengkapkan jadual mereka.
Bersukan dan berkonvoi:
Aktiviti sukan yang paling popular di sini adalah kembara lasak dan juga berbasikal tetapi bukanlah di kalangan penduduk tempatan. Kesemuanya dari luar yang ingin mencuba suasana di Cameron Highlands.
Sukan di sini kurang digemari kerana faktor hujan yang selalunya akan merencatkan keseronokan ditambah dengan kemudahan sukan yang terhad.
Gelanggang futsal pula agak terhad dan tidak tertutup. 

Sejak dua menjak ini kelibat kumpulan berbasikal melakukan aktiviti di sini mudah dilihat dihujung minggu.

Begitu juga kelibat kumpulan bermotorsikal yang jugak mudah kelihatan dan mereka ini jenis yang datang dan balik pada hari yang sama. Katanya nak layan 'corner' sahaja. 
Program Syarikat ataupun Institusi.
Ini juga antara kegiatan utama ke sini. Berkursus, hari keluarga, latihan, motivasi dan lawatan berkumpulan.
Jika tidak memilih hotel, ada juga yang memilih kem motivasi seperti di Kem Sungai Pauh untuk aktiviti mereka.
Pelbagai aktiviti yang bersesuaian diatur dan dilaksanakan sepanjang tempoh berada di sini. Namun pastinya pada masa yang sama, aktivti ke tempat tumpuan dan membeli belah tidak akan ditinggalkan begitu sahaja setiap kali ada keluangan masa.  

Bidan Terjun/ Tersesat:
Kumpulan pelancong ini lebih kepada kumpulan yang last minute membuat keputusan ke Cameron Highlands atau yang menyimpang dari laluan asal seperti mahu ke Utara tapi masuk dan singgah sebentar ke Cameron Highlands.

Selalunya tiada perancangan dan tiada tempahan bilik. Semuanya secara 'gamble' semata dan tiada perancangan untuk melawat ke kawasan perlancongan. 

Apa yang ada di sepanjang jalan itulah yang akan disinggah dan dilawati. 
Mungkin ini sekadar sebahagian ragam dan jenis pelancong ke sini.. anda jenis yang bagaimana? 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.