Sementara tidak dapat memuatnaik catatan sendiri ke laman ini, saya rasa berkongsikan petikan berita mengenai Cameron Highlands mungkin boleh membantu untuk anda mengetahui pula pandangan dan liputan berita mengenainya.
Catatan genre ini akan saya muatnaikan dengan mengambil petikan dari beberapa akhbar online sebagai tambahan koleksi catatan....
Antaranya kisah mengenai Gunung Brinchang petikan Utusan Online...
Sebelum malam, kami perlu segera mendirikan khemah kerana tidak banyak sumber pencahayaan di sini pada waktu malam. |
BIASANYA, Cameron Highlands, Pahang sering menjadi destinasi percutian tanah tinggi yang digemari rakyat Malaysia kerana udaranya yang nyaman, pemandangan ladang teh yang memukau dan juga menjadi syurga membeli sayur-sayuran serta bunga-bungaan segar.
Kepada mereka yang merancang untuk percutian bajet, mungkin tempat ini boleh menjadi destinasi kamu untuk bercuti dengan pelbagai tempat menarik yang ditawarkan.
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands melalui Tapah mengambil masa empat jam setengah. Selepas itu, rombongan kami seramai lapan orang meneruskan perjalanan ke Gunung Berinchang.
Tidak seperti gunung lain yang perlu didaki untuk sampai ke puncak, Gunung Berinchang boleh diterokai dengan hanya menaiki kenderaan untuk sampai ke puncaknya.
Perjalanan jauh bagaikan tidak terasa apabila penulis disambut dengan pemandangan indah yang memukau terutama ketika mendaki tangga menuju ke menara pandang yang disediakan di situ.
Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang melihat pemandangan 360 darjah seluruh kawasan Cameron Highlands sehingga ke Ipoh, Perak jika cuaca mengizinkan.
Persekitaran Gunung Berinchang yang sentiasa berkabus menambahkan lagi keterujaan penulis. Ini kerana keadaan seperti itu jarang dapat dihayati di hutan batu di ibu kota yang menjadi tempat tinggal penulis.
Dalam percutian ini, penulis dan rakan-rakan memberhentikan kenderaan di tepi jalan di puncak gunung ini, sebelum bersiap untuk mendirikan khemah di satu kawasan lapang dekat situ. Hanya kawasan lapang itu sesuai dijadikan tapak perkhemahan memandangkan kawasan hutan di situ tidak sesuai untuk aktiviti perkhemahan.
Ini kerana keadaan hutan berlumut yang lebih dikenali sebagai mossy forest menyebabkan lantai hutan dihampari lumut hijau yang basah, begitu juga di pokok serta akar-akar kayu yang diselaputi lumut.
Terdapat pelbagai flora dan fauna yang menarik untuk diamati di hutan jenis ini, antaranya periuk kera, orkid hutan dan tumbuhan herba.
Bagi mereka yang pernah menonton filem Lord of The Ring, mungkin merasakan mereka sedang berada di lokasi pengambaran kerana keadaan bentuk muka buminya di situ mirip lokasi di dalam filem tersebut.
Pada sebelah malam, keadaan menjadi semakin sejuk sehingga suhu jatuh mencecah di bawah 10 darjah celcius. Jadi, mereka yang tidak pernah merasakan musim sejuk, mungkin boleh merasainya di sini.
Aktiviti malam kami adalah memanggang (barbeku) ayam dan daging untuk makan malam. Memang seronok dapat menikmati hidangan sambil ditemani kabus dan cuaca sejuk. Sememangnya, ia satu pengalaman yang cukup menyeronokkan.
Cuma pada peringkat awal untuk menghidupkan api, kami menemui sedikit kesukaran kerana kebanyakan bahan bakar seperti kayu agak basah dan arang yang kami bawa juga cepat menjadi lembab akibat suhu yang sejuk.
Agak lucu mengenangkan ada dalam kalangan rakan penulis yang tidak tahan cuaca sejuk mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta.
Namun itulah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan kos yang dikeluarkan tidak besar kerana kami tidur di dalam khemah yang dibawa dari Kuala Lumpur. - AMIRUL
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20130316/pl_01/Keindahan-hutan-berlumut-Gunung-Berinchang#ixzz2PehpugHZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.