Catatan saya mengenai Cameron Bike Week tahun lepas telah dimuatkan di laman ini. Cuma kali ini dari pandangan Utusan Malaysia melalui wartawan mereka.
Pengamatan saya, banyak kumpulan motorsikal samada yang berkuasa tinggi atau biasa atau klasik memilih daerah ini sebagai lokasi kunjungn dan aktiviti bermotorsikal mereka. Setiap minggu, akan ada sahaja kumpulan bermotorsikal yang naik ke sini. Biasanya mereka akan sampai pada hari Sabtu dan bermalam sebelum pulang semula keesokkanya.
Aktiviti yang biasa dilakukan pastinya bbq di waktu malam sebagai aktiviti wajib. Menyelusuri laluan berliku dan sempat untuk sampai ke Ladang Teh samada di Sungai Palas ataupun di Habu milik BOH pastinya menjadi aktiviti wajib mereka.
Apapun aktiviti ini sedikit sebanyak merancakkan suasana perlancongan di Cameron Highland di mana pengunjung dan penduduk tempatan akan menoleh seketika setiap kali deruman motorsikal ini melalui kawasan mereka.
ADNAN Yaakob mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi sambil disaksikan oleh penunggang dari Malaysia, Singapura dan selatan Thailand selepas melancarkan program Cameron Bikes Week di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini. |
Seramai 250 penunggang telah mempamerkan pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi yang menarik perhatian penduduk tempatan dan pelancong di pusat pelancongan tanah tinggi itu.
Kesemua motosikal berkenaan melebihi 500cc dengan terdiri daripada pelbagai jenis termasuk Yamaha, Honda, Harley Davidson, BMW, Ducati, Kawasaki, Suzuki dan sebagainya yang berharga dari puluhan ribu hingga mencecah ratusan ribu.
Turut menjadi tumpuan orang ramai ialah gerai menjual aksesori iaitu topi keledar, jaket, kasut, sarung tangan, baju T dan peralatan lain sebagai cenderamata.
Program CBW yang berlangsung selama tiga hari membabitkan penunggang dari seluruh negara, Singapura dan selatan Thailand itu dianjurkan oleh Persatuan Permotoran Pahang cawangan Cameron Highlands dan kerajaan negeri.
Majlis pelancaran CBW disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi Penganjur CBW, Azrulhisham Abu Kassim.
Sepanjang berkampung di Tanah Rata, para penunggang turut membuat pengembaraan secara berkonvoi ke pekan Brinchang dengan menghadapi cabaran selekoh dan cuaca dingin.
Sementara itu, Azrulhisham berkata, program berkenaan merupakan perintis kepada penubuhan Kelab Permotoran Cameron Higlands iaitu membabitkan motosikal berkuasa tinggi.
"Program ini juga dapat mengumpulkan golongan belia untuk menyertai kegiatan permotoran yang sihat selain berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan rakan dari tempat lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan dapat menarik banyak penyertaan dan pengunjung hingga menjadikan CBW sebagai satu produk pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan di daerah ini.
Peserta dari Kuala Krai, Kelantan, Mohd. Fauzi Yusof, 52, berkata, penyertaan dalam perhimpunan itu membolehkannya bertemu dengan rakan penunggang dari kelab motosikal pelbagai negeri dan negara jiran.
"Bermotosikal kuasa tinggi dapat menjalinkan hubungan yang erat sesama rakan penunggang selain membolehkan kami menikmati keindahan destinasi pelancongan di sini," ujarnya.
Mohd. Fauzi berkata, menunggang motosikal berkuasa tinggi secara konvoi merupakan satu kepuasan di samping menajamkan kemahiran menunggang jentera berkuasa tinggi.
Penunggang dari Raub, Ab. Haris Saidin, 48, berkata, penyertaan kali pertama dalam program CBW kerana minat terhadap motosikal dan mengisi masa lapang secara sihat bersama rakan penunggang dari tempat lain.
"Program ini wajar dijadikan acara tahunan untuk manfaat golongan belia serta masyarakat setempat
sendiri selain dapat menyemarakkan lagi kegiatan pelancongan di sini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130110/wp_01/Berkonvoi-di-Cameron-Highlands#ixzz2PenFdRQv
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.