Strawberi sememangnya popular di Cameron Highland di kalangan pelancong dan pengunjung. Mereka akan mencari buah-buahan ini di mana-mana hentian jualan baik di pasar malam dan gerai-gerai biasa.
Malah pengunjung akan memanjangkan pula langkah untuk mengunjungi kebun-kebun tanaman strawberi yang sememangnya berkonsepkan agrotourism untuk melihat sendiri tanaman ini serta mengambil peluang untuk membeli malah kadang-kala berkesempatan untuk memetiknya sendiri.
Beberapa catatan terdahulu mengenai strawberi telah saya kongsikan dan saya sebenarnya sudah lama untuk berkongsikan catatan mengenai khasiatnya.
Saya menemui dua petikan catatan dari Utusan dan Kosmo dan kisahnya dituturkan sendiri oleh pengusaha tanaman ini dan pegawai pertanian..
Ketahui rahsia buah strawberi ini ...
Sehingga kini ia terus terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana terutamanya strawberi.
Hal demikian kerana faktor iklim sederhana yang bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius menjadikan Cameron Highlands amat sesuai dengan penanaman dan penghasilan buah tersebut.
Dianggarkan hampir 30 hektar kawasan penanaman strawberi telah dibangunkan dengan bilangan pekebun seramai 52 orang di sekitar pusat peranginan tersebut
Rata-rata pengeluaran strawberi di situ adalah dalam bentuk buah segar yang bernilai hampir RM60 juta hingga RM70 juta setahun.
Menurut Pengarah Urusan, Agriculture Products & Services Sdn. Bhd., Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid, rata-rata pengusaha strawberi di Cameron Highlands terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
Beliau yang juga salah seorang pengusaha strawberi menggunakan jenama Al-Mashoor menjelaskan, biarpun iklim dan cuaca yang sesuai namun mengusahakan tanaman strawberi mempunyai cabarannya tersendiri.
Strawberi amat sensitif, tidak seperti buah-buahan yang lain. Biarpun penanamannya di Cameron Highlands dilihat menjadi. Namun tidak semua bahagian di sini menjanjikan hasil yang lumayan.
Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang baik jika ditanam pada ketinggian dan kawasan yang tertentu sahaja," ujarnya ketika ditemui di ladang miliknya di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.
Beliau yang telah berkecimpung dalam perladangan strawberi selama lima tahun menyatakan, teknik fertigasi adalah yang terbaik bagi menanam strawberi.
Sistem tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Malah tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah berikutan tanaman tersebut tidak ditanam di atas tanah.
Tambahnya, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut, produk hiliran strawberi turut hasilkan bagi mempelbagaikan kegunaan buahnya.
Hasil produk hiliran strawberi sahaja dianggarkan mampu mencecah sehingga RM12 juta hingga RM18 juta setahun.
Justeru, produk-produk hiliran strawberi dilihat memiliki potensi untuk dijadikan produk hiliran pertanian utama bagi daerah Cameron Highlands.
Perkara tersebut turut diakui oleh Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Tasnim Ghazali bahawa produk hiliran berasaskan strawberi di Cameron Highlands memiliki potensi besar untuk dikembangkan.
Justeru itu, jelas Tasnim, daerah itu kini telah disenaraikan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.
Program SDSI di bawah Jabatan Pertanian ini merupakan satu program yang berkonsepkan pembangunan beberapa jenis produk atau perkhidmatan beridentitikan satu-satu daerah.
Program SDSI bertujuan mewujudkan satu industri di setiap daerah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat," ujarnya.
Program tersebut diwujudkan bagi memanfaatkan sumber bekalan mentah yang sedia ada termasuk tenaga kerja dan kepakaran masyarakat setempat.
Dengan penyediaan khidmat nasihat dan bimbingan dari segi infrastruktur dan kemudahan dan kelengkapan yang ada, SDSI dilihat mampu menjadi satu mekanisme penting dalam membangunkan usahawan di kalangan penduduk desa," katanya.
Dikenali dengan nama saintifik fragaria rosaceae, strawberi kaya dengan vitamin C dan pelbagai garam mineral seperti potassium, fosforus, dan kalsium.
Buah itu juga mengandung fitonutrient dan antioksidan yang memerangi radikal bebas. Unsur antioksidan inilah yang dipercayai memberikan warna merah pada buah strawberi.
Selain itu, buah strawberi juga mengandung Vitamin K, mangan, asid folik, riboflavin, vitamin B5, Vitamin B6, magnesium dan omega-3.
Di Cameron Highlands, terdapat beberapa ladang strawberi yang kebanyakannya dibuka kepada orang ramai seperti ladang The Red Strawberry Farm, EQ Strawberry Farm dan Raju Hills Strawberry di Brinchang.
KHM Strawberrypula , Taman Agro Al Mashoor dan Hasr di Taman Sedia, di Tanah Rata.
Selain mengeluarkan buah-buahan strawberi segar, ladang-ladang ini juga turut menghasilkan produk hiliran seperti seperti jem, kordial, halwa, jus, acar, jeli dan topping yang semakin meningkat permintaannya dari semasa ke semasa.
Produk jem strawberi yang sebahagiannya dihasilkan sendiri turut menjadi daya tarikan kepada pelancong, pengunjung dan dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Antara lain, produk strawberi kering juga sering menjadi perhatian kerana ia tahan lama dan peminatnya boleh menikmati keenakan buah tersebut sepanjang tahun berikutan ketahanannya.
Ia sesuai dijadikan sebagai hidangan pembuka selera dan pencuci mulut mahupun digabungkan bersama sarapan berbentuk bijirin.
Sebagai sebuah agensi yang bertangungjawab, Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan segala dana berbentuk infrastruktur, peralatan, bengkel yang bernilai hampir RM300,000.
Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut membantu mempromosi produk berasaskan strawberi yang dihasilkan oleh pengusaha tersebut ke seluruh negara.
Malah, setiap tahun, jabatan akan memilih pengusaha yang terbaik untuk menyertai pameran SDSI yang diadakan di seluruh Malaysia.
Sehingga kini, SDSI di Cameron Highlands telah disertai sembilan orang pengusaha bumiputera malah turut menggalakkan bagi mereka yang berminat untuk menyertainya.
Selain membantu menyediakan infrastruktur, peralatan, dana serta mengelolakan lawatan dari luar negara ke ladang-ladang pengusaha tersebut, jabatan turut menyediakan kursus-kursus untuk menghasilkan produk berasaskan strawberi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20120702/ag_01/Nilai-strawberi#ixzz2RwNU5FI0
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.