Saturday, April 6, 2013

Tips Melawat Cameron Highlands: Berbudi kepada tanah..

Pertanian adalah perniagaan. Ini adalah antara tajuk catatan yang pernah saya kongsikan dalam catatan terdahulu.
 
Benar. Itu adalah ungkapan yang tepat jika ingin mengambarkan industri pertanian di Cameron Highlangs. Pakej yang lengkap seperti climate dan juga kesuburan tanahnya menjadikan ianya kawah sayuran Malaysia sedari awal pembukaanya.
 
Namun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi oleh para petani. Petani Cina dan India kelihatan sudah terlalu jauh ke hadapan jika dibandingkan dengan petani Melayu tempatan malah jika hendak dibandingkan dengan petani warga asing yang memajak tanah di Cameron Highlands juga dikatakan tidak setara.
 
Apakah kemelut yang dihadapi oleh petani Melayu? Apakah penyelesaian yang diharapkan ? Apakah Kunci utama sebenarnya yang perlu dirungkaikan ...
 
Saya mengetahui sedikit kisah latarnya... ayuh kita kongsikan catatan yang mungkin boleh membantu ...






 


 
SUASANA dingin di Cameron Highlands pada pagi Khamis lalu sangat mendamaikan. Kepulan kabus ditambah hujan gerimis menyebabkan kesejukannya dirasai sehingga ke tulang.
Namun, bagi Syed Abdul Rahman Syed Abdul Rashid, 60, rutinnya sebagai pemilik sebuah ladang sayur-sayuran di tanah tinggi tersebut perlu diteruskan.

Ditemani seorang pembantu, Syed Abdul Rahman gagah mengemudi stereng kenderaan pacuan empat roda miliknya mendaki lerengan bukit di Sungai Palas, 1,500 meter dari paras laut.

Biarpun jarak ladang sayur-sayuran miliknya sekadar empat kilometer dari jalan utama, namun laluan sempit dan berliku menyebabkan bekas pegawai penyelidik MARDI itu terpaksa memandu berhati-hati.

Batas-batas sayuran segar yang menghijau di sebelah kanan laluan mula kelihatan, begitu juga kelibat pekerja warga Bangladesh mengutip hasil tanaman.

Semasa perjalanan masih berbaki kurang separuh, laluan ke ladang Syed Abdul Rahman semakin sukar. Apa yang kelihatan di depan hanyalah jalan selebar dua meter berturap simen dan cuma boleh dilalui sebuah kenderaan pada satu-satu masa.

“Laluan ini sebenarnya dibina sendiri pemilik sebagai akses ke ladang masing-masing. Inilah nasib jika ladang yang diusahakan jauh terperosok ke dalam,” katanya.
19 tahun lalu

Semasa mula mengusahakan ladang seluas 1.5 hektar di kawasan terbabit kira-kira 19 tahun lalu, Syed Abdul Rahman bersama beberapa rakan terpaksa meredah belantara dan menyediakan laluan keluar masuk yang minimum ke ladang.

“Asalnya dahulu ia hanyalah jalan tanah merah sebelum diturap menggunakan tar ataupun simen,” katanya.

Hampir 10 minit mengharungi laluan serba mencabar, kenderaan dipacu Syed Abdul Rahman tiba di destinasi yang dituju. Di sini, krew Jurnal mula dihambat perasaan teruja.




MASIH jelas dalam ingatan Syed Abdul Rahman tentang jerih payah kumpulan pekebun Melayu yang mula-mula membuka kawasan pertanian di Cameron Highlands suatu masa dahulu.




Deretan batas kobis bulat segar separuh matang yang menutupi sebahagian besar kawasan seluas 1.5 hektar itu nyata mengasyikkan.

Lebih membanggakan, ia merupakan hasil keringat salah seorang daripada 25 pekebun Melayu di Cameron Highlands. Terdapat kira-kira 2,200 pekebun sayur di tanah tinggi ini namun bilangan pekebun sayur Melayu adalah kurang daripada lima peratus.

Syed Abdul Rahman mengakui ramai rakyat negara ini kurang mengetahui kewujudan pekebun sayur Melayu di Cameron Highlands disebabkan dominasi pekebun Cina.

Dengan kawasan seluas kira-kira 71,000 hektar dan penduduk melebihi 30,000 orang, Cameron Highlands kini mempunyai lapan pekan iaitu Blue Valley, Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Brinchang, Tanah Rata, Lembah Bertam dan Ringlet.

Sebahagian besar aktiviti pertanian bertumpu di Lembah Bertam, sementara Blue Valley gah dengan ladang teh, antaranya Ladang Teh Blue Valley dan Ladang Teh Boh.

“Pekebun Melayu di tanah tinggi ini berpusat di dua kawasan iaitu di Sungai Palas dan Kampung Raja,” jelas beliau.

Merupakan antara pekebun Melayu terawal, Syed Abdul Rahman mengakui skala tanaman pekebun Melayu sebenarnya tidak mampu menyaingi pekebun-pekebun bukan Melayu.

Sungai Palas
“Malah kami juga berhadapan dengan dua masalah utama yang tidak berkesudahan iaitu pemasaran dan pembungkusan.

“Dalam aspek pemasaran, pekebun Melayu terpaksa menuruti kehendak pemborong,” katanya.
Mengenai pembungkusan, katanya, ketiadaan kemudahan yang sempurna telah menyebabkan produk yang dituai tidak mampu pergi ke pasaran yang lebih jauh seperti Singapura berbanding sayur-sayuran pekebun bukan Melayu yang dibungkus menggunakan teknologi terkini.




KAMPUNG RAJA merupakan antara lapan pekan yang masih bersaing dalam industri berasaskan pertanian sayur-sayuran.




“Isu harga kobis bulat seperti yang dilaporkan Kosmo! baru-baru ini merupakan antara isu yang membelenggu pekebun.

“Jurang harga pekebun iaitu 70 sen sekilogram dengan peruncit RM2.50 sangat jauh,” katanya yang juga Presiden Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands.

Bagi meningkatkan perolehan pendapatan, sebahagian besar pekebun Melayu terbabit akan mengambil bahagian dalam pasar-pasar tani di sekitar Cameron Highlands.

Secara umum katanya, pekebun sayur-sayuran Melayu di Sungai Palas mahupun di Kampung Raja menumpukan usaha terhadap tiga sayuran utama iaitu kobis bulat, kobis Cina dan tomato.

Menurutnya, kesemua tanaman berkenaan sememangnya memberi pulangan yang agak lumayan sekiranya menjadi, namun mengakui faktor musim dan persekitaran menjadi penentu.

“Kobis bulat dan kobis Cina memerlukan 100 hari untuk matang manakala tomato boleh mengeluarkan buah bermula dari usia tiga hingga lapan bulan,” katanya.

Bagi setiap 0.4 hektar tanah, sebanyak 10,000 pokok kobis, kubis Cina dan tomato boleh ditanam.

Dua jenis kobis terbabit mampu mengeluarkan hasil sehingga 35,000 kilogram bagi 0.4 hektar.

Setiap pokok tomato pula secara purata mampu menghasilkan tiga kilogram buah dan dianggarkan sebanyak 30,000 kg boleh dihasilkan sepanjang tempoh tuaian.

“Secara kasar, kos pengeluaran bagi sekilogram kobis adalah 68 sen manakala tomato 80 sen.

“Namun, jika diusahakan menerusi kaedah fertigasi atau sistem kultra tanpa tanah (KTT), laba yang mampu dijana meningkat berkali ganda,” katanya.




SAYUR-SAYURAN segar dari Cameron Highlands mendapat permintaan yang tinggi di negara ini.



Jutawan

Tidak menyangkal ramai pekebun Cina di Cameron Highlands kini bergelar jutawan, Syed Abdul Rahman yakin penyertaan golongan muda Melayu dalam industri sayur-sayuran tanah tinggi itu akan menuruti kejayaan dikecapi kelompok berkenaan.

Seorang lagi pemilik kebun, Khairani Muhammad berpendapat kerajaan negeri dan Majlis Daerah Cameron Highlands perlu berusaha mengenal pasti tapak-tapak tanah yang bersesuaian yang boleh diusahakan golongan muda Melayu.

“Pekebun Melayu sebenarnya mampu bersaing tetapi kekangan tapak menyebabkan peranan kami agak terbatas,” katanya.

Bagi graduan diploma hortikultur dan landskap dari sebuah institusi pengajian tinggi awam, Safawati Yasin, beliau bersedia menjadi pekebun sayur sepenuh masa.

Wanita berusia 24 tahun yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu kini menjadi pelatih kepada Syed Abdul Rahman menerusi program keusahawan, Tunas Mekar selepas menamatkan pengajiannya.

Safawati memberitahu, kebanjiran 50,000 hingga 80,000 pelancong asing mahupun tempatan di tanah tinggi terbabit pada setiap hujung minggu sewajarnya direbut oleh golongan muda khususnya anak jati Cameron Highlands sendiri.

“Pelancong ke sini bukan sahaja melihat keindahan tetapi akan berbelanja. Pasaran sayur-sayuran segar ini sangat besar,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=1122&pub=kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2PfYIdyyz
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.