Friday, April 12, 2013

Petikan Berita ; Kekurangan pekerja di ladang teh mengundang bencana...

Jika anda datang ke Cameron Highlands, saya pasti Ladang Teh Bharat yang membawa jenama Cameron Valley akan ada kunjungi. Kemudahan pusat teh yang terletak di bersebelahan jalan utama memudahkan kunjungan anda khasnya yang malas untuk menyelusuri laluan ke Ladang Sungei Palas milik Boh.
 
Melihat hamparan pokok teh yang renek dan menghijau memberikan sisi pandangan yang tidak akan anda temui di lain tempat selain di Cameron Highlands.
 
 
Namun untuk memastikan hamparan hijau ini kemas terjaga dengan pengeluaran daun yang berterusan , sekali lagi tenaga kerja asing ditagih untuk memastikan kelangsungannya.
 
Artikel ini disiarkan pada tahun 2010 sebelum perlaksanaan Program 6P iaitu pemutihan tenaga kerja asing. Namun cabaran masih sama dalam mencari tenaga kerja yang berterusan demi industri ladang teh di Malaysai.
 
Sebelum ini catatan mengenai kisah si pemetik teh telah saya kongsikan....  kini dengar pula kisah pemiliknya.. kali ini dari mulut pemilik Bharat Tea yang terkenal dengan jenama Cameron Valley.
 
Juga kisah pemilik ladang teh Boh yang diteruskan legasinya oleh cucunya Coraline di dalam catatan yang berlainan yang pernah saya kongsikan sebelum ini.

 

Isnin Jun 14, 2010 , Tiada Pekerja Ancam Industri Teh Malaysia

 
Dato Kesav Kumar Agarwal
INDUSTRI teh Malaysia yang telah berabad lamanya bertapak di Cameron Highlands kini sedang berhadapan dengan ancaman kepupusan ekoran kekurangan pekerja dan tenaga buruh.

Hakikatnya, dua buah syarikat di Cameron Highlands telahpun gulung tikar akibat ketiadaan pekerja dan kesukaran mendapatkan tenaga buruh yang memahami selok belok industri teh.

Kini dua lagi syarikat yang masih bertahan hanya beroperasi pada tahap 20 peratus di bawah kapasiti sebenar, kata Pengerusi Persatuan Pengeluar Teh Malaysia, Datuk Kesav Kumar Agarwal.

Katanya, ladang teh yang seluas 2,400 hektar memerlukan 1,800 pekerja pada satu-satu masa.

Jika jumlah itu tidak dapat dikekalkan, adalah dikhuatiri industri teh Malaysia akan pupus dalam tempoh satu dekad atau mungkin lebih cepat dari itu.

Malah katanya, industri teh Malaysia menyediakan perkhidmatan sokongan kepada beribu orang sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui aktiviti hiliran seperti pembungkusan, logistik, dagangan, pemasaran dan peruncitan.

Tambah Kesav lagi, tanpa industri teh tempatan, rakyat Malaysia akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk jenama teh impot.

“Kerajaan dapat membantu menyelamatkan industri ini dengan memberikan kelulusan permit pekerjaan kepada pekerja Bangladesh yang sanggup untuk bekerja dalam sektor perladangan,” ujarnya lagi.

Buat masa ini kata Kesav, kerajaan hanya meluluskan pemberian permit kepada pekerja-pekerja dari Kazakhstan, Uzbekisthan, Pakistan dan India tetapi kebanyakkannya tidak berminat bekerja dalam sektor perladangan.

 
Kerajaan telah membekukan pengambilan pekerja dari Bangladesh pada Oktober 2007.

Menurut Kesav lagi, adalah mustahil untuk mendapatkan pekerja tempatan untuk industri ini apatah lagi tidak ada penganggur di Cameron Highlands.

Sehubungan dengan itu beliau meminta kerajaan memberi pertimbangan khas agar tempoh permit pekerja Bangladesh dipanjangkan lagi dari lima tahun kepada 10 tahun.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.