Monday, February 4, 2013

Menjadi seorang penerokawati...

Jika kisah sebelum ini kita kongsikan mengenai PENEROKA yakni golongan bapa, tidak akan lengkap dan tidak akan adil jika kita tidak meneruskan pula dengan kisah ketabahan seorang wanita yang bergelar Penerokawati.
penerokawati
Gambar ini dari Facebook Alumni Asrama Felda perkongsian Pak Abu ..
Ibarat pelengkap kepada irama dan lagu, maka begitulah kepada peranan penerokawati ini kepada kehidupan sebuah keluarga. Cuma saya agak  keliru dengan definisi penerokawati kerana kalau mengikut laman web Felda, mereka menyatakan terdapat 18,212  penerokawati di seluruh Malaysia.

Saya tidak pasti apakah jumlah penerokawati ini mengambarkan kalangan ibu tunggal yang telah kehilangan suami ataupun ada tafsiran yang lain kerana direkodkan pula 92 ribu bilangan peneroka.

Saya nak permudahkan. Bagi saya setiap isteri kepada peneroka adalah penerokawati. Anda setuju?

Apapun yang kita nak kongsikan adalah kisah di sebalik gelaran ini. Sedar atau tidak, dibelakang seorang suami alah isterinya. Di sebalik kegigihan seorang suami adalah kesetiaan seorang isterinya.

Di sebalik ketabahan dan kecekalan seorang peneroka adalah kerana kesabaran dan sokongan tak berbelah bahagi seorang isterinya dalam menghadapi sebaran cabaran dan dugaan. Ibarat ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul, tanggungjawab dan mengharungi cabaran sebagai warga felda dihadapi bersama dan lebih besar tanggungjawab dipikul membina masa hadapan keluarga yang berjaya dan bahagia. 

Lebih menjangkau lagi sisi mereka adalah disebalik kejayaan anak-anak adalah kasih sayang yang diberikan oleh si ibu. Di sebalik keteguhan peribadi anak-anaknya adalah kerana ketegasan si ibunya.

Penerokawati memainkan banyak peranan yang tidak didendang tetapi dirasai sendiri oleh setiap anak-anak dan suami. Mereka menyumbang tanpa jemu untuk melihat keluarga terjaga di kala si suami keluar menunaikan kewajiban. Malah bukan sedikit pula dikalangan meraka turut sama mebanting tulang belulang dan memerah keringat bersama si suami.

Di sebalik wajah tabah si ibu ini ada perasaan halus yang mungkin tidak kita sedari. Ada kalanya mereka berlapar kerana kehabisan makanan. Adakalanya mereka merelakan barangan kemas dipajak untuk melihat si anak dapat menyambung belanja ketika belajar.

Ada juga di kalangan penerokawati perlu menjadi bukan sekadar seorang ibu tetapi menjadi bapa dan tulang belakang keluarg selepas kehilangan insan yang tercinta. Mereka membanting tulang dan melakukan tugas si bapa kerana sedar segala tanggungjawab perlu ditanggung demi kesenangan anak-anak.

Untuk mengkisahkan kisah meraka, terlalu banyak dan saya kira tidak dapat tidak pasti mengundang titisan air mata di kala kita membaca keperitan dan kesusahan yang disulami kecekalan mereka.

Anda mungkin merasainya sendiri, apa kata anda kongsikan kisah penerokawati yang terdekat dengan diri anda iaitu ibu anda .. mak anda… ummi anda di sini… 

catatan ini juga boleh dibaca di feldakumai.com

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.