Monday, February 4, 2013

Bolasepak @ Felda Kumai...

Kisah mengenai Felda Kumai yang ingin saya imbau seterusnya adalah mengenai bolasepak. Apa yang hebatnya untuk diceritakan mengenai bolasepak? Sana sini semuanya bermain bolasepak.


Sebenarnya tiadalah hebat sangat. Cuma sesekali mengimbau bertapa meriahnya aktiviti bermain bolasepak di Felda Kumai suatu ketika dahulu.

Bola @ Kumai (17)

Mungkin saya hanya mampu untuk mengenangkan kembali sekitar tahun 1985 ke atas. Ketika ini saya kira bukan hanya Felda Kumai yang begitu aktif dengan permainan bolasepak tetapi meluas di sekitar Felda di Gugusan Bera termasuklah kilang-kilang sawitnya. 

Saya kira ketika itu peneroka masih muda, sihat dan golongan belia masih ramai di Felda Kumai kerana tidak berhijrah ke luar. Kalau jauh pun kebanyakkan belia di Felda Kumai  ketika itu bekerja kampung samada mengambil upah di ladang atau pun bekerja di kilang sawit seperti di Tementi dan Triang 3. Jangan tak percaya antara kelebihan kalau memohon kerja di kilang sawit ketika itu adalah boleh dan pandai bermain bola.

Maka setiap petang akan penuhlah padang bola di Felda Kumai dengan aksi-aksi hebat pemain bolasepak dari dua lapisan berbeza era ini. Lebih menambah keghairahan adalah kalangan guru-guru sekolah kebangsaan yang rata-rata juga muda dan mengisi waktu petang dengan permainan bolasepak.

Setiap bulan akan ada sahaja perlawanan bolasepak persahabatan antara Felda dan lebih menarik juga diadakan perlawanan 7 sebelah atau 9 sebelah yang bukan hanya mengundang 6 pasukan tetapi menjangkau 20 pasukan dalam satu-satu masa.

Yang berniaga makanan seperti ayah saya ketika itu turut mendapat limpahan rezeki. Manakala kami yang masih kecil pula tak akan melepaskan menonton aksi tersebut walauapun terik dan bahang matahri ketika itu menbakar bukan hanya kepada pemain tetapi kami juga.

Kelibat dan kelincahan pemain seperti Cikgu Samsudin, Pak Cik Dzulkifli (Ayah Jimmy), Parmin, Abg Zul Kengkang atau Abang Ramli PNF mungkin sekadar beberapa nama serta ketegasan Arwah Mat Kuning yang selalu menjadi pengadil menjadi antara watak penting di tengah padang.
Bola @ Kumai (36)
Jimmy Halimy ...
Felda Kumai pernah menjadi juara bagi Gugusan Bera pada tahun 1990 atau 1991 kalau tak silap saya dan menyaksikan perlawanan akhir di padang Felda Sebertak dengan menaiki lori kelapa sawit milik koperasi yang diaturkan khas kepada kami sukar dilupakan.

Malah kesungguhan Arwah Asri Pak Hassan (depan masjid) mengayuh sendiri basikalnya untuk ke Sebertak selepas ketinggalan lori yang disediakan menjadi bukti kesungguhan penyokong Felda Kumai ketika itu biarpun hanya sampai di separuh masa kedua.

Kehebatan pemain-pemain Felda Kumai yang mengabungkan belia dan peneroka serta guru-guru dibawah pimpinan jurulatih Cikgu Kamaruzaman (Penyelia Petang)  ketika itu sukar dinafikan pasukan lawan. Kalau tak silap saya kami menang 3-0 mengalahkan Rentam diperlawanan akhir.

Malah perlawanan peringkat awal kumpulan itu sendiri telah menampakkan kehebatan pasukan Kumai ketika itu.

Menjelang pertengahan tahun 1990 an, padang bola Kumai yang sememangnya dianggap terbaik di kalangan padang bola felda yang lain di Gugusan Bera menjadi suram kerana penghijrahan ramai kalangan belia ke luar  khasnya ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pekerjaan. Manakala golongan peneroka pula bertambah berusia meninggalkan hanya kalangan remaja yang terkontang kanting sendirian di padang.

Kini, difahamkan padang Felda Kumai kembali meriah dengan aktitiviti bermain bola ini dan aktif juga pasukan bolasepak Kumai membuat perlawanan persahabatan.

team kumai terkini
pasukan Kumai 2013
Bagi kami yang pernah merasai bahang kehebatan bolasepak di Felda Kumai suatu ketika dahulu ini amat mengharapkan bahangnya berterusan membakar semangat dan menyalakan keghairahan yang berterusan dikalangan mereka… syabas…

ikuti catatan ini di feldakumai.com

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.