Tuesday, December 11, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Al Mashoor Strawberies di Kuala Terla

Pagi tadi, saya ada urusan di Bank CIMB di Kampung Raja. Bank CIMB ini dahulunya dibuka di Tanah Rata sekitar 6-8 bulan sahaja sebelum berpindah ke 'lubuk duit' di Kampung Raja. 

Maklumlah, pekebun-pekebun yang kaya raya semuanya  berada sekitar Kampung Raja, Kuala Terla, Tringkap, Blue Valley sehinggalah ke Lojing, Kelantan.

Yang terasa kesannya adalah Maybank di Tanah Rata kerana setelah CIMB berpindah ke sana, mereka kehilangan pelanggan yang ramai dan akhirnya kerana tuntutan persaingan, maka mereka turut membuka cawangan baharu berhadapan dengan CIMB. 

Tapi bukan kisah MAYBANK dan CIMB yang saya nak kongsikan. Tetapi kepada perjalanan balik saya ke Tanah Rata. Jadi saya cuba sebagai pelancong pula untuk mengetahui apakah yang akan saya temui di sepanjang perjalanan sejauh 21 km ini. 

Saya akan langkau tempat-tempat yang pernah saya kongsikan dalam catatan yang terdahulu. 


Lokasi pertama selepas sahaja Kuala Terla adalah Al-Mashoor Strawberies yang pernah saya kongsikan catatan mengenai outlet utama mereka di Kampung Taman Sedia. 

Di sini sesuai sebagai hentian kedua anda selepas Bharat Tea Centre. Bezanya, hentian ini adalah segalanya mengenai strawberry. Baik dari konsep, tanaman pameran, produk dan juga pengalaman anda akan berkisar mengenai strawberry semata.


Anda boleh melihat tanaman strawberry di sini yang mungkin pertama kali bagi anda samada sepanjang hidup ataupun di Cameron Highlands. 


Anda boleh merasai beberapa produk makanan yang berasaskan strawberry seperti kordial, ais krim dan sebagainya.

Anda boleh membeli produk hiliran strawberry seperti jam, syrup, acar dan strawberry segar.


Di samping itu anda boleh berehat dari penat memandu dan perjalanan jauh. 


Mungkin juga anda ingin segera menunaikan solat kerana sudah hampir mengakhiri waktu solat anda kerana tiada persinggahan sebelum ini. 


Kemudahan seperti kerusi dan meja rehat. tandas, surau serta ruang meletak kenderaan yang luas juga memudahkan anda ketika berada di sini.


Premis ini adalah diusahakan dan dimiliki oleh pengusaha melayu dan boleh dikatakan antara barisan usahawan pertama melayu yang terlibat dengan tanaman strawberry.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.