Saturday, November 10, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands; Pokok Halau Nyamuk

Cameron Highlands ini memang semua tahu, sejuk tambahan lagi di waktu malam apatah lagi kalau hujan turun pula dan lebih terasa bilamana anda datang ketika musim tengkujuh di hujung tahun.

Cuaca seperti ini selalunya membolehkan segelintir pokok yang hidup subur di sini dan kurang jika di bawa ke bawah. Jadi kalau anda membeli pokok-pokok bunga di sini, pastikan anda mengetahui cara penjagaannya.

Tetapi yang saya nak kongsikan dalam catatan ini bukan mengenai pokok bunga tetapi sejenis pokok yang senang hidup di sini tetapi tidak menepati pula fungsi sepenuhnya iaitu pokok penghalau nyamuk ataupun pokok jeremin. 

Kenapa kurang fungsinya? Kerana di Cameron Highlands dikatakan amat kurang nyamuknya berbanding di bawah tetapi harus diingatkan... 'kurang' bukannya 'tiada' langsung. Ada orang berseloroh, nyamuk sini kurang sebab kalau nak terbang berat ... dia orang kan pakai baju sejuk tebal.... 

Saya masih ingat seawal tahun 2007 ketika ke sini, saya mendapat deman dan disyaki deman denggi dan Doktor yang merawat saya mengatakan jika benar denggi pastinya ketika saya berada di bawah kerana sudah terlalu lama tiada penyakit denggi di sini. Terlalu lama katanya... 

Tapi bila saya tanya rakan-rakan dari Pejabat Kesihatan, masih ada penyakit denggi dari punca tempatan dan saya perlu mengakui bahawa salah seorang pekerja asing saya sendiri di Lembah Bertam tahun yang lalu telah sah mengidap denggi. 

Untuk langkah pencegahan, kami menanam pokok ini di sekitar rumah pekerja di samping meningkatkan kebersihan yang sepatutnya. Bagaimana pokok ini boleh membantu? Saya besarkan gambar di bawah ini untuk anda membacanya sendiri bagaimana ia berfungsi. 


Di Cameron Highlands, jika anda berhajat hendak membelinya, mudah sangat kerana boleh dikatakan setiap pusat jualan ada menjual pokok ini dengan harga RM 5 hingga RM 10 mengikut saiz sepasu. Di Stesen MARDI contohnya terdapat banyak simpanan pokok ini sedia menanti anda di jual. Di Kea Farm saya tengok beberapa kedai juga turut menjualnya. 

Kalau anda bertanya saya adakah pokok ini boleh hidup di bawah sana? Jawapan saya boleh kut.. cuba buat carian mengenai pokok ini dan ramai yang telah membelinya samada dari sini ataupun dari nurseri semaian di bawah yang telah menanamnya di rumah... 

Pokoknya jenis berdaun semuanya dengan daunnya berwarna hijau muda dan seperti daun krismas dan berbulu dibahagian batang dan rantingnya. Silap pandang dah macam ulam raja pula daunnya.


Pokok ini boleh ditanam di dalam pasu dan jika besar sedikit boleh dibiakkan dengan keratan batangnya semata dan pindahkan ke pasu yang lain.


Menjaganya tidaklah sukar dengan membiarkan dia merimbun sendiri dan pastikan air disiram selalu kerana jenis dari monokotiledon iaitu berakar serabut bukannya tunjang dan  tidak mempunyai xilem. ( Betul ke ni..lama sangat tak guna istilah ni...).


Selamat mencuba... tapi ini sekadar tambahan usaha bukannya mutlak untuk memerangi nyamuk. Kebersihan rumah harus dijaga. Kalau rumah sentiasa penuh dengan tempat pembiakan nyamuk, anda duduk dalam hutan jeramin sekalipun pasti susah nak diduga... 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.