Friday, November 9, 2012

Catatan Percutian: Istana Jahar @ Kelantan

Catatan ketiga percutiana ke Kelantan saya kongsikan mengenai destinasi pertama kami iaitu Istana Jahar dan kawasan sekitarnya. 

Selepas berehat di hotel, kami ke sini kerana ingin melawat Masjid Muahamadiah dan Istana Jahar dan Kompleks Kebudayaan yang berdekatan. 

Memasuki ISTANA JAHAR saya membayangkan inilah saiz asal Istana Sultan yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad1 iaitu sekitar 1837 hingga 1886 selepas pembukaan Kota Bharu dan juga pembinaan Istana Balai Besar yang terletak bersebelahannya.  

Istana ini dibina oleh Sultan Muhammad I untuk dihadiahkan kepada cucundanya, Long Kundur namun tidak dapat disiapkan ketika hayatnya yang mangkat pada 1886. Penganti baginda, Long Sulong yang menggunakan gelaran Sultan Ahmad meneruskan pembinaan sehingga siap. 



Istana ini masih tidak bernama sebenarnya biarpun ketika zaman pemerintahan Sultan Muhamad IV sehingga pada 1911, Baginda pulang dari Singapura dan membaiki istana ini sebelum memberikan nama Istana Jahar sempena dengan salah satu tanaman yang terdapat di lamannya. 



Istana dua tingkat ini nampaknya agak kecil tetapi mungkin ketika itu sudah dianggap gah dan besar. Istana ini menjadi tempat persemayaman Sultan Kelantan sehingga 1944 selepas Sultan Ibrahim menaiki tahta. 


Untuk mengetahui sejarahya, saya petik dari Arkib Negara untuk anda baca tanpa suntingan manakala selebihnya adalah gambar koleksi kami ketika berada di sini sekitar 30 minit. 

Mengunjungi Istana Jahar yang kini merupakan Muzium Di Raja Kelantan telah memberi gambaran kepada kami sekeluarga mengenai adat istiadat dan alat kebesaran yang dimiliki oleh kerajaan yang terdahulu serta sedikit sebanyak info mengenai adat istiadat yang dijalankan. 


Menaiki tangga berpusing untuk ke tingkat dua pula untuk ke ruang beradu raja dan melihat kepada busana kebesaran di samping berjalan-jalan ke ruang Istana Jahar ini. Dari anjungnya, dapat dilihat dataran yang mungkin suatu masa dahulu tempat berhimpun rakyat jelata untuk bertemu baginda sultan. 

Bahagian belakang Istana yang mungkin suatu ketika dahulu merupakan dapur istana dan juga kediaman dayang dan bentara kini mempamerkan koleksi peralatan yang lain seperti model rumah, pedati kuda, bahtera dan pelbagai lagi



Bersebelahannya pula terdapat Istana Balai Besar yang menjadi istana utama kepada semua pentadbiran dan istiadat yang dijalankan dahulu. Kami sekadar berposing dihadapan pintu gerbangnya sahaja sebelum ke Komplek Budaya yang terletak bersebelahannya. 


Tiket masuk sekitar RM 2 dewasa kalau tak silap saya dan anda boleh melawat komplek Muzium Di Raja  ini untuk mengetahui Sejarah Kesultanan Negeri Kelantan.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.