Monday, October 15, 2012

Gambar Kucing siri ke 4 : Si kenet

Kisah si Kenet ini penyambung kepada kisah 'abangnya' Aboon. Kenet merupakan anak kucing Jantan yang dilahirkan di Cameron Highlands dan asalnya tiga beradik. 

Saya kutip si Kenet di hadapan pejabat saya yang amat merbahaya kerana laluan anjing-anjing liar. 

Kenet berwarna hitam dan putih seperti Bendera negeri Pahang. Masa diambil, dia sekitar berumur 3 bulan dan penuh keletah manja. Saya membawa pulang untuk dijadikan teman kepada si Aboon yang keseorangan ketika itu. 

Pada awalnya, si Kenet ini tidak betah duduk di apartment tingkat empat yang sentiasa di kunci. Cuaca yang amat sejuk mungkin nampaknya biasa kepada kucing Cameron Highlands tetapi jelas masih terasa kepadanya. 

Selalunya dia akan bersidai di bumbung awning dapur rumah bawah yang sedikit curam dengan aksinya melentang memanaskan badan. 

Malah di waktu yang tiada cahaya matahari dia akan duduk di atas peti TV yang terasa suam dan panas atau minta diselimut.

Kenet kucing yang manja. Usia mudanya tidak membataskan gurauannya kepada Aboon. Diterkam, mengigit dan dan selalunya akan bergulingan antara satu sama lain. 

Kenet pantang mendengar suara kucing yang lain di bawah makan akan terjongollah kepalanya di jeriji untuk menjawab. 

Sifat manja Kenet di waktu malam memang terserlah. Kalau nak tidor, tempatnya di antara kami berdua dan mesti di dalam selimut sepenuhnya. 

Seawal pagi pula dia akan turut bangun serentak dengan isteri saya minta didukung, Bayangkan kalau menseterika baju pun mahu didukungnya.  

Selepas berpindah ke rumah baru, masih di tingkat empat, Kenet berpisah dengan Aboon kerana Aboon tiba-tiba hilang selepas berpindah ke rumah baru. Maka sifat manjanya semakin bertambah kerana sifat 'anak tunggal' ketika itu. 

Kalau balik sahaja dari kerja, tidornya di atas riba, kalau makan minta berteman, kalau nak keluar, mengiau nak ikut malah di dalam kereta akan bergerak ke depan dan belakang. Waktu malam tidornya masih sama, kalau bangun pagi, masih sama berkejaran dengan si isteri saya bersiap.

Perangai menjemur diri dengan panas masih diamalkan. Cuma di rumah baru, tiada bumbung awning rumah bawah tetapi sekadar dinding balkoni. Pernah sekali selepas balik kerja, kami tidak menemuinya di dalam rumah. Puas di cari dan isteri saya sudah nak menangis kerana baru kehilangan Aboon. 

Bila dipanggil suara lemah menjawab dari bawah dan rupa-rupanya, dia terjatuh dari tingkat empat. Tak mampu bergerak kerana tulangnya pinggangnya patah. 

Memandangkan hari sabtu, kami bergegas membawanya turun ke Ipoh dengan segera dan bila sampai di Klinik Haiwan yang hampir ditutup, dia dirawat dan perlu ditinggalkan selamat tiga hari. 

Kos rawatanya sahaja mencecah RM 300 lebih tetapi kerana dah sayang, maka kami sanggupi sahaja. Alhamdulillah, dia pulih semula selepas sebulan. Cuma malam pertama pulang ke rumah melihat dia mengesot untuk ke bilik air, mengundang sayu kami berdua kerana selalunya habis dipanjatnya satu rumah.

Peristiwa kedua, selepas kami mendapat anak pertama kami. Selepas berpantang 2 bulan di Kampung, saya membawa pulang Isteri dan anak. Ketika sampai di rumah, isteri saya memanggilnya dari bawah dan kedengaran suara riangnya menjawab malah mula mencakar pintu minta dibuka. 

Apabila dibuka, seperti biasa dia segera memanjat kakiknya untuk mintak didukung tetapi isteri saya tidak dapat melakukanya kerana sedang mendukung anak. Saya mengambil si kenet lalu mendukungnya dan dia mahu memeluk isteri saya tetapi tergamam kerana terlihat bayi dipelukan isteri saya.

Suaranya mula mengeram dan menderam dan matanya, ekornya, telinganya mula tegak kerana marah ataupun cemburu kepada isteri saya. 

Kelibatnya seperti mahu mencakar bayi kami lantas saya menjauhkan dia dari isteri dan bayi. 

Suaranya masih menderam, ekornya masih tegak dan dia mula mundar mandir dihadapan tv tanda marah. 

Akhirnya isteri saya memujuknya selepas meletakkan anak di dalam bilik dan jelas kelihatan dia perlahan-lahan kembali tenang dan seperti biasa minta didukung.

Bimbangkan bulu-bulu yang melekat akan memudaratkan bayi, isteri saya seringkali menukar baju setiap kali bersama si kenet dan baby kami. 

Sikap awalnya kepada bayi kami seperti tidak menyukainya buat 2 minggu yang pertama tetapi selepas itu, si kenet dan bayi kami Haziq bagaikan kembar. 

Di mana sahaja Haziq diletakan, pasti si Kenet akan berada disebelahnya. Jika Haziq di dalam buai, dia akan berada dibawah buaian. Setiap kali Haziq menangis, dia akan segera bingkas seolah-olah menenangkan malah akan mengiau di dapur seolah-olah memberitahu isteri saya.

Kami bimbang kerana terlalu rapat si kenet ini boleh menyebabkan asma. Maka selalunya saya akan membawanya ke tempat lain dan menasihatinya jangan terlalu dekat. Kami tak pasti, selepas hampir setahun si kenet mula menjauhkan diri dari kami dan mungkin kerana sifat jantannya mula dewasa untuk mencari betina. 

pantang bau durian, pasti akan dicakar plastik durian mintak dikupas. 
Pada awalnya setiap kali keluar kalau dipanggil pulang, pasti disahut dan naik keatas tetapi lama kelamaan tidak bersahut. Mungkin dia juga mempunyai kehidupan sendiri pula sejak detik itu..

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.