Tuesday, August 14, 2012

Petikan Berita : Patin sekilo RM 300

Kali ini berkongsi pula dari Harian Metro yang begitu dekat kisahnya dengan aku yakni patin Sungai Pahang.Satu ketika dahulu saya pernah berkongsikan kisahnya yang memetik dari Kosmo dengan tajuk "Penangan Patin Ori' (klik) dan kini giliran Harian Metro pula. Klik

Terkenal dengan jolokon Daerah Patin, Temerloh sememangnya kaya dengan pengeluaran spesis ini secara kormesial dan pada masa yang sama kelikatan air sungainya yang mengalir lesu berwarna kuning ini, ada raja sungai yang masih berselindung dan jika ada rezeki pemancing pasti tumpas jua ke darat.

Untuk memeriahkan imej ikan patin ini, Majlis Pembandaran Temerloh (MPT) membina Dataran Patin di sebelah Esplanade Temerloh. Klik untuk catatan saya mengenainya . Klik.

JERANTUT: Harga ikan patin muncung Sungai Pahang mendominasi senarai harga ikan air tawar di negeri ini apabila mencecah RM280 hingga RM300 sekilogram, sekali gus mengatasi harga jelawat yang dijual pada kadar RM220 hingga RM250 sekilogram.

Raja segala ikan Bagaimanapun, harga yang tinggi bagi mendapatkan ikan yang boleh dianggap sebagai identiti negeri itu bukanlah penghalang sebaliknya orang ramai tetap mahukan ikan berkenaan seraya membuatkan permintaan terhadap patin muncung meningkat dua kali ganda berbanding biasa.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pasar di daerah ini mendapati patin muncung pasti menjadi pilihan terutama di hujung minggu iaitu apabila anak penduduk yang pulang dari perantauan untuk menjalani ibadat puasa bersama keluarga masing-masing.
Di Jerantut, lokasi paling panas mendapatkan ikan air tawar segar ialah di Pekan Sehari Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Besar Jerantut yang mula dikerumuni orang ramai sejak awal pagi.

Patin muncung, jelawat, temoleh, tapah, patin perak, patin buah, tenggalan, gerahak, baung kenderak, baung akar dan kerai adalah antara ikan sungai yang sering diburu penduduk setempat setiap kali ke pasar kerana rasanya yang enak jika dijadikan masak tempoyak, pais tempoyak, gulai rom dan masak asam belimbing buluh.

Seorang peniaga di pasar besar Jerantut, Ruslan Wahab, 54, berkata permintaan ikan sungai sentiasa mendapat sambutan pembeli walaupun harganya mahal.
BERTUAH...nelayan sungai, Abdul Fadil Abu Samah berjaya menangkap  patin muncung Sungai Pahang seberat 33 kilogram.
BERTUAH...nelayan sungai, Abdul Fadil Abu Samah berjaya menangkap patin muncung
Sungai Pahang seberat 33 kilogram.
“Saya mendapat bekalan ikan dari nelayan sungai di Kampung Pulau Mangsuk, Lada, Batu Embun, Jerantut Feri dan Kuala Teh. Biasanya ikan sungai yang dijual akan habis dalam masa sejam saja kerana pembelinya tetap ada walaupun harga ikan sungai asli cukup mahal.

“Ada kala, nelayan sungai selama ini menjadi pembekal, tidak dapat memenuhi permintaan kami kerana ada juga pelanggan sudah menunggu di jeti semata-mata mahu mendapatkan ikan sungai segar.
“Harga patin muncung memang mahal sekarang terutama bagi yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram. Bagi yang bersaiz lebih besar, harganya murah sedikit tetapi masih melebihi RM200 setiap kilogram,” katanya.

Katanya, harga bagi ikan sungai asli yang lain seperti temoleh mencecah RM40 sekilogram, juara (RM24), tapah (RM60), patin buah (RM100), tenggalan (RM80), baung kenderak (RM24), gerahak (RM55), baung akar (RM40), kerai kunyit (RM30) dan kerai jelawat (RM60).

Katanya, ikan sungai asli sering mendapat permintaan ramai kerana rasa isinya yang jauh lebih sedap berbanding ikan sungai diternak dalam sangkar.
Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.