Thursday, June 14, 2012

Tips Melawat Cameron Highlands: Jalan Tapah .. kembara Asli

Kisah mengenai Jalan Pahang ataupun dikenali juga dengan Jalan Tapah -Ringlet pastinya tidak akan lengkap tanpa mengaitkannya dengan kisah masyarakat Orang Asli yang sememangnya telah lama berada dan bertapak di jajaran jalan ini.


Malah agak unik kerana rata-rata kehidupan mereka masih berindentitikan kebudayaan asal mereka seperti kegiatan harian memburu, menuai hasil hutan dan sebagainya.

Manakala kehidupan harian juga berlatarkan perkampungan orang asli yang masih berumahkan buluh dan beratap rumbia. Bekalan air masih menggunakan air sungai hutan semulajadi.

Lokasinya masih sekitar hutan belantara samada di atas bukit, pinggir bukit ataupun tebing sungai malah menghampiri kepada empangan janakuasa elektrik milik TNB.

Mereka masih tebal dengan identiti kaum mereka melainkan pakaian yang moden, bermotorsikal dan bersekolah bagi kanak-kanak.

Sepanjang 64 km jalan ini, dengan mudahnya kita akan menemui pelbagai gerai jualan samada menawarkan hasil hutan ataupun kraftangan. Cuma yang sukar ditemui adalah buruan haiwan yang mungkin tidak akan anda temui.

Seawal pagi berdasarkan pengalaman saya jika anda melalui jalan-jalan ini sekitar 6 pagi, anda akan melihat kumpulan kanak-kanak berseragam sekolah menunggu di bawah lampu jalan ataupun dalam gelap bas sekolah untuk mereka ke sekolah terdekat. Jika anda bernasib baik, anda akan melihat bagaimana mereka bersesakan di dalam bas sekolah untuk mencari ilmu. 

Ketika seawal 7 pagi pula jika kena pada musimnya anda akan melihat bagaimana longgokan durian di sepanjang jalan menan mereka.

Ada yang mengendong bakul di kepala dengan durian yang sarat termuat durian belakang mereka. Bagi yang bermotorsikal, bahagian raga tambahan di belakang penuh dengan kutipan durian yang gugur semalaman menuju ke tempat dimana peraih durian menunggu setiap pagi di musim durian. 

Menginjak pula pukul 9 pagi sebilangan dari mereka mula membuka gerai jualan masing-masing seperti petai, rebung, hasil hutan seperti halia batu, daun-daun, akar-akar kayu. Semenjak dua menjak ini pula kelihatan mereka mula menjual hasil kraftangan yang diperbuat dari rotan tetapi sukar untuk saya jangkakan sumber sebenar barangan ini.

Ketika waktu petang, kebiasaanya kanak-kanak mula berkumpul dan bermain-main di pinggir jalan tidak kira lelaki ataupun perempuan.


Kadang-kala suasana lebih meriah tatkala penjual barangan basah dengan van atau lori tiba.  Menjengah senja anda akan dapat melihat kanak-kanak dan gadis belia serta orang tua berjalan menuju alur sungai untuk mandi.

Bila malam melabuh, kelihatan samar-samar lampu pelita dihidupkan di setiap rumah. Tetapi sebilangan perkampungan Orang Asli dilengkapi dengan sumber bekalan ini.

Bagi anak-anak muda mereka ini mudah ditemui melepak di tepi jalan dengan motorsikal masing-masing. Nasihat kepada pemandu, memang selesa untuk memandu laju di setiap selekoh di waktu malam kerana selalunya kita menjadikan pancaran lampu dari hadapan sebagai tanda ada kenderaan mendatang atau tidak tetapi awas kerana kadang kala motorsikal remaja ini tiada berlampu. Sedang asyik melayan selekoh datang pula tetamu tidak diundang. 


Tidak juga terlepas pandang saya juga akan kelihatan beberapa remaja dan dewasa akan berjalan menuju hutan dengan sumpit di tangan dan saya percaya mereka pergi memburu di waktu malam.

Kesukaran pastinya terbayang kepada kita tetapi saya percaya tidak bagi mereka yang menjadi rutin seharian.

Apapun mungkin semua ini akan lebih jelas jika anda merasainya sendiri. Sekiranya tidak perlu bergegas pulang, mungkin singgah sekitar beberapa gerai atau kampung boleh memberikan anda pengalaman yang berbeza untuk anda.

Terdapat lebih dari sepuluh kampung di sepanjang jajaran jalan ini seperti Kampung Orang Asli Batu 6 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak, Sungai Chedok Batu 7 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak, Kampung Kuala Telum Batu 7 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak, Kampung Batu 19 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak, Kampung Batu 5 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak dan Kampung Batu 6 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak.

Begitu juga dengan Kampung Batu 17 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak yang cukup terkenal dan boleh dikatankan agak ramai penduduknya dan terdapat kemudahan klinik desa di sini. Selebihnya juga seperti Kampung Batu 3 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak, Kampung Batu 8 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak,Kampung Batu 14 Jalan Pahang , Tapah 35000 Perak dan pastinya Kampung Orang Asli Pos Woh , Kuala Woh , Tapah 35000 Perak lebih dikenali dengan hutan lipurnya.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.