Apa yang anda akan fikirkan bila membaca tajuk di atas? Membayangkan kehidupan selepas berkahwin yang terpaksa berpisah sementara seperti istilah 'weekend husband' dan pelbagai lagi. Tetapi kisah yang sebenarnya "Majlis Akad Nikah dari Jauh, melalui panggilan telepon!"
Sebenarnya kisah diatas adalah kisah yang nyata yang berlaku dan disaksikan sendiri. Mungkin budaya atau amalan ini mendapat pendapat yang berbeza bagi kita semua tetapi bagi warga Bangladesh ini, amalan ini telah lama diterima.
Perkahwinan melalui jarak jauh .. atau akad nikah dari jauh sekadar menggunakan telepon ... pelik ? sah ke? wallahualam ...
Mutiar, berumur sekitar 25 tahun dan telah bekerja di Malaysia melebihi 6 tahun lamanya tanpa pernah balik ke negara asalnya Bangladesh.
Ketika sampai ke Malaysia, beliau masih muda remaja dan belasan tahun. Berat hatinya tidak mungkin tidak seberat hati kedua ibubapanya untuk melepaskan dia merantau jauh keseorangan. Jauh dari pandangan dan juga kelibat yang boleh disaksikan dalam masa setahun dua.
Namun menjadi tradisi untuk anak muda di Bangladesh merantau bukan sahaja ke Malaysia malah hampir serata dunia hanya untuk mencari rezeki yang lebih dan lumayan berbanding di negara mereka sendiri demi masa depan yang lebih baik.
Setiap bulan, hampir lebih separuh gajinya dihantar pulang untuk bekalan ibu dan bapa serta adik-adik yang lebih muda. Abangnya juga berada di Malaysia merantau sepertinya.
Setelah enam tahun, bukan sedikit cabaran pahit dan getir yang dilalui dari mula 'sah' passport dan permit kerja sehinggalah menjadi status 'pendatang asing tanpa izin' kerana melebihi tempoh permit kerja setelah bertukar beberapa kali majikan. Alasannya telah ditipu dan ingin mengikut saudara yang lain.
Hidup dalam ketakutan dan menyinsih diri dari keseronokan kerana sedar dirinya berstatus 'gelap'. Namun jauh di sudut hatinya, ingin pulang ke Bangladesh biarpun seketika.
Dari usia belasan kini memasuki 25 tahun, gelojak jiwa mudanya kian membara untuk beristeri. Namun bukan gadis Malaysia yang diinginkan tetapi lebih kepada selera dari negara asal. Tapi apakan daya, passport yang telah tamat tempoh memustahilkan dirinya boleh pulang ke sana.
Penghujung tahun 2011, peluang untuk pulang bersinar terang dengan program 6P oleh Kerajaan Malaysia. Lantas tanpa berlengah dia mendaftarkan diri dengan majikan baru dan akhirnya passportnya diperbaharui dan permit kerjanya sah kembali. Kini berstatus pekerja asing sah memberikan satu semangat untuknya pulang ke kampung pada bulan 8 ini serta berhari raya disana.
Namun lain pula perancangan ibu dan bapanya. Mendengar anak bujang dirantauan mahu pulang setelah 6 tahun berpisah jauh, mereka bukan sekadar merancang sambutan kepulangannya tetapi lebih istimewa ketika pulang nanti bukan sekadar ibu dan ayah menanti tetapi seorang Isteri akan menemaninya.
Perancangan dibuat awal. Seorang gadis berjaya memikat hati ibu dan bapanya lantas disunting menjadi suri kepada Mutiar. Selepas mendapat galakan dan sekeping gambar dihantar menjadi pengenalan diri, akhirnya dia setuju untuk berkahwin. Namun untuk menanti lagi dua bulan terlalu lama dan akhirnya menjadi kelaziman seperti yang lain untuk berakad nikah melalui talian telepon.
Majlis ringkas diatur. Kawan-kawan memberi sokongan. Merekalah menyediakan hidangan, menyiapkan tempat dan menghadiahkan sepersalinan serta seutas jam berwarna emas sebagai hadiah perkahwinan. Seorang Imam di kalangan warga Bangladesh tempatan di panggil bagi menjadi saksi di sini.
Hari yang di tunggu telah tiba. Dikelilingi rakan-rakan senegara dan kami, mereka menanti penuh debar saat ini. Bagi Mutiar tidak senang duduknya. Telepon di top up sebanyak mungkin bagi panggilan jauh ini.
Majlis yang dijangkakan bermula pukul 6 petang di Malaysia atau 4 petang di Bangladesh dimulakan dengan sedikit tazkirah dalam bahasa Bangladesh oleh imam mereka. Selepas mendapat panggilan dari sana, mereka mula berbincang mengenai hasrat hati.
Cuma sedikit lari dari perancangan bilamana keluarga perempuan meminta tambahan hantaran dari 1 lakh kepada 1.5 lakh ataupun RM4 ribu kepada RM 6. Usaha untuk berbincangan dilakukan demi memastikan majlis berjalan lancar. Adakalanya kelihatan Mutiar seperti mahu membatalkan majlis ini.
Selepas hampir sejam berbincang akhir selepas solat Maghrib, majlis akan nikah dijalankan. Dimulakan dengan khutbah nikah ( saya tak paham) oleh jurunikah dari sana dan dimulakan dengan akad nikah yang perlu diikuti oleh Mutiar.
Akhirnya, Mutiar Sah Menjadi suami kepada Subana, gadis berusia 16 tahun yang tidak pernah ditemuinya. Malah pastinya perjalanan menuju bulan 8 ini akan terasa lambat untuk dilalui ...
Selamat Pengantin Baru Mutiar... pesanan dari kami ... Sabor aje laaaaa....
Majlis diteruskan dengan makanan kenduri kahwin iaitu Nasi Beriani Ayam+ Daging + Acar + manisan.... jom makan ... sedaaaaap......
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.