Sunday, June 3, 2012

Catatan Perjalanan: Zoo Melaka...

Musim cuti sekolah sebegini pastinya akan dimanfaatkan untuk aktiviti berkeluarga samada melancong, berjalan, balik kampung, kegiatan riadah dan banyak lagi. Pelbagai destinasi samada dalam ataupun luar negeri pastinya akan menjadi pilihan.

Baik dari bandar, tempat bersejarah, bukit peranginan, pantai, taman tema, zoo dan pelbagai lagi pastinya menjadi antara lokasi yang akan dikunjungi. Pastinya juga pilihan anak-anak akan mendominasi destinasi percutian mereka dan anda.

Jika ke Melaka, ianya bukan sekadar bandar yang penuh monumen dan destinasi bersejarah tetapi terdapat puluhan pilihan kepada anda sehinggakan rabun mata untuk memilih.

Bagi saya sekeluarga , percutian kami lebih bersifat pendidikan kerana anak-anak yang masih kecil. Melihat binatang dan haiwan antara tumpuan kami bagi mendedahkan kepada mereka alam semulajadi selepas saban hari menatap gambar-gambar di buku sahaja.

Sudah berada di Melaka pastinya tidak dapat menolak untuk memasuki Zoo Melaka. Pelbagai jenis haiwan dipamerkan dengan sebahagian dilepas bebas dalam kandang yang dibina seakan-akan semulajadi kecuali haiwan reptilia yang diletakan dalam bilik kaca.


Keselamatan pastinya menjadi keutamaan khasnya yang beranak kecil seperti kami. Pastikan anak-anak anda sentiasa didalam pemerhatian anda sepanjang masa di sini .

Terdapat haiwan yang hidup bebas bukan kerana dilepaskan tetapi menjadikan zoo ini sebagai kawasan tempat tinggal mereka seperti monyet dan beruk serta burung-burung. Tahun lepas terdapat satu kes serangan beruk liar keatas seorang kanak-kanak.


Ternyata kunjungan kami biarpun singkat sekitar sejam setengah sebelum diingatkan waktu melawat telah habis oleh pengawal keselamatan. Maka terpaksalah melepaskan beberapa lagi tempat lawatan seperti reptilia, haiwan kecil dan juga museum haiwan mereka.


Yang mendapat perhatian saya serta keluarga adalah seladang, badak sumbu, gajah dan juga singa yang aktif ketika itu.

Terdapat juga beberapa konsep pameran seperti mengikut habitat iaitu safari, burung-burung, Taman Kancil, pemangsa seperti harimau dan singa, di air, keluarga monyet dan banyak lagi.

Kemudahan yang disediakan amat membantu malah jika anda tidak mahu berjalan sepenuhnya boleh menaiki trem secara percuma tetapi perlu menunggu giliran. 


Cuma saya tidak gemar sangat melihat susun atur taman permainan kanak-kanak yang terlalu hampir dengan laluan masuk kerana telah menarik minat kanak-kana untuk bermain sebaik sahaja masuk berbanding keterujaan ibu bapa seperti saya untuk membawa mereka melihat haiwan terlebih dahulu. Puas juga memujuk untuk bermain kemudian sehingga terpaksa mendukung ke kandang pameran yang agak jauh dari kawasan permainan tersebut.

Kedai makan agak terhad dan jaraknya agak jauh menyukarkan kita untuk berehat dan menikmati makanan. Terdapat surau yang selesa dan kemudahan tandas yang terletak dibeberapa lokasi.


Terdapat beberapa lokasi yang boleh anda bermain atau menghampiri haiwan. Malah sebaik anda memasuki Zoo ini terdapat burung-burung kakak tua yang pelbagai spesis di letakan di atas dahan pokok.

Begitu juga dengan persembahan haiwan seperti burung helang, harimau, burung dan juga orang hutan yang dibuat di panggung persembahan. Difahamkan setiap hari 2 sesi persembahan diadakan manakala jika musim cuti, mereka akan mengadakan 3 sesi pesembahan. 


Begitu juga dengan persembahan gajah di bahagian tepi restoran di mana sepasang gajah akan membuat persembahan seperti bermain bola dan kalaulah tidak silap saya juga dengan melukis.

Saya pernah menyaksikan persembahan haiwan ini dalam kunjungan terahulu dan diakhir sesi terdapat peluang untuk anda bergambar dengan orang utan atau gajah dengan bayaran tertentu.


Terdapat satu lagi bentuk kunjungan yang boleh anda lakukan iaitu Zoo Malam setiap hujung minggu bermula seawal 8.00 malam. Kami tidak merasainya tetapi mungkin agak menarik juga suatu masa nanti.

Selebihnya, koleksi gambar haiwan diatas ini diharapkan dapat dikongsikan dengan anda semua...  

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.