Thursday, March 22, 2012

Kisah malang gadis di Bangladeshi..

Membaca kisah ini semalam menjadikan aku beryukur di Malaysia tiada masalah sebegini.  Tiada anak-anak kecil yang meminta sedekah di sana sini. Tiada yang dihilang kaki atau tangan dan dibutakan mata untuk mengemis di jalanan. Namun masih ada jurang yang boleh diperbaiki oleh kita dalam meningkatkan taraf hidup agar tiada istilah kemiskinan.

Jika anda sering ke luar negara seperti negara-negara ketiga yang mundur dan sedikit ketinggalan kadangkala disebabkan peperangan, penindasan dan sistem kapitalisme yang masih menebal, maka akan ditemui kanak-kanak, golongan wanita yang ditindas. 

Akibatnya ketidakstabilan ekonomi, sosial dan mula menukar budaya dan resam yang tidak enak seperti pelacuran, gelandagan, jual beli organ dan pelbagai jenayah menjadi sebahagian resam kehdiupan yang menular subur.   

Ikuti kisah dari Bangladesh ini..

Bangladesh terkenal sebagai antara negara dengan kepadatan penduduknya yang tinggi hingga ada di kalangan mereka yang terpaksa tinggal di kawasan-kawasan sempit atau lorong-lorong gelap demi meneruskan kehidupan untuk satu masa depan yang mereka sendiri pun tidak pasti apa penghujungnya.

Di celah-celah kehidupan yang sinonim dengan kemiskinan dan kedaifan, sebuah lorong kecil dan sempit di bandar kecil Tangail yang terletak di timur laut Bangladesh memperlihatkan apakah itu ertinya untuk terus hidup di sebuah negara yang tidak dapat menjanjikan sebarang kebahagian kepada rakyatnya.

Di lorong itu wujud sebuah rumah pelacuran yang dikenali sebagai Kandapara di kalangan masyarakat tempatan.

Di situ, gadis-gadis muda dalam lingkungan usia 15 hingga 18 tahun menjual tubuh mereka saban hari demi memastikan mereka tidak akan berlapar.

Pada usia yang muda, batang tubuh menjadi sandaran untuk mencari sesuap nasi setiap hari.

Mereka tidak menjadi kaya atau hidup senang, sebaliknya gadis-gadis muda itu perlu berkhidmat sebagai seorang pelacur demi melangsaikan hutang kepada penjaga mereka yang digelar sebagai Sardarni.

Setiap hari, mereka akan beratur di luar lorong rumah itu dengan memakai pakaian yang cantik dan solekan yang tebal semata-mata bagi menarik perhatian lelaki-lelaki yang lalu di kawasan terbabit melanggan khidmat seks mereka.

Kesemua pelacur muda berkenaan diberi gelaran ‘Chukri’ atau Gadis Terikat… satu gelaran penuh ironis yang jelas memberikan kita gambaran akan apakah bentuk kehidupan yang sedang dilalui gadis-gadis berkenaan.

Hashi adalah salah seorang gadis terikat berusia 17 tahun yang setiap hari terpaksa ‘bersaing’ dengan 900 orang pelacur lain di rumah pelacuran berkenaan untuk mendapat pelanggan lelaki.
Pada usia yang sebegitu mentah, pelacur muda itu terpaksa memberikan perkhidmatan seks kepada hampir 10 hingga 15 lelaki setiap hari berikutan terikat dengan arahan Sardarni yang menjaga pelacur-pelacur dalam rumah itu.

“Saya berkhidmat sebagai pelacur sejak 12 tahun lalu. Ketika mula-mula menjadi pelacur, saya tidak tahu apa itu pelacuran dan tidak sedar apa akan berlaku. Sehinggalah pelanggan pertama merogol saya berkali-kali dan berlaku pendarahan yang teruk,” kata Hashi seperti dalam blog fotografi, Reuters.

Disebabkan dirinya kerap dilanggan oleh lelaki pada awalnya, fizikal diri Hashi berubah menjadi lebih tua dan tidak ‘bergetah’ berbeza dengan usianya dan faktor itu menyebabkan dia semakin hilang pelanggan setiap hari.

Untuk terus mampu berasing, Hashi terpaksa mengambil sejenis steroid, Oradexon yang sering digunakan oleh petani sebagai makanan tambahan mengemukkan binatang peliharaan mereka.

Oradexon membolehkan Hashi kekal sihat, bertenaga, berisi dan dapat menarik lebih ramai pelanggan.

“Pelanggan sering mencari gadis-gadis yang muda untuk melayan mereka, dan kerana saya tidak mendapat seorang pun pelanggan, saya mula mengambil Oradexon walaupun mengalami kesan yang tinggi seperti senang sakit supaya dapat membayar balik hutang kepada Sardarni.

“Jika saya tidak mendapat pelanggan, Sardani akan menyeksa saya dengan tidak memberikan makanan.

Saya berharap dapat menyimpan duit untuk anak lelaki saya, tetapi, semuanya habis dibayar kepada Sardarni. Kalau tidak bayar, saya tidak diberi makan keesokan harinya,” kata Hashi.

Gadis Terikat….begitulah kehidupan yang terpaksa ditempuhi oleh Hashi supaya dia dapat meneruskan sisa kehidupan walaupun dirinya tidak lagi berharga dan hilang sudah permata sebagai seorang wanita yang suci.
Sudah pasti kita mampu membayang hidupnya akan musnah sepenuhnya apabila Oradexon juga sudah tidak mampu lagi menarik lelaki ke arahnya.

Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.