Tuesday, November 8, 2011

Pelajar Malaysia dibunuh cuba halang motosikal dicuri


2011/11/08

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengklasifikasi kejadian pembunuhan pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira sebagai kes jenayah semata-mata dan tiada kaitan dengan motif lain termasuk balas dendam. 

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun, berkata polis Indonesia sedang memburu dua suspek berhubung kejadian itu namun sehingga berita ini ditulis, belum ada sebarang tangkapan dibuat.
"Pihak Hospital Saiful Anwar di Malang, selesai menjalankan bedah siasat ke atas jasad Adrian pada jam 2.45 petang waktu tempatan dan sedang menguruskan penyerahan mayat itu kepada Kedutaan Besar Malaysia untuk dihantar pulang ke tanah air," katanya ketika dihubungi di Malang.
Adrian, 23, ialah mahasiswa Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur. 

Ludinata berkata, hasil bedah siasat itu menyimpulkan bahawa kematian Adrian disebabkan luka parah pada leher sebelah kanan akibat ditetak dengan objek tajam. 

Katanya, keluarga mendiang Adrian diwakili seorang bapa saudaranya dan seorang peguam untuk melihat keadaan mayat beliau di hospital itu hari ini. 

Jasad Adrian akan dihantar pulang ke tanah air dengan pesawat Penerbangan Malaysia pada jam 10.40 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Juanda, Surabaya dan dijadual sampai di KLIA, Sepang pada jam 2.15 petang waktu Malaysia. 
Ludinata berkata, berdasarkan keterangan polis, kejadian yang menimpa Adrian bermula pada jam 6.30 petang di rumahnya di bandar Malang, apabila beliau bersama dua rakan serumah terdengar bunyi bising di luar kediaman mereka. 

Adrian yang keluar menyiasat tidak menemui apa-apa yang aneh namun beliau mengesyaki ada orang cuba mencuri motosikal yang baru dibelinya. 

Pelajar itu kemudian berpesan kepada dua rakan serumahnya supaya mengunci pintu dan menunggu beliau di dalam rumah, sementara beliau menaiki motosikal untuk mencari pihak yang disyaki berniat jahat itu. 

Tidak berapa lama kemudian selepas gagal menemui orang yang dicari, Adrian pulang semula ke rumah dan sejurus berhenti di luar rumah, beliau secara tiba-tiba diserang dengan tetakan di bahagian kanan lehernya dengan senjata tajam oleh orang yang tidak dikenali. 

Semasa serangan itu, Adrian dilaporkan masih duduk di atas motosikalnya. Polis percaya dua penjenayah terbabit dalam kes itu. 

Seramai 173 pelajar Malaysia sedang menuntut di Malang pada masa ini dan daripada jumlah itu, 161 orang belajar di Universiti Brawijaya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.