Thursday, October 13, 2011

Legenda emas tinggal kenangan

Memanjangkan kisah hilang sebutir bintang iaitu Datuk Ahmad Jais baru-baru ini juga dari Kosmo...


Al-Fatihah...


AHMAD JAIS bangkit memperjuangkan seni sehingga ke akhir hayatnya.

PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani lagu popular berjudul Azizah itu cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Ahmad Jais atau nama sebenarnya Datuk Mohd. Jais Ahmad.
Semestinya orang yang begitu rapat atau yang pernah berdepan dengan Ahmad Jais, 75, akan merasai kehilangan dan sedih apabila penyanyi legenda bersuara emas itu kembali ke Rahmatullah semalam.
Menurut anak keempat Allahyarham, Maimun, 31, bapa kesayangannya itu telah dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam apabila mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor pada 8 September lalu.
“Kemudian, ayah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam pada 24 September selama 15 hari setelah keadaan kesihatannya semakin serius.
“Kemudian sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir keadaan ayah semakin tidak stabil dan akhirnya ayah telah meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi akibat komplikasi paru-paru,” jelasnya.
Ditanya tentang ahli keluarga lain yang berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir, Maimun memberitahu, hanya dia dan adiknya, Mashita, 25, yang berada kerana dua orang abang mereka iaitu Iskandar, 41, Hisham, 40, serta seorang kakaknya, Salawati, 38, menetap di Singapura.
Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 selepas solat Zuhur.
Dengan pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Jais ke Rahmatullah, ternyata ia adalah satu kehilangan yang cukup besar dalam industri seni tanah air.
Menurut Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez yang ditemui di Masjid Negeri Shah Alam, perginya Ahmad Jais merupakan satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air khususnya pada irama pop yeh yeh.
“Pencapaiannya sangat besar dalam industri muzik dan dia merupakan legenda. Beliau merupakan ahli persatuan Karyawan yang sangat aktif dan bersedia membantu rakan-rakan dalam persatuan tidak kira masa dan tenaga,” ujar Freddie.
Mengulas lanjut, kata Freddie, 58, Allahyarham juga dikenali oleh seluruh kaum tidak kira Melayu, India dan Cina kerana kelunakan suara dan lagu-lagunya yang sangat malar segar. Disebabkan itu sehingga kini Ahmad Jais masih menerima jemputan menyanyi di majlis-majlis.
“Saya sedih sebab dia tidak sempat menyanyi untuk jemputan nyanyian di masa akan datang sedangkan banyak jemputan yang diterimanya,” katanya yang sempat melawat Allahyarham ketika beliau koma di DEMC.
Menurut Freddie lagi, hampir sebulan Ahmad Jais menderita penyakit paru-paru. Selepas dimasukkan ke DEMC beliau koma selama tiga minggu dan kemudiannya meninggal.
Kali pertama dan terakhir
Tiada apa yang mampu diucapkan selain melahirkan perasan sedih yang amat sangat. Itulah yang dialami penyanyi veteran tersohor, Salamiah Hassan, 60, meluahkan rasa sedih dan terkejut di atas pemergian Ahmad Jais.
Kali terakhir, ibu kepada penyanyi genit Atilia itu berjumpa dan berduet bersama Ahmad Jais untuk lagu Berdebar-Debar ketika mengadakan persembahan pada jamuan rumah terbuka raya Suruhanjaya Komunukasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Hotel Legend, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.
“Itulah kali pertama dan juga terakhir kami berduet bersama. Sebelum ini, lagu Berdebar-Debar merupakan lagu duet kami untuk album dan kami tidak pernah berduet untuk persembahan khalayak bersama,” katanya dengan nada sedih ketika dihubungi semalam.
Ketika berduet pada malam rumah terbuka raya tersebut, Salamiah memberitahu, keadaan Allahyarham tidak begitu sihat dan pernafasannya kedengaran tersekat namun beliau tetap cekal untuk menyanyi dan menghiburkan tetamu.
Semangatnya begitu kuat dan suaranya masih jelas mantap kedengaran di telinga Salamiah.
Melihat kepada rakan duetnya yang sudah tiada, pinta Salamiah agar nasib artis-artis veteran yang lain supaya lebih terbela.
“Janganlah bila mereka sudah tiada nanti baru nak ingat dan diangkat. Masa ketika tua mereka perlukan sokongan dan bantuan daripada mana-mana badan,” katanya lagi.
Sementara itu, penyanyi Datuk DJ Dave yang turut ditemui memberitahu bahawa Allahyarham adalah penyanyi yang sangat diminatinya dari dulu sehingga sekarang.
Ujarnya, dia begitu meminati penyanyi tersohor itu kerana tertarik dengan suara unik yang dimiliki dan mereka kerap membuat persembahan bersama-sama sekitar era 70-an dan 80-an.
“Lagu berjudul Azizah yang dinyanyikan oleh arwah adalah merupakan lagu Melayu kedua yang saya dengar dan saya terus tertarik dan kagum dengan bakat yang dimilikinya itu.
“Sebagai seorang yang sudah berpuluh-puluh tahun berkecimpung sebagai penyanyi, arwah sememangnya seorang anak seni yang sudah banyak berjasa dalam industri hiburan tempatan,” jelasnya.
Suka bergurau
Berkenaan dengan sikap peribadi yang dimiliki oleh penyanyi legenda berkenaan, rata-rata rakannya menganggap arwah sebagai seorang individu yang suka bergurau terutama dengan rakan-rakan di sekelilingnya.
Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah, 58, yang terkejut dengan pemergian arwah memberitahu bahawa dia sudah menganggap penyanyi tersebut sebagai seorang abang setelah berkenalan sejak tahun 1965.
“Sepanjang 46 tahun saya berkawan dengannya, memang kami agak rapat kerana selalu membuat persembahan bersama-sama. Bagi saya, arwah seorang yang sangat suka bergurau dengan sesiapa sahaja.
“Antara gurauannya yang paling saya ingat apabila dia asyik bertanyakan tentang bila saya mahu berumah tangga. Bila mengenangkan gurauannya itu kembali, memang saya berasa teramat sedih,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual.
Ditanya sama ada beliau sempat menziarahi arwah sepanjang berada di hospital, Kak Pah memberitahu dia sempat melawat pada minggu lalu tetapi pada masa itu arwah dalam keadaan tidak berkata-kata.
Seorang lagi penyanyi yang popular sekitar tahun 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 64, ketika ditemui berkata, arwah dianggap sebagai sebutir permata yang sangat berharga.
Menurutnya, biarpun sudah berkecimpung dalam bidang seni suara hampir 50 tahun, namun namanya masih lagi menjadi sebutan ramai dan mempunyai peminat yang tersendiri.
“Tidak dinafikan kebanyakan lagu-lagu dinyanyikan arwah adalah lagu evergreen yang masih diminati sehingga hari ini. Jadi, sudah sewajarnya dia diangkat sebagai salah seorang penyanyi legenda negara,” jelasnya.
Bagaimanapun, di sebalik sikap penyanyi berkenaan yang suka bergurau, A. Rahman memberitahu bahawa arwah mempunyai sikap yang cukup tegas terutama dalam membuat sesuatu keputusan.
“Memang adakalanya ada sebilangan orang yang akan kecil hati dengan sikap ketegasannya itu, namun sepanjang mengenali dirinya dia sebenarnya adalah seorang individu yang sangat baik hati,” ujarnya.
Sementara pelakon veteran terkenal, Datuk Aziz Sattar, 86, pula berkata, pemergian penyanyi legenda itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicari ganti dan jasanya dalam bidang nyanyian tidak harus dilupakan sama sekali.
“Sebagai artis veteran hubungan kami sememangnya cukup rapat dan sepanjang mengenalinya arwah adalah seorang insan yang cukup istimewa.
“Perjuangannya sebagai seorang anak seni selama berpuluh-puluh tahun harus dijadikan contoh kepada penyanyi-penyanyi generasi sekarang,” ujarnya.
Perginya Ahmad Jais sangat dirasai buat peminat-peminat yang menggilai suara dan lagunya. Hanya lunak suara dan lagu-lagu popularnya seperti Di Ambang Sore, Azizah dan Budi Setahun Segunung Intan yang tinggal sebagai kenangan.
Menyahut panggilan Ilahi, Allahyarham Ahmad Jais telah pergi meninggalkan kita semua selepas dikhabarkan rakan perjuangannya mengenai kebaikan dan keceriaan yang disalurkan ke dalam hidup mereka.
Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Ahmad Jais pergi dan tidak akan kembali lagi.

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.