Monday, September 12, 2011

Felda Kumai, Triang Pahang..siri ke 2.. Bukit Bertangga

Dalam catatan terdahulu mengenai Felda Kumai, aku ada menyatakan secara ringkas mengenai kawasan rekreasi yang amat digemari di sana iaitu Rimba Rekreasi Bukit Bertangga. 


air terjun  utama 
Asalnya nama kawasan ini popular di kalangan penduduk Felda Kumai sebagai Air Terjun Bukit Bertangga sebelum dinaiktaraf oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjadi kawasan hutan lipur yang didaftarkan sekitar 1998-99. 


Air Terjun Bukit Bertangga ini diberikan nama sempena nama bukitnya iaitu Bukit Bertangga seperti di dalam peta topo yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Pahang.

Bukit Bertangga mengikut cerita lisan penduduk lama sudah lama diketahui dan ditemui semenjak Felda Kumai mula dibuka penempatan secara rasmi pada tahun 1979 tetapi hanya mula dikunjungi bilamana sebuah syarikat pembalakan meneroka kawasan sekitarnya untuk aktiviti pembalakan dan kemudahan jalan balak yang terbina ketika itu menjadikan ianya mula dihubungkan dengan masyarakat Felda Kumai berbanding perlu merentas denai hutan atau laluan lama.


Selain daripada itu faktor keselamatan masih menjadi halangan pada awal penempatan Felda Kumai kerana dibuka sebahagiannya bersempadanan Hutan Simpanan Kekal Chini yang melebar luas ke Daerah Rompin.


Laluan masuk sekitar 3 km yang berturap ...
Tidak hairanlah pada awal pembukaan sehingga 1990an, masih terdapat pagar-pagar elektrik yang menggunakan kuasa bateri dipasang di sepanjang sempadan hutan dan Kampung termasuklah ladang.


Malah mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa stesen kuasa bagi pagar elektrik ini adalah berdekatan dengan Blok 17 dan ianya diselia oleh pegawai Felda secara bergilir-gilir

Masih dapat aku ingat renjatan lemah setiap kali memegang wayar kabel pagar elektrik yang hanya dua talian sekitar tinggi 2 kaki dari tanah dan dua kaki berselang di bahagian atas dan kayu bertiangkan kayu 2 inci x 2 inci tetapi kami dimaklumkan ia akan mampu menghalang binatang liar seperti gajah, beruang, harimau dan babi.


Namun bagi bintang kecil seperti biawak, musang, monyet dan sesaiz dengan mereka pastinya tidak dapat dielakkan. Bagi mereka yang rumahnya bersempadan dengan hutan seperti blok 12, 13, 17, 19 pasti peristiwa binatang liar memasuki kawasan rumah menjadi satu kebiasaan dan jika ayam atau itik menjadi habuan kepada musang juga kisah biasa biasa jika ditengah malam ayam berkokok bersahutan.

Terdapat beberapa kes awal pencerobohan binatang liar seperti babi dan gajah khasnya di blok 12 yang kalau tak silap ingatan aku seawal 1985 terdapat pencerobohan gajah. Malah terdapat juga beruang yang ditangkap oleh Jabatan Mergastua (kini Perhilitan) dilaporkan di kawasan hutan simpanan ini. 

Hutan Simpanan Kekal Chini
Hutan Lipur
Hutan Simpanan Kekal Chini dianggarkan seluas 61,973 ha persegi  yang menjangkau antaranya ke kawasan Hutan Simpanan Kekal Chini dan Hutan Simpanan Kekal Chini Tambahan yang berkongsi sempadan Daerah Rompin dibahagian Tengara meliputi kawasan Felda Rentam, Kumai, Mayam  dan Bera manakala Hutan Simpanan Kekal Purun melebar ke sempadan Pekan. 

Ianya merupakan hutan simpanan kekal yang digazetkan olej Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan sebahagian kompatmen hutan ini sekitar kawasan Felda Kumai telah dilakukan pembalakan  menjadikan sebahagianya kini adalah hutan sekunder namun kawasan Bukit Bertangga ini masih terpelihara..

Bukit Bertangga.
Berbalik kepada Bukit Bertangga, ianya berada pada ketinggian 400 kaki dari paras laut dan merupakan  kawasan hutan lipur yang berada dalam kompartment 72 dan 76 Hutan Simpan Chini  dan seluas 2 hektar dan satu-satunya yang didaftarkan berstatus Hutan Lipur oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi Daerah Bera untuk tujuan rekreasi. 

Sebenarnya terdapat satu lagi kawasan air terjun iaitu Air Terjun Terapai yang berada berdekatan Felda Mayam tetapi ianya belum didaftarkan mungkin kerana faktor lokasi yang agak jauh untuk dikunjungi berbanding Bukit Bertangga dengan kenderaan biasa dan kurang selamat barangkali.

Alur sungai
Bukit Bertangga mempunyai  2 air terjun setinggi 30 meter dan 20 meter namun tidak sesuai untuk mandian ekoran kedudukan yang agak berbukit dan bercerun batu dan memerlukan pendakian. Malah kolam mandiannya jugak amat kecil dan sukar untuk didekati namun bagi mereka yang berhajat pastinya ianya bukan penghalang.

Pada awalnya, kawasan utama Bukit Bertangga adalah lebih popular dibahagian kawasan atas air terjun utama yang perlu didaki sejauh 500 hingga 1000 meter pendakian bekas laluan lori balak sebelum memasuki denai yang melalui kawasan pokok-pokok besar, cerun dan akar pokok. Dahulu jalan balak yang dibina memudahkan pendakian malah bagi yang berani, pendakian dengan menaiki motorsikal menjadi pilihan  tetapi kini ianya tidak lagi sempurna dan sesuai bagi kunjungan keluarga. 

Apabila sampai di kawasan bersebelahan air terjun, pengunjung peru mendaki celahan batu untuk naik ke alur utama dan meneruskan perjalanan dan pendakian melalui denai yang bersebelahan alur sungai sebelum sampai di kolam utama.

Di awal pembukaanya, kolam ini menjadi tumpuan utama pengunjung untuk mandi dan berenang ataupun terjun dari atas tebing dan pokok. Kini ianya sudah dilupai malah amat jarang menjadi pilihan untuk pengunjung melakukan pendakian ke sini kerana faktor keselamatan dan juga keselesaan. 

Bukit Tangga kini...,
Jambatan baru
Dengan liku-liku air yang mengalir dikawasan yang diklasifikasikan sebagai  hutan pamah dan Berbukit, Bukit Bertangga mempunyai permukaan rata dan berbukit yang mengandungi batu-batu besar , batu berlapis, cerun dan sungai yang mengalir di alur-alur batu. 

Laluan masuk utama ketika itu hanyalah melalui kawasan ladang ataupun berjalan kaki merentas denai laluan yang telah dinaik taraf ketika ini.


Malah apabila sampai masih terdapat jambatan kayu balak yang menghubungkan kawasan rekreasi utama yang terbentuk seolah-olah tanjung.


Kawasan ini sebenarnya menjadi kawasan 'mantai' bagi kegiatan pembalakan di mana kayu balak dikumpulkan dan semua jentera dan rumah pekerja ditempatkan di sini. 

Dahulu kawasan ini hanya dihubungkan degnan jambatan kayu balak tetapi kini jambatan kayu balak telah digantikan dengan jambatan konkrit yang boleh dilalui oleh kenderaan ringan ataupun pejalan kaki jika anda membuat pilihan untuk meletakan kenderaan di kawasan sebelum jambatan ini yang telah dinaik taraf dengan kawasan khusus untuk meletakan kenderaan. Bagi yang bermotosikal atau pacuan empat roda selalunya akan terus menyeberangi kawasan ini.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah membangunkan kawasan di sekitar jambatan ini sebagai kawasan rekreasi utama dengan membersihkan alur sungai dan semak samun serta menambah kemudahan seperti pondok rehat, tandas dan bilik menyalin pakaian, kawasan perkhemahan, taman hutan, tempat meletak kenderaan dan  laluan bertangga ke kawasan kolam mandian. 

Di sini juga anda boleh melihat ratusan malah mungkin ribuan pokok-pokok hutan yang ditanam semula sempena kempen menanam sejuta pokok yang dilancarkan pada 1999 bagi menyokong Hari Hutan sedunia ataupun atau program sokongan membida Sukan Asia 2006. (Tak pasti yang mana satu programmnya). 

Yang pastinya ianya dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk Felda Kumai. Yang peliknya menaman pokok di dalam hutan? Bukankah bagus kalau di tanam di sekitar kawasan kampung. Tak apa kita tinggalkan isu ini kerana pastinya kunjungan anda di Bukit Bertangga akan bertemankan suasana damai dan aman.
kawasan perkhemahan
Selamat untuk kanak-kanak (Tanggungjawab sendiri)
Selepas hujan lebat.. 
Juga selepas hujan lebat
Alur sungainya pula amat sesuai untuk aktiviti riadah dan selamat bagi kunjungan berkeluarga kerana berarus perlahan dan jika hujan tiada limpahan air yang kuat. Manakala kolam mandian dewasa tidaklah terlalu dalam dan tidak berisiko untuk mandi manda. 

pilihan kanak-kanak bermandi manda
Bagi mereka yang ingin bermalam, amat tidak digalakan kerana faktor jarak yang agak jauh dari kawasan kampung dan kemudahan elektrik yang terhad tetapi jika dilakukan secara berkumpulan yang besar dan mungkin sebagai program, anda boleh mendapatkan khidmat kawalan keselamatan daripada pasukan RELA Felda Kumai. 
antara kolam mandi
Sesungguhnya ianya amat kecil dan begitu ringkas tetapi bagi penduduk Felda Kumai, ianya sesuatu yang dibanggakan malah menjadi destinasi pilihan jika pulang ke Kampung halaman. 


Selamat berkunjung ke Rimba Rekreaksi Bukit Bertangga...

Gambar terbaru Bukit Bertangga , 24 Jun 2012. ketika musim kemarau dan alur airnya agak kecil. Persekitaran agak mendukacitakan sedikit kerana kurang terjaga nampaknya. Apapun masih sejuk seperti biasa...


sekadar memanjangkan blog yang berkongsi pengalaman berkunjung ke Bukit Bertangga..
Blog AzMask  , Blog Raja Bulan ,Blog Feldakumai.com Blog MrKumai.picasaweb , Blog key-sah are-ku Ke???  dan blog Uzhair menarik dengan gambar air terjun utama yang jarang dipanjat orang ...

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.