Ada yang dah bergerak balik dan ada yang akan bergerak balik hari ini menuju ke kampung halaman masing-masing.
Hati-hati di jalan raya dan sedikit info kepada pemandu dan pengguna jalan raya berkenaan pengurangan had laju di jalan perseketuan dipetik dari Berita Harian....
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Had laju bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh negara diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) sempena musim perayaan ini berkuat kuasa kelmarin sehingga 6 September ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata, ini bermakna had laju maksimum sepanjang tempoh tersebut bagi Jalan Persekutuan adalah 80 km/j manakala bagi jalan negeri 70 km/j.
“Langkah ini diambil berikutan jumlah kenderaan di jalan raya pada musim perayaan bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding pada hari biasa iaitu sehingga 300,000 kenderaan.
“Walaupun kes kematian menunjukkan penurunan sebanyak empat peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini iaitu 3,234 kes berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 3,379 kes namun langkah berjaga-jaga perlu diutamakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2011 di Stesen Sentral di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Leslie Leon dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Ismail Ahmad.
Mengulas mengenai 1,200 bas ekspres yang tidak lulus pemeriksaan Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) baru-baru ini, Cho Ha berkata, pihaknya berharap supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengawal selia permit bas ekspres sementara dan tambahan.
“SPAD juga diharap berbincang dengan pemilik syarikat bas tersebut supaya mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.