Kisah tebusan kanak-kanak semalam menadapat liputan yang meluas di surat khabar hari ini. Bagi yang terlepas, sedikit berkongsi cerita yang berlaku
Utusan :
Suspek nampak baik tapi sering berubah laku
MUAR 7 Julai - "Lelaki itu nampak macam baik. Dia boleh dukung kanak-kanak, tetapi tiba-tiba dia boleh arahkan seorang guru memukul kepalanya dengan tukul besi. Jika tidak, murid-murid tadika akan dicederakan."
Detik-detik mencemaskan itu antara pengalaman yang dilalui oleh Pengetua Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids, Khoo Chon Den, 50, serta tiga guru dan 30 kanak-kanak lain yang menjadi tebusan seorang lelaki kurang siuman yang bersenjatakan parang dan tukul di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Katanya, disebabkan semua guru takut untuk memukul suspek dengan tukul itu, kesemua yang berada di dalam rumah itu dikumpulkan di dalam sebuah bilik di tingkat atas tadika.
Menurut Chon Den, kesempatan berada dalam bilik itu digunakan untuk dia mengunci pintu itu dari dalam dan suspek hanya mampu berlegar-legar di luar bilik tersebut tanpa dapat mencederakan sesiapa.
Dia memberitahu, suspek yang berusia 40 tahun itu menceroboh masuk pukul 9.15 pagi melalui salah satu pintu belakang tadika tersebut.
"Dengan membawa tukul, dia meminta kami mengikut arahannya dan mengugut akan mencederakan kanak-kanak jika tidak memberi kerjasama," katanya.
Dia bersyukur kesemua selamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada polis yang menjalankan tugas dengan sempurna.
Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk, Soh Yoke Chong, dia terpinga-pinga apabila dihalau pergi oleh guru tadika semasa mahu menghantar anaknya ke tadika itu.
"Tiap-tiap hari apabila saya menghantar anak, cikgu akan datang membuka pintu pagar, tetapi hari ini tiada. Apabila dia keluar, guru itu memberitahu kunci tiada dan tadika ditutup sambil memberi isyarat mata.
"Sebab tidak berpuas hati, saya telefon cikgu itu dan kali ini lelaki itu keluar dan menyuruh anak saya ditukarkan ke tadika lain," katanya.
Mengesyaki sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, wanita itu menghubungi suaminya yang kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Berita Harian melaporkan :
Tawan tadika
Oleh Junita Mat Rasid 2011/07/08
ANGGOTA polis membawa keluar sebahagian daripada 30 murid Tadika Serikids, di Taman Sungai Abong Cemerlang Muar yang menjadi tebusan selama tujuh jam. - Foto AP
30 murid, empat guru hadapi episod ngeri 7 jam jadi tebusan penagih dadah
Berikutan itu, polis melancarkan gerakan selama enam jam bagi menyelamatkan mereka dan berjaya menembak lelaki yang dipercayai penagih dadah itu.
Lelaki itu disyaki orang yang sama dalam serangan dua tadika di bandar ini, menggunakan tukul besi pada Mac tahun lalu dan Januari 2009, menyebabkan tiga murid cedera parah berikutan modus operandinya sama.
Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai menceroboh tadika itu dengan memanjat pagar sebelum mengugut dan mengurung semua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas banglo tadika berkenaan. Suspek kemudian mengunci semua pintu rumah menggunakan mangga yang dibawanya sendiri.
Kejadian itu disedari ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke tadika itu, sebaliknya disuruh membawa anak mereka pulang selain memberi isyarat dan menunjukkan aksi mencurigakan dan memberi alasan semua pintu tadika berkunci. Curiga dengan alasan itu kerana biasanya semua guru di situ mesra, ibu bapa berkenaan menghubungi polis.
Sepasukan anggota polis dihantar membuat pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, mendapati 34 mangsa menjadi tebusan seorang lelaki di dalam banglo berkenaan.Polis cuba berbincang dan memujuk suspek supaya membebaskan semua mangsa tetapi tidak berhasil, menyebabkan anggota UTK dihantar ke tempat kejadian bagi membantu usaha membebaskan semua tebusan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata usaha memujuk yang turut disertai dua saudara lelaki itu supaya membebaskan semua mangsa tidak berhasil, menyebabkan serbuan terpaksa dilakukan."Polis mengambil masa lama untuk menyerbu tadika itu kerana perlu memastikan semua mangsa selamat.
Serbuan hanya dibuat selepas mereka dikesan dikumpul dalam sebuah bilik di tingkat atas," katanya.Katanya, polis terpaksa mengalihkan kira-kira 30 kerusi yang diletakkan suspek pada tangga tadika sebelum disedari lelaki itu yang kemudian menyembur alat pemadam api dan menyerang dengan penukul.
"Berikutan itu, polis melepaskan tembakan menyebabkan suspek terkulai dan segera dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan kritikal," katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengucapkan syabas kepada polis kerana tindakan pantas memberkas penjenayah dan menyelamatkan semua murid dan guru tadika berkenaan.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan polis melepaskan tembakan dilakukan demi kepentingan dan keselamatan kanak-kanak itu."Dalam tindakan itu (tembakan), suspek telah menyerang polis yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum berlaku pergelutan dan tembakan," katanya.
Oleh KAMIL MASLIH , pengarang@utusan.com.my
MUAR 7 Julai - Nyawa 30 kanak-kanak dan empat orang guru menjadi taruhan dalam kejadian tebusan oleh seorang lelaki yang bersenjatakan tukul besi dan parang di Pusat Jagaan dan Didikan (Tadika) Serikids di Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini, hari ini.
Lelaki terbabit yang cedera parah di kepala dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk menerima rawatan dan mati pada jam 9.15 malam tadi.
Kejadian di Taman Sungai Abong Cemerlang kira-kira jam 9.45 pagi itu, berakhir tepat jam 3.41 petang, selepas sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis menyerbu masuk tadika terbabit selepas lelaki itu enggan menyerah diri.
Lelaki itu disyaki orang yang sama dalam serangan dua tadika di bandar ini, menggunakan tukul besi pada Mac tahun lalu dan Januari 2009, menyebabkan tiga murid cedera parah berikutan modus operandinya sama.
Dalam kejadian semalam, suspek dipercayai menceroboh tadika itu dengan memanjat pagar sebelum mengugut dan mengurung semua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas banglo tadika berkenaan. Suspek kemudian mengunci semua pintu rumah menggunakan mangga yang dibawanya sendiri.
Kejadian itu disedari ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke tadika itu, sebaliknya disuruh membawa anak mereka pulang selain memberi isyarat dan menunjukkan aksi mencurigakan dan memberi alasan semua pintu tadika berkunci. Curiga dengan alasan itu kerana biasanya semua guru di situ mesra, ibu bapa berkenaan menghubungi polis.
Sepasukan anggota polis dihantar membuat pemeriksaan kira-kira jam 10 pagi, mendapati 34 mangsa menjadi tebusan seorang lelaki di dalam banglo berkenaan.Polis cuba berbincang dan memujuk suspek supaya membebaskan semua mangsa tetapi tidak berhasil, menyebabkan anggota UTK dihantar ke tempat kejadian bagi membantu usaha membebaskan semua tebusan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata usaha memujuk yang turut disertai dua saudara lelaki itu supaya membebaskan semua mangsa tidak berhasil, menyebabkan serbuan terpaksa dilakukan."Polis mengambil masa lama untuk menyerbu tadika itu kerana perlu memastikan semua mangsa selamat.
Serbuan hanya dibuat selepas mereka dikesan dikumpul dalam sebuah bilik di tingkat atas," katanya.Katanya, polis terpaksa mengalihkan kira-kira 30 kerusi yang diletakkan suspek pada tangga tadika sebelum disedari lelaki itu yang kemudian menyembur alat pemadam api dan menyerang dengan penukul.
"Berikutan itu, polis melepaskan tembakan menyebabkan suspek terkulai dan segera dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan kritikal," katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, mengucapkan syabas kepada polis kerana tindakan pantas memberkas penjenayah dan menyelamatkan semua murid dan guru tadika berkenaan.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, tindakan polis melepaskan tembakan dilakukan demi kepentingan dan keselamatan kanak-kanak itu."Dalam tindakan itu (tembakan), suspek telah menyerang polis yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum berlaku pergelutan dan tembakan," katanya.
Kosmo :
30 kanak-kanak, guru jadi tebusan
MUAR – Seramai 30 kanak-kanak dan empat guru di Pusat Jagaan Serikids, Taman Sungai Abong Cemerlang, Sungai Abong di sini berhadapan saat-saat cemas semalam apabila dijadikan tebusan oleh seorang penagih dadah selama hampir tujuh jam.
Lelaki berusia 30-an yang dipercayai kurang siuman itu bagaimanapun cedera parah ditembak polis dan meninggal dunia pada pukul 9.15 malam tadi ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, lelaki itu dikatakan menceroboh pusat jagaan berkenaan yang berupa banglo dua tingkat pada pukul 9.15 pagi melalui pintu belakang bangunan berkenaan.
Katanya, sebaik berjaya masuk, lelaki berkenaan yang bersenjatakan sebilah parang dan tukul besi mengarahkan guru dan kanak-kanak terbabit diam jika tidak mahu dicederakan.
“Suspek kemudiannya mengunci kesemua tiga pintu pusat jagaan berkenaan dengan mangga yang dibawanya sebelum mengarahkan semua mangsa naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam sebuah bilik,” katanya.
Jelasnya, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 10 pagi.
“Polis cuba berunding dengan suspek mulai pukul 11 pagi hingga 3 petang dan ahli keluarganya iaitu bapa saudara, kakak dan adiknya turut datang memujuk suspek agar menyerah diri tetapi gagal,” katanya kepada pemberita.
Katanya, sepanjang rundingan, suspek mengemukakan beberapa permintaan yang tidak munasabah seperti sepucuk pistol dan peluru.
Jelasnya, polis mendapat petunjuk keadaan mangsa apabila seorang guru mencampak sekeping nota dari bilik berkenaan.
Utusan Malaysia:
Drama tebusan tadika Sungai Abong
Lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai kurang siuman dan seorang penagih dadah itu menceroboh masuk tadika yang terletak di sebuah rumah banglo dua tingkat itu kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum mengurung semua penghuninya.
Pihak polis dan ahli keluarga lelaki tersebut yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 10 pagi cuba berunding dengan suspek meminta supaya semua tebusan dibebaskan, namun gagal.
Setelah rundingan gagal, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) menyerbu masuk ke dalam tadika itu pukul 3.40 petang dan suspek telah ditembak di bahagian kepala mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital malam ini.
Insiden tebusan tersebut berakhir pada pukul 4 petang dengan kesemua tebusan iaitu empat guru wanita dan 30 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek dalam kes tersebut dipercayai individu sama dalam kes serangan seorang lelaki kurang siuman yang mencederakan kanak-kanak menggunakan tukul di Tadika Sinario di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman di sini pada 10 Mac tahun lalu.
Katanya, pihak polis juga percaya suspek adalah orang sama dalam kejadian tiga kanak-kanak ditikam di hadapan sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Jalan Sakeh, Sungai Abong pada 12 Januari 2009.
"Suspek dikatakan mengurung kesemua empat guru dan 30 kanak-kanak di dalam sebuah bilik di tingkat atas dan dia turut mengunci semua pintu di tadika itu.
Mengimbas detik-detik kejadian tebusan di Tadika Serikids hari ini, Jalaluddin berkata, polis mendapat maklumat mengenainya pukul 10 pagi dan sebuah kereta peronda dihantar ke premis itu. Tambahnya, salah seorang detektif dapat mengecam dan mengenal pasti identiti suspek dan telah membawa bapa saudara, kakak serta adik suspek untuk memujuknya namun usaha itu gagal.
"Usaha untuk berunding dengan suspek dilakukan sejak pukul 11 pagi hingga 3 petang dan suspek telah mengemukakan beberapa tuntutan tidak logik, termasuk meminta sepucuk pistol automatik," katanya.
Katanya, polis yakin kesemua tebusan berada dalam keadaan selamat untuk satu serbuan dilakukan setelah menemui sekeping kertas yang diremukkan dan dilempar keluar oleh salah seorang guru tadika itu mengatakan dalam bahasa Cina: 30 kanak-kanak dan guru dikunci di dalam bilik atas.
Menurutnya, semasa serbuan dilakukan, banyak kerusi telah diselerakkan di bahagian tangga oleh suspek dan dia yang berada di tingkat atas juga bertindak menghalang kemaraan pihak polis dengan menyembur alat pemadam api.
Katanya, suspek cuba bertindak agresif dengan menggunakan tukul sebagai senjata dan pihak polis terpaksa melepaskan tembakan mengenai bahagian kepalanya menyebabkan dia mengalami cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini. Suspek disahkan meninggal dunia di hospital pukul 9.15 malam ini.
"Mengenai seorang kanak-kanak yang dikatakan telah dicederakan, suspek telah berbohong mengenainya semasa rundingan dilakukan dan kesemua tebusan adalah selamat tanpa kecederaan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.