Aku membaca siri catatan Ustaz Ridhuan berkenaan Kiasu yang seringkali dikaitkan dengan semangat tidak mahu kalah di kalangan dalam diri masyarakat Kaum Cina. Ianya bukannya satu bentuk fahaman mahupun amalan keagamaan tetapi lebih kepada nilai jati diri yang terdapat dalam masyarakat kaum ini.
Melihat secara sebaliknya, sikap ini sebenarnya dimiliki oleh semua kaum di dunia tetapi hanya dinilai dengan pelbagai tahap kekiasuan masing-masing.
Perlukah kita sikap kiasu ini. Pastinya ada panduan hidup yang jelas untuk menjadi ultra kiasu...
Melayu mesti ‘kiasu’ untuk berjaya
Melayu mesti ‘kiasu’ untuk berjaya.
SAYA amat tertarik dengan syarahan Profesor Diraja Ungku Aziz, di Universiti Malaya minggu lalu. Beliau menyarankan orang Melayu supaya mempunyai sikap ‘kiasu’ untuk berjaya seperti mana amalan orang Cina.
Kiasu adalah perkataan Hokkien (Cina) bermaksud takut kalah. Kiasu boleh diaplikasikan dalam berbagai keadaan aspek hidup. Takut kalah dalam sebarang persaingan atau pertandingan atau peperangan. Dalam konteks ini, sudah tentu persaingan dan pertandingan yang sihat dalam perkara kebaikan. Dalam konteks Melayu, kiasu dengan bangsa lain dan mahu hidup gagah, dipandang hebat di bumi sendiri.
Sebenarnya, budaya hidup orang Melayu telah lama tersemat dengan sikap kiasu sejak mereka menerima Islam 600 tahun lalu. Terbukti, orang Melayu pernah berjaya mentadbir dan menguruskan negara sendiri iaitu kerajaan Melayu Islam Melaka sehingga terkenal seantero dunia, termasuk menjadi tarikan kerajaan negara China.
Tamadun Melayu pernah mengalami pasang surut. Melayu pernah hidup mewah dan pernah hidup susah. Pernah tinggal di bandar dan tidak kurang di kampung-kampung, pernah berniaga dan pernah mengusahakan hasil tani.
Pengalaman yang dilalui telah menjadikan mereka mempunyai semangat kental. Kita jangan lupa, siapa yang mengusir penjajah keluar kalau bukan orang Melayu. Inilah sikap kiasu. Takut kalah di bumi sendiri. Takut dijajah di bumi sendiri.
Inilah perkara yang cuba dibawa oleh Ungku Aziz. Tamadun Melayu Islam menjadi hebat juga disebabkan oleh ilmu. Kekuatan ilmu ini yang telah mencorakkan sikap Melayu untuk berdaya saing. Kekuatan ilmu telah menjadi orang Melayu mahu berfikir lebih jauh ke hadapan. Mereka tidak mengambil jalan singkat, tetapi sentiasa berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. Penjajah demi penjajah datang, akhirnya berjaya mereka halau.
Cuma hari ini, mereka mulai lupa jerit pahit tok nenek moyang mereka. Mereka menjadi manusia yang malas berfikir, tetapi mahu hidup mewah. Akhirnya mencari jalan pintas.
Semangat kepahlawanan telah hilang. Semangat bendahara dan hulubalang telah lunyai. Mereka hanya berbangga menjadi ‘tuan’ negara ini. Mereka sudah lupa bagaimana ‘ketuanan’ itu wujud sebelum ini.
Budaya berfikir sudah tidak wujud lagi seperti sabda nabi, berfikir seminit lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat. Berfikir adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Ada yang suka membaca tetapi tidak mahu berfikir. Sekadar membaca tidak cukup kerana membaca tanpa berfikir tidak akan memberikan kesan. Inilah konsep generasi ulul albab yang diperbahaskan dengan panjang lebar dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Sebenarnya kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Datuk Seri Idris Jusoh telah lama mempelopori istilah ini. Saya sering kali ke sana memberikan penerangan mengenai istilah ulul albab. Sebenarnya istilah-istilah dalam al-Quran, penuh dengan semangat kiasu. Cuma kita sahaja yang tidak mahu mencungkilnya.
Selain istilah ulul albab, ada satu lagi istilah yang membawa makna mengalahi kiasu ialah ulil absar, orang yang memiliki pandangan atau wawasan.
Dalam konteks ini, orang yang memiliki pandangan atau wawasan yang jauh ke hadapan. Orang yang memiliki fikiran dan wawasan jauh ke hadapan akan tetap kiasu.
Kalau kita bandingkan dengan orang Cina di negara kita, sejak awal-awal lagi mereka kiasu. Takut kalah di bumi orang. Takut merempat di bumi orang.
Sebab itu istilah Cina seberang laut, berbeza dengan Cina di tanah besar. Cina seberang laut, boleh dikatakan lebih berjaya daripada orang Cina di negeri China. Cina seberang laut mempunyai semangat kiasu luar biasa sehingga dapat membentuk sebuah negara sendiri iaitu Singapura yang asalnya sebuah negara Melayu. Kenapa perkara ini boleh berlaku? Kerana mereka percaya kepada ‘satu Cina’ walaupun terdapat berbagai kumpulan atau istilah Cina, mereka tetap kiasu. Ke mana pun mereka pergi, mereka tetap Cina walaupun apa juga nama, kumpulan, bahasa, dan ideologi.
Berbeza dengan orang Melayu. Semua yakin bahawa Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Hanya ada ‘satu Melayu’ iaitu mereka yang beragama Islam. Tetapi Melayu Islam ini dipecah-pecahkan mengikut semangat kedaerahan, kumpulan, bahasa, parti politik dan ideologi. Tidak pada orang Cina, walaupun kita lihat di kalangan orang Cina itu sendiri ada berbagai-bagai agama seperti Buddha, Confucius, Toaism, Kristian dan Islam (ini tidak termasuk kelainan bahasa, dialek dan sebagainya) tetapi mereka berpegang kepada semangat ‘satu Cina’.
Sebenarnya, orang Melayu lebih mudah, sebab mereka hanya ada satu, ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’ iaitu Melayu Islam. Jika mereka mempunyai pemikiran dan wawasan berjuang atas nama ‘satu Islam’ maka banyak masalah yang boleh diselesaikan.
Satu Islam untuk semua manusia, tak kira apa bangsa sekalipun. Kita hanya ada satu kiasu. Tetapi semangat satu kiasu tidak tertonjol kerana kita membesar-besar perbezaan, lebih-lebih lagi perbezaan pendapat dan latar belakang politik.
No comments:
Post a Comment
mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.