Tuesday, June 21, 2011

Masjid Sultan Ahmad 1, Kuantan,

http://www.flickr.com/photos/2121studio
Hari ini ketika aku membelek laman web mengenai Bandar Kuantan, tiba-tiba terjumpa sekeping gambar HDR dan IR Masjid Sultan Ahmad Kuantan Pahang. Cantik dan segera terbayang difikiran aku rupa sebenar masjid ini 

Terkenang pula zaman-zaman awal dahulu yang mana aku pernah mengunjungi masjid ini dari hari pertama pembukaanya sekitar 1993 dan ianya telah dirasmikan pada 21 Oktober 1994 oleh DYMM Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustaim Billah ibni Almarhum Sultan Abud Bakar masa tu kami tengah PMR. 

Ketika hari perasmian, DYMM Tuanku telah menjemput Imam Besar Masjidilharam, Mekah untuk mengimankan sembahyang Jumaat dan siaran langsung untuk solat jumaat di RTM sebab aku tengok jurukamera sana sini.

Ianya dinamakan Masjid Sultan Ahmad sempena Pemerintah Pahang  pertama, Sultan Al- Mu'adzam Shah yang ditabalkan sebagai Sultan Pahang selepas mengalahkan Bendahara Wan Muthair lewat 1890.

Namun apa yang nak aku kongsi sedikit coretan kenangan mengenai zaman awal pembukaannya. Ketika itu aku berumur sekitar 13 tahun dan bersekolah berdekatan dengan masjid ini maka setiap hari Jumaat inilah masjid kami sehingga aku tingkatan 5. Asrama pun sekitar 15 minit perjalanan.

Ketika pembinaan, sebuah Masjid sementara telah diwujudkan bersebelahan Perpustakaan Awam Negeri Pahang di Jalan Merdeka. Ianya agak kecil dan sempit sehinggakan jika pada hari Jumaat, jemaah akan melimpah keluar. Janan lupa pada bilal tua yang tempang kakinya tetapi begitu tabah dan rajin menyiapkan persiapan solat Jumaat serta mengutip tong-tong derma.

Di masjid baru, sepanjang awal pembukaanya, sentiasa berkumandang bacaan ayat-ayat suci Al-Quran seolah-olah mengajak umat Islam singgah dan beribadat. Aku masih teringat ketika di tingkatan 5, aku dan rakan-rakan berpakat dengan semua pelajar Islam sekolah untuk menghadiri majlis qiamulail dan tahlil sempena peperiksaan di atas nama Rakan Masjid tanpa pengetahuan Ustaz di sekolah.

Dua minggu kemudian, sekolah menerima lebih 150 buah buku Fardu Ain karya Ustaz Ismail Kamus sebagai tanda penghargaan menyertai progarm tersebut bagi setiap peserta. Kami dapat lihat, ada genangan air mata tanda terharu tapi cuba disembunyikan oleh Ustaz Rushdan dan Cikgu Zakaria ketika mengedarkannya mengikut senarai nama. Barangkali beliau tidak sangka kami akan melakukan ini kerana pelajar sekolah kami ini adalah pelajar lelaki semuanya dan terkenal dengan keganasan dan kenakalan di Kuantan. Bak kata sekarang, 'muka legend hati cute'.

Masjid Lama:
Masjid lama Sultan Ahmad, Kuantan
Asalnya tapak masjid adalah tapak Masjid Sultan Ahmad yang lama dan ianya dibangunkan kembali di tapak asal. Bangunan asalnya bercirikan sebuah kubah atau dom besar tanpa tiang di dalamnya dan membolehkan saf sembahyang tidak putus sehingga ke tepi.

Terdapat ruang rehat iaitu beranda/verandah di bahagian tepi bagi membolehkan jemaah berehat sebentar dan pada waktu malam menjadi pilihan kepada musafir untuk tumpang tidur. 

Dikelilingi dengan taman-taman di setiap penjuru memujudkan suasana damai ketika beribadah. 

Menjelang penghujung usianya, masjid ini terpaksa diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid baru kerana masjid lama memerlukan banyak kerja pembaikkan dan pemulihan di samping saiznya yang kecil untuk menampung jemaah yang kian bertambah. Maka Kerajaan Negeri Pahang mengambil keputusan untuk membina sebuah masjid negeri yang baru dan DYMM Sultan Pahang telah memberi pandangan dan perkenan kepada senibina dan rekabentuk masjid baru ini secara peribadi.

Aku tak sempat untuk merasai bersolat di Masjid lama ini kerana ketika aku menjejakkan kaki ke Kuantan ianya telah diruntuhkan dan pembinaan masjid baru giat dilaksanakan. Namun masih aku ingat kegemparan telah berlaku bilamana pekerja binaan menemui bom lama peningalan tentera Jepun ketika kerja-kerja tapak dilaksanakan dan ianya dapat diletupkan.

Seni Bina:
http://mutiarawarnasari.blogspot.com
Lokasi Masjid Sultan Ahmad 1 pada awalnya seolah-olah terkepung dek bangunan bangunan milik Telekom di sebelah hadapan dan ianya telah diruntuhkan untuk memberi pandangan yang lebih cantik menghadap Jalan Mahkota. Manakala arah timurnya dikelilingi Bank Negara Malaysia (Kini Simpanan Nasional), Maybank dan Tenaga Nasional Berhad manakala di sebelah utara adalah Wisma Persekutuan, Wisma Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Namun lokasi ini di anggap startegik kerana menjadi pusat beribadah kepada ribuan pekerja dan kakitangan awam.

Masjid Sultan Ahmad 1 yang terletak di tengah-tengah Bandar Kuantan  merupakan masjid yang terbesar di Negeri Pahang dan mampu memuatkan 8,000 jemaah pada satu-sayu masa bersesuaian dengan tarafnya sebagai Masjid Negeri. 

Mempunyai dua tingkat yang berasingan sayap iaitu di sebelah kanan dan kiri adalah tingkat dewan sembahyang lelaki dan di bahagian belakang adalah dewan sembahyang wanita. Namun sekitar tahun 1996, tingkat kanan dewan sembahyang lelaki telah digunakan sebagai kediaman bagi para tahfiz yang dipilih untuk menyertai pengajian di situ. Sebelum itu, bahagian inilah tempat pilihan kami untuk berkumpul dan bersolat Jumaat setiap minggu.

http://www.flickr.com/photos/2121studio/
Masjid ini mempunyai empat menara setinggi 180 meter dan aku sendiri pernah menaiki kedua-dua menara di bahagian hadapan pada awal pembukaan masjid ini secara haram. Maklumlah masa tu masih remaja dan keinginan untuk meneroka adalah amat tinggi tetapi ternyata berbaloi sekalipun ditangkap.

Melalui tangga yang berputar anda boleh merasai kegayatan bilamana membuka pintu menara di dua hentian tingkat.

Berwarna putih biru bersulam putih marmar yang akan bersinar bilamana dilimpahkan cahaya pada waktu malam pasti menambat hati untuk berkunjung ke sini.
Berhadapan sebelah kiri adalah padang bolasepak Majlis Perbandaran Kuantan yang memuatkan 3 padang bola secara bersebelahan dan ini memberikan pemandangan yang amat indah untuk melihat masjid ini. Malah padang ini digunakan sebagai tempat berlangsungnya program forum ehwal Islam ataupun sambutan Maulidur Rasul. Di bulan Ramadhan ianya meriah dengan acara berbuka puasa secara santai cuma malangnya jumlah yang terus singgah bersolat maghrib tidaklah seramai yang hadir.

Manakala di sebelah laluan Stesen Bas Jalan Mahkota atau lebih dikenali dengan Stesen Bas Pokok Buluh adalah tapak arked makanan Taman Kerang. Namun pada awal 1996 ianya telah dipindahkan sebelum acara SUKMA di Pahang. Begitu juga dengan tapak pasar minggu yang kini berubah kepada Merdeka Square.

http://www.flickr.com/photos/2121studio
Senibina dalaman adalah berteraskan geometri Islam yang dijalin teliti berlatarkan warna biru dan putih daripada marmar yang bersinar. Manakala setiap cermin kaca yang dipilih berwarna biru dan kuning memberi sinar warna yang memancarkan keindahan. Pelusuk dinding pula dihiasi dengan seni khat nama-nama Allah ataupun Asma al-Husna selain ayat-ayat Al-Quran turut menjadi pilihan. 

Ruang dewan sembahyang yang tinggi memberikan kelapangan ketika beribadat dan terasa bebas serta tenang.

Kesejukan akan terasa bilamana anda berada di dalam dewan sembahyang utama bukan kerana kipas-kipas yang tersedia tetapi kerana lantai dan dinding marmar yang menyejukan. Difahamkan, ketika siap pembinaan, masjid ini mempunyai sistem pembesar suara atau siaraya yang paling moden ketika itu. Tiada dengung atau gema biarpun binaanya dalamannya adalah batu dan simen semata.

Masjid Sulten Ahmed , Turki atau Masjid Biru
Masjid Sultan Ahmad 1 ini jga dikenali dengan nama jolokan Masjid Masjid Sultan Ahmed di Turki atau sinonim dengan panggilan Masjid Biru. Ini kerana ianya diilhamkan oleh DYMM Sultan Pahang  dengan ciri senibina Zaman Othmaniah yang begitu dekat dengan senibina Arab dan Turki dan ianya mempunyai satu kubah besar dan dilengkapi oleh 4 kubah kecil setiap penjuru. Ianya berkonsepkan terbuka dan dewan sembahyang utama dipasangkan dengan karpet hijau yang lembut.

Sekiranya anda sampai dan singgah di Kuantan, melalui jalan Mahkota anda akan mudah menemui Masjid Sultan Ahmad 1 ini. Jika anda ingin memilih hotel penginapan, Hotel Shahzan Inn merupakan hotel yang terbaik untuk menikmati permandangan masjid ini samada siang ataupun malam. Malah pada waktu petang berjalan kaki melewati padang ke masjid memberikan satu pengalaman perjalanan ke masjid dengan tenang dan beriktikad kemudiannya.
kredit gambar  :  http://ibresources.fotopages.com/?entry=878059
Ikuti coretan laman yang lain di :
http://artmelayu.blogspot.com 
Koleksi gambar seperti yang tertera dibahagian kapsen masing-masing.

1 comment:

  1. Info menarik pasal asal usul Masjid Negeri Kuantan. dalam wiki tak jumpa.

    ReplyDelete

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.