Friday, May 27, 2011

Tips Melancong ke Cameron Highlands... Brinchang

Pekan Tanah Rata di waktu petang
Catatan keempat dibawah topik ini dipanjangkan ke Brinchang dan sekitarnya. Pekan ini merupakan hub pelancongan utama di mana terdapat pelbagai tarikan perlancongan dan juga pilihan penginapan yang selalu menjadi pilihan pelancong.

Brinchang adalah amat sibuk pada waktu hujung minggu atau pada hari cuti umum malah di sini adalah  tumpuan utama untuk lawatan anda ke Cameron Highlands.

Penginapan : 
Olde Smoke House
Terdapat banyak hotel yang sekitar Brincang. Di antara pertengahan jalan dari Pekan Tanah Rata ke Brinchang anda boleh singgah untuk melihat senibina lama Enggeris di Bala Chalet dan Olde Smoke House. Kedua-duanya menampilkan senibina kolonial lama yang dibina puluhan tahun lampau seawal pembukaan tanah tinggi ini. 
Berdekatan Padang Golf , anda boleh memilih Casa De La Rosa, Cameron Highlands Resort (kadar hotel termahal di Cameron Highlands) atau memandu ke dalam sedikit untuk ke Strawberry Park Resort dan mungkin juga Rumah Rehat Pahang boleh menjadi pilihan. Kesemuanya maklumat harga dan kemudahan boleh  anda perolehi dengan membuat pencarian di internet malah mungkin lebih murah jika melalui Agoda.com dimana kadang-kadang harga yang ditawarkan melebhi 50% diskaun berbanding anda menempah secara terus.

Pekan Brinchang
Melewati Padang Golf anda akan menemui Hotel Titiwangsa dan Parkland Apartment serta Irish House. Terdapat juga Wira Angkasa Hotel di Jalan Kuari. Manakala sebaik anda memasuki Pekan Brinchang terdapat pelbagai pilihan hotel seperti Rossa Pasadena, Country Lodge Resort, Hotel Pelangi, Remix Hotel , Kowloon Hotel, Parkland Hotel Chua Hotel dan Star Regency. Bagi kemudahan holiday apartment, rasanya Villa Dahlia lebih menawarkan keselesaan dengan pemandangan Padang Golf.  Bercakap mengenai padang golf, bagi pemain golf anda boleh merasai sendiri cabaran permainan 18 lubang dengan berjalan kaki tanpa merasai penat kerana suasana yang amat selesa. 

Tempat Lawatan:
Bersesuaian dengan Pekan Pelancongan, apa kata anda singgah beberapa Ladang Starwberry samada di Kasimanis Farm bersebelahan Rumah Rehat Persekutuan  atau saya ingin benar mencadangkan kepada anda ke Big Red Strawberry Farm berdekatan dengan Cactus Valley di Pekan Tanah Rata. Disini anda boleh melihat starwberry dan juga tanaman salad menggunakan teknik NFT. Bagi penggemar kaktus, Cactus Valley menawarkan pelbagai jenis kaktus untuk anda tetapi menggenakan sedikit bayaran masuk.

Bagi yang ingin menyelami kehidupan Orang Asli, apakata anda singgah di Kg Sungai Ruil di mana penempatan terdekat kaum orang asli dan terdapat galeri kebudayaan mereka untuk anda kunjungi.   

Jika anda menghala ke atas atau Kea Farm, anda akan menempuhi Multicrop Arkeb iaitu salah satu hentian yang popular dengan pelbagai pilihan cenderehati dan nurseri tanaman ala dalam taman dan juga Uncle Sam Nurseri yang terletak bersebelahannya. Hanya bergerak ke depan sedikit anda akan menemui  Chai Kok Lim Strawbery Park berdekatan Time Tunnel yang merupakan satu-satunya Muzium dan Galeri berkaitan sejarah silam Cameron Highlands.

Bila malam menjelang, pastinya Pasar Malam Brinchang menjadi pilihan utama bagi pelancong. Ia menawarkan pelbagai pilihan jualan pertanian baik cenderhati, makanan, strawberry , sayur-sayuran, baju dan juga pilihan teh dengan harga yang murah berbanding di pusat teh pengeluar terbabit. 
Pasar Malam Brinchang
Cuma beberapa tip yang boleh saya kongsi di sini iaitu pertama jangan meletak kereta secara sesuka hati di sepanjang jalan. Polis trafik akan mengenakan saman khasnya pada waktu petang sehinggalah malam. Kedua, jika anda melihat jambu kristal ataupun digelar epal Cameron, ianya bukanlah seperti yang digambarkan. Hanya jambu biasa yang dibuang kulit dan direndam dalam pelarut warna hijau. Jika membeli sayur, pilihlah yang jarang anda boleh dapati kerana kadang-kadang melihat longgokan kubis, cauliflower dan brokoli ternyata menaruik tetapi tahukan anda sekilo kobis tidaklah sampai RM 2.00 atau sebiji harganya sekitar RM 1.50 sahaja. Brokoli atau cauliflower tanpa daun adalah yang diimport dari luar. Begitu juga dengan lobak merah yang diimport dan yang asli hanyalah baby carrot beserta daun. Buah limau juga bukan berasal dari Cameron Highland kebanyakanya.

Jika membeli jagung, terdapat dua jenis iaitu jagung Cameron Highlands dan jagung yang dibawa dari Malim Nawar, Gopeng dan Ipoh. Perbezaannya biasanya jagung Cameron tidaklah besar atau panjang dan menguncup dihujung. Bagi mereka yang ingin membeli strawberry, pembelian lewat malam sememangya menguntungkan. Dinasihatkan jangan membeli Strawberry yang dilapik dengan daun. Nampak cantik tapi kuantiti sedikit dan pastinmya tiada yang akan memakan daun strawberry. Bagi pilihan madu lebah , di pasar malam terdapat dua penjual yang sama dan datangnya dari Ladang Lebah di Habu. Secara peribadi, saya mempercayai madu ini berbanding yang dijaja.

Pada pagi Ahad, terdapat Pasar Tani Agrotourism di tapak pasar malam yang menawarkan pilihan yang sama untuk anda.

Makan-makan:
Brinchang Central Market
Di Pekan Brinchang , pilihan makanan Melayu agak kurang. Mungkin bagi yang tidak kisah untuk menunggu bolehlah ke Pok Nik Ikan Bakar dan saya nasihatkan anda bertanya harga ikan terlebih dahulu. Jika ingin merasai keselesaan, saya cadangkan ke Alkif Kopitiam. Selain itu terdapat Fauzi Tomyam dan Medan selera bersebelah Brinchang Central Market yang menawarkan pelbagai pilihan baju-baju bertulisan Cameron Highlands.

Bagi yang inginkan steamboat, terdapat banyak kedai makan Cina yang menawarkan sajian ini tetapi jika was-was mungkin boleh singgah di Hotel Rossa Passadena atau kembali semula ke Tanah Rata seperti Glory 78 atau ke kedai makan di sebelah tapak pasar malam Tanah Rata.

Bagi yang tidak dapat meninggalkan selera fast food anda , maaflah, hanya terdapat KFC di sini. Atau anda boleh kembali ke Tanah Rata untuk Marrybrown dan juga Starbuck Coffee.

Terdapat sebuah Masjid di Bandar Brincang bertentangan dengan Balai Bomba dan Penyelamat.
Juga bagi anda yang memerlukan petrol, hanya Pekan Brinchang mempunyai Stesen Shell dan Petronas selain di Pekan Ringlet.

Bagi Klinik perubatan terdapat Klinik Wong yang dibuka sehingga malam Ahad dan Klinik Chiam dan Liew yang dibuka sehingga hari Sabtu. Bagi ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan anak-anak anda, saya mencadangkan Klinik Chiam kerana Dr. Chiam adalah pakar kanak-kanak dan menjadi pilihan ramai dikalangan ibu bapa tetapi hanya bertugas pada waktu7 hingga 9 malam sahaja. Selain daripada klinik terdapat Guardian Farmasi yang beroperasi sehingga pukul 10 malam.

(Dikemaskini pada 26 May 2011).


Jika anda merasakan artikel dan catatan ini membantu anda atau ada sebarang cadangan info untuk penambahbaikan, saya amat mengalu-alukan anda meninggalkan sedikit kata-kata di ruangan ulasan di bawah. 
Terima kasih.

5 comments:

  1. terima kasih diats tips dan panduan yang diberikan..ia serba sedikit akan membantu lwatan saya dan keluarga ke CH nanti....

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas maklumat.. bnyak perkara saya boleh tahu sebelum ke CH akhir APril nanti.. ;)

    ReplyDelete
  3. time kasih byk2...
    ia sangat2 membantu sy utk ke sana....
    seme maklumat sgt terang dan jelas..

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum MrKumai..terima kasih atas perkongsian maklumat tentang cameron highland..alhamdulillah, setelah membaca dan memahami perkongsian mrkumai tentang cameron highland, percutian saya dan isteri di sana lancar..kami dapat plan awal eventhough baru 1st time nak ke sana after 12 tahun.hehe..last pergi masa rombongan sekolah tingkatan dua..banyak yg sudah berubah =)...once again..terima kasih =)..

    ReplyDelete
  5. TERIMA KASIH ATAS INFO..SAYA RUJUK BLOG ANDA UNTUK KE CAMERON MINGGU DEPAN...

    ReplyDelete

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.