Monday, May 9, 2011

Lombok...

Sebentar tadi seorang teman di tempat kerja lama menghubungi aku melalui Facebook. Teringat pula pengalaman sama-sama ke Lombok dan secara kebetulan pula seminggu dua ini kita telah membaca bagaimana kes-kes kahwin lari yang melibatkan gadis-gadis Melayu dengan pemuda Lombok. Aduhai .. kenapa dan bagaimana terjadi semua ini. Ramai yang telah berikan pendapat masing-masing berkenaan pemuda Lombok , rata-ratanya semuanya membenci mereka.


Aku akui ada kebenaran di sebalik kejian dan cacian itu.Namun sebalik kejadian ini rasanya ingin aku kongsi kisah berkenaan Pukau Lombok yang mungkin lari sikit dari topik yang aku utarakan pada mula-mulakan tadi .
Peta Pulau Lombok
Kisah dan cerita ini lebih kepada pengalaman aku di atas peluang ke sana selama lebih 6 kali pada tahun 2003-2007. Kisah ini hanya untuk melatari latar belakang Kepulauan Lombok berdasarkan kaca mata catatan perjalanan aku ke sana.

Pulau Lombok merupakan salah satu Wilayah Nusa Tenggara Barat Republik Indonesia yakni bersebelah dengan Pulau Bali. Kalau dari Malaysia kita akan menempuhi Surabaya dan Pulau Bali terlebih dahulu dengan jarak penerbangan sekitar 4 jam dan suatu ketika dahulu hanya Merpati Air dan Lion Air yang menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Lombok.

Dengan keluasan 4,725 km persegi dan mempunyai kepadatan melebihi 3 juta rakyat yang majoritinya beragama Islam, Pulau Lombok ini dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid berbanding Bali yang terkenal dengan ajukan Pulau Seribu Pura. Aku akui , setiap 100 meter atau lebih , kita akan dapat melihat masjid-masjid terbina dengan hasil usaha masyarakatnya. Malah banyak juga masjid-masjid baru sedang dibina dengan cara bergotong royong. Malah cara kutipan derma juga dibuat di tengah-tengah jalan dengan kanak-kanak menjerit dan menghulurkan bakul kepada pemandu yang lalu lalang. Kaum ibu mengangkat batu bata dan simen diatas kepala dan kaum bapa melakukan kerja-kerja binaan dan ianya berlangsung hampir setiap petang.

Lombok terbahagi kepada 4 bahagian secara umumnya dikenali dengan Lombok Tengah yang menempatkan bandar utama untuk pentadbiran dan perniagaan, Lombok Barat yang melibatkan kawasan pantai, Lombok Timur melibatkan kawasan kampung dan pendalaman. Satu lagi bahagian aku pun dah terlupa, Lombok Selatan barangkali. Kebanyakan kawasana Lombok ini terdapat perbezaan penempatan di mana selain Lombok Tengah , kepadatan penduduk kebanyakkan menghala ke Lombok Timur yang subur dengan tanaman padi , jagung , tembakau dan tanaman yang lain. Manakala Lombok Barat lebih kurang subur dan kepadatan amat kurang dan kawasan pantainya juga seolah-olah tidak menggalakan untuk perikanan. ( Pada hemat aku sahaja).

Masjid di Lombok Timur yang terkenal dengan tabligh
Di bahagian Lombok Timur inilah suburnya Islam sebagai amalan hidup. Kalau setiap kali waktu sembahyang fardu, akan berduyun-duyun di kalangan penduduk berjemaah di Masjid. 

Malah Pasentren agama juga banyak di bahagian ini juga. Malah kalau pada petang Jumaat , aktiviti bacaan kitab akan memenuhi kawasan masjid dan melimpah ke jalan-jalan.
Di Lombok, selain Islam , agama Hindu juga mempunyai penganutnya malah setiap bulan mengambang, terdapat perayaan dan sambutan keagamaan di Pura-Pura yang kebanyakkan di tepi pantai dan kawasan tanjung pantai  dengan wanita dan gadis berpakaian kuning dan lelakinya berkain batik dan berbaju hitam. Biasanya sambutan hanya bermula lewat malam bagi menanti bulan mengambang.

Gunung Rijani dari pesawat Merpati
Di Lombok terdapat sebuah gunung berapi bernamma Gunung Rinjani iaitu gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia dengan ketinggian 3727 meter dari aras laut dan masih aktif. Selalunya untuk mendaki gunung ini mengambil masa dalam 7 hingga 10 hari malah gunung ini terkenal dengan Mitos yang tersendiri. Masa aku pergi ke sana kali ke 6 pada tahun 2007, seramai 7 orang pendaki dari Australia dan Singapore mati dengan penuh misteri. Kata-kata mulut mengatakan sumpahan Rinjani tetapi bagi sains mengaitkan dengan kandungan sulfur yang terlalu tebal.

Di bawah kaki Gunung Rinjani ini terdapat penempatan pertanian yang amat popular dengan tanaman bawangnya iaitu Sembalun Lawang. Memang sejuk di kawasan ini dan tanahnya amat subur untuk tanaman. Malah kawasan ini dikatakan kawasan anak emas Presiden Suharto sepanjang tempoh pemerintahannya tetapi kini mulai suram. Tidak jauh dari pintu masuk ke Gunung Rinjani , anda akan melihat bagaimana perubahan geografi kawasan ini dari subur kepada tandus. Tanahnya begitu peroi dan kering malah anak sungainya kontang. Pokok Renek sebagai pengisi ruang dek kerana ketandusan tanah disini sehinggalah tiba di persisiran pantai.



Keindahan kawasan pantai seperti Kuta ini mepersonakan.
Selain Rinjani sebenarnya Lombok mempunyai barisan pantai yang amat cantik dan dikatakan lebih cantik dari Bali. Ini aku akui sendiri kerana lawatan aku ke Pantai Kuta ini cukup mempersonakan. Air yang berwana biru kehijauan cukup indah dipandang. 


Cuma kerana Pulau Lombok ini majoritinya Islam, maka pemerintah cuba mengekalkan kawasan pantai ini dari pelancong luar dan tidak mahu ianya menjadi Bali ke 2. Namun terdapat kawasan pantai persendirian beserta resort khas untuk pelancong asing yang datang dengan perkhidmatan cruise malah difahamkan penduduk tempatan adalah dilarang untuk memasuki kawasan pantai dan resort ini.

Selain itu persisiran Pantai Sekotong pula lebih menjadi kawasan perikanan dan Nelayan malah jika ingin ke Pulau Bali , terdapat bot atau feri besar yang boleh membawa anda ke sana dengan tempoh 4 jam pelayaran. Jika tidak sanggup, pesawat ringgan model Fokker boleh menjadi alternatif dengan tempoh penerbangan selama 45 minit.  Manakala kawasan pantai Sengigi pula popular dengan kunjungan pelancong asing malah terdapat beberapa hotel mewah di sepanjang kawasan pantai ini.


Ibukota Lombok adalah Mataram di mana di sini adalah pusat pentadbiran dan perniagaan. Ianya seperti bandar lain agak sibuk dan padat. Cuma pada tahun sehingga 2007, terdapat hanya satu kompleks membeli belah yang utama dan Hotel Lombok Raya menjadi pilihan bagi mereka yang tinggal di sini. Atau barangkali anda boleh mencuba beberapa hotel murah tetapi berbaloi untuk sekadar menginap. 


Kemudahan pengangkutan agak terbatas namun jika anda ingin memilih perkhidmatan teksi, anda boleh memilih Teksi Biru atau Bluebird yang memang terjamin perkhidmatannya di seluruh Indonesia. Lapangan Terbang Selaparang kian menuju zaman terakhirnya jika lapangan terbang antarbangsa yang baru akan dibukan pada tahun 2011 ini.   


Aktiviti perlancongan biasanya akan berlegar di sekitar Mataram, Sekotong, Sengigi , Lombok Timur dan mungkin melewati ke Sembalun Lawang. Jika anda mahu menuju ke Kepulauan Bima, Perlabuhan Aji bakal menjadi laluan anda. Namun saya tidak pernah pula terlintas ke sana.

Menuai padi adalah kegiatan rutin di sini.
Kegiatan utama penduduk di sini adalah bertani dan anda akan temui kawasan padi tidak jauh dari bandar utama malah sekadar 5 minit memandu. Namun difahamkan, kawasan sawah padi ini adalah milik individu- individu yang kaya dan pekerjanya adalah rakyat tempatan yang miskin dan hanya mengambil upah.

Contohnya gambar di sebelah ini , anda akan dapat melihat rumah pemilik sawah di seberang jalan dan pekerja yang mengambil upah menuai padi. Selain itu juga , terdapat kilang-kilang atau bengkel-bengkel membuat genting bumbung daripada tanah liat secara manual. 


Pernah juga aku mencuba untuk membuat genting ini dan ternyata agak susah dan lebih mengejutkan kerja-kerja ini dilakukan oleh golongan wanita malah hampir semua pekerjaan juga dilakukan oleh golongan wanita baik dari pertaniah hinggalah ke pembinaan. Manakala kaum lelaki dikatakan hampir separuhnya berada di bumi asing seperti Malaysia untuk mencari rezeki berikutan peluang kerja yang terhad.

Pengalaman aku ketika memilih pekerja disana untuk syarikat aku , rata-rata belia yang sudah mencecah umur 18 tahun pernah datang ke Malaysia malah ketika aku melalui kawasan kampung dengan bangganya pak-pak peel (Agen kampung) akan memberitahu bahawa rumah itu dibina dengan hasil mahsul anak-anak yang mencari rezeki di Malaysia. Malah ibu-ibu selalunya datang ke sessi pemilihan atau temuduga pekerja untuk bertanya khabar anak-anak mereka. Bagi mereka Malaysia adalah lubuk rezeki mereka sekeluarga dan pastinya bilamana anak-anak mereka membawa pulang gadis Malaysia untuk dijadikan isteri, maka seluruh kampung akan sama-sama meraikan.


Seperti di negara ketiga yang mempunyai kepadatan penduduk seperti Sri Lanka, India atau Bangladeshi, kaum lelaki biasanya akan malas bekerja dan hanya mengharapkan kaum isteri atau ibu yang lebih berusaha. Namun cukup berbeza jika mereka berada di Malaysia, merekalah pekerja yang tekun, rajin dan sentiasa membantu jika diminta.

Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami nasib yang sama dan kaum lelaki dan wanita sama-sama berusaha yang terbaik untuk masa depan ahli keluarga masing-masing.



Kesimpulan yang dapat aku buat, penduduk Lombok amat ramah dan bersopan santun. Amat jarang mereka memberontak dan biasanya amat terbuka menyambut tetamu. Di sebalik kesusahan yang dialami, dapat dilihat mereka adalah amat kuat berusaha untuk sara diri keluarga masing-masing. Keutuhan masyarakat dan budayanya amat mudah dilihat di mana setiap kematian , majlis dan aktiviti mendapat sokongan. Cuma barangkali ada segelintir yang membuat onar, maka terpalitlah keburukan kepada semua. Bagi kita kes melarikan anak gadis dari Malaysia tidak akan berlaku jika satu pihak sahaja yang bersetuju kerana rata-rata mengatakan atas nama cinta dan janji-janji yang diberikan. 


Suasana Desa di Lombok
Kesopanan dan kelembutan yang ditonjolkan berbanding kaum lain atau bangsa lain daripada Indonesia mungkin lebih memaut rasa dan percaya di kalangan kita. Aku akui, pengalaman mengendalikan hampir lebih 300 orang pekerja Lombok di tempat kerja lama memberi persepsi yang berbeza jika mahu dibandingkan dengan pekerja asing yang lain biarpun berstatus Pekerja Asing Indonesia apatah lagi Bangladeshi, Nepal , Myanmar ataupun Vietnam. Mungkin budaya yang hampir sama memberikan kelebihan.

Syukur aku dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia....

(Kisah ini sekadar imbasan kenangan saya semasa 84 hari dalam tempoh 4 tahun untuk tugasan rasmi majikan terdahulu. Kini Lombok dikhabarkan sudah mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa yang baru hasil syarikat pembinaan dari Malaysia)

No comments:

Post a Comment

mrkumai.blogspot.com amat mengalu-alukan sebarang komen anda sama bersetuju, menyokong, membetulkan fakta atau membantah fakta. Namun apa juga komen anda, mrkumai.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan susulan oleh pihak ketiga.