TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Monday, December 3, 2018

ICERD bukan norma watan!


ICERD bukan norma watan!

ICERD sudah jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan. Jemaah Menteri dan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah bersetuju menolak ICERD kerana bercanggah Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kenapa masih ada Menteri yang berdolak dalik mencari helah masih mahu mempertahankan ratifikasi ICERD? Kenapa media khususnya portal masih tidak mahu akur dengan keputusan kerajaan tersebut? Kenapa NGO liberal masih berfalasi menyatakan Perlembagaan Persekutuan masih tidak akan tergugat dengan penandatangan ICERD?

Ye betul, dengan hanya tandatangan ICERD Perlembagaan Persekutuan masih akan kekal. Tetapi apabila kita tandatangan dan ratifikasi maka kita terikat dengan apa yang kita tandatangan. Reservasi memang boleh dibuat tetapi reservasi itu boleh ditolak oleh Jawatankuasa Pakar ICERD dan dua pertiga anggota ICERD. Sebagai contoh India yang membuat reservasi berkaitan dengan sistem kasta yang diamalkan di negara tersebut telah ditolak reservasi itu.

Akhirnya Malaysia boleh diadu ke International Court of Justice (ICJ) di The Hague Belanda kerana kegagalan mematuhi ICERD jika kita ratifikasi.  Tindakan lain juga boleh diambil terhadap Malaysia, tekanan boleh diberikan kepada Malaysia jika gagal melaksanakan ICERD setelah ratifkasi? Apakah Malaysia mampu menghadapi tindakan dan tekanan ini? Sudah pasti jawapannya tidak.

Seperkara lagi ada yang mengatakan ratifikasi tidak akan menjejaskan tindakan afirmatif kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak kerana kebenaran di dalam Artikel 1(4) ICERD. Ini tidak benar kerana ICERD mensyaratkan tindakan afimatif tersebut mestilah tidak mengadakan hak berasingan kepada dua kumpulan berbeza dan akan dimansuhkan bila tujuan keistimewaan dicapai. Perlembagaan Persekutuan memang memberikan hak berbeza antara orang Islam dan bukan Islam, antara orang Melayu/Bumiputera dan bukan Bumiputera. Sebagai contoh undang-undang keluarga Islam yang berlainan bagi orang Islam dan bukan Islam, larangan pemilikan tanah tertentu kepada golongan tertentu seperti bukan anak Sabah tidak boleh memiliki tanah tertentu di Sabah. Hal ini juga berlaku di beberapa negeri lain seperti Kelantan Sarawak. Malah tanah adat di Negeri Sembilan hanya boleh dimiliki oleh wanita tempatan anak negeri sahaja.

Kesemua hak tersebut tidak dinyatakan tempohnya. Ia dilaksana selagi tiada pindaan kepada undang-undang. Oleh itu syarat di dalam Artikel 1(4) ICERD tersebut tidak boleh dinikmati oleh Malaysia. Kesemuanya perlu dipinda jika ICERD diratifikasi.

Oleh itu saya cabar bagi golongan yang masih mendakwa ICERD membenarkan tindakan afirmatif seperti di atas agar dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa ICERD seramai 18 orang itu bahawa Malaysia masih boleh melaksanakan tindakan afirmatif di atas meskipun meratifikasi ICERD. Baru tuntas kedudukannya jika ada jaminan tersebut. Bukan hanya mendakwa kosong sahaja.

Beranikah anda mendapatkan jaminan tersebut?

Katakan tidak kepada ICERD! ICERD memusnahkan jatidiri negara, ICERD menodai kerangka Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat sekian lama, ICERD meminggirkan norma lazim negara yang sudah sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tanpa ICERDpun tiada diskriminasi kaum di Malaysia, tanpa ICERDpun orang bukan Melayu diberi hak membina kekayaan dan mengumpul harta, tanpa ICERDpun rakyat berbilang agama bebas menganut dan mengamalkan agama mereka, tanpa ICERDpun orang bukan Melayu bersama-sama orang Melayu boleh berkongsi kuasa memerintah Malaysia.

Dato' Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
1 Disember 2018
Seri Kembangan

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock