Friday, February 24, 2017

Limpahan Kumbahan Di Gerai Arked Makanan Tanah Rata

(Ini adalah salinan aduan melalui email kepada Majis Daerah Cameron)

Assalamualaikum,Yang diHormati Dato YDP,

Aduan saya berkait dengan perkara di atas amat memerlukan perhatian segera oleh pihak YDP Dato.

Saya sebentar tadi telah merancang untuk makan malam di Gerai gerai Makan di Arked Makanan di Tanah Rata.


Kami sampai dan perkara pertama yang kami alami adalah bau yang amat busuk. Bau tersebut bukan sahaja dapat dibau oleh kami tetapi semua pejalan kaki.

Apabila menghampiri Gerai Zainab Sam kami terperanjat kerana ada limpahan kumbahan dari sump dari arked makanan baru.

Limpahan air kumbahan di atas sump bersebelahan dengan gerai lama MDCH Zainab Sam amat kritikal kerana telah berlaku seminggu lamanya jika ditanya dengan pekerja gerai-gerai di sana.

Kami terpaksa meminta maaf kerana tidak dapat menjamu selera di sana kerana tidak tahan bau busuk najis.


Patutlah gerai di sana kosong tanpa pelanggan kerana bau busuk terlalu kuat manakala  pekerja gerai juga menutup hidung masing-masing.

Turut beredar adalah sekumpulan peserta berbasikal dalam sekitar 10 orang yang pada asalnya telah meletak basikal di sebelah letak kereta gerai Zainab Sam. 

Mereka adalah kumpulan berbasikal dari Negeri Kelantan yang akan turut berkayuh santai awal pagi esok bersama kayuhan santai LTDL.

Bau busuk malah melihat sendiri limpahan kumbahan tersebut memang meloyakan mereka.



Dato YDP,
Saya merayu pihak MDCH untuk mengambil langkah segera menyelesaikan masalah ini. Antara justifikasi yang mungkin membuktikan ianya sangat memerlukan tindakan segera saya kongsikan dari pendapat saya yang kecil ini:
1. Lokasi limpahan adalah kawasan makan utama di Tanah Rata. Pakej bau busuk najis bukanlah menu pembuka selera.
2. Lokasi limpahan adalah laluan jalan kaki utama di bandar Tanah Rata dan limpahan najis dan bau busuk bukan lanskap pemandangan impian pelancong ke Tanah Rata.
3. Bau busuk najis menyebabkan peniaga kerugian kerana ramai pelanggan tidak berselera dan selesa untuk berada di sana. Saya serta keluarga sendiri adalah antaranya.
4. Esok kan acara antarbangsa Le Tour De Langkawi 2017 yang hanya berjarakan 150 meter dati lokasi penamat dan laluan letak kereta dikosongkan sehingga ke lokasi limpahan. Adakah ini imej terbaik yang kita perlu hidangkan kepada semua tetamu kita?
5. Tahun Melawat Pahang sedang berlangsung dan jangan ada yang katakan ini adalah sebahagian acara sambutan tahun tersebut.

Saya harap dengan aduan ini ada tindakan sewajarnya diambil oleh pihak MDCH. 

Kalau dibenarkan untuk saya mencadangkan tindakan yang wajar diambil , izinkan saya berkongsikan cadangan dibawah:
1. Mohon Dato YDP singgah sebentar pagi esok ke lokasi sebelum ke pentas utama penamat LTDL 2017. 
2. Mohon usaha berkaitan menutup limpahan tersebut dilakukan segera sebelum upacara antarabangsa berbasikal ini berlangsung.
3. Satu langkah panjang mengenai sop yang berkaitan kawasan tumpuan disegerakan tanpa perlu mengambil tempih yang lama kerana pegerai mengatakan sudah membuat aduan di MDCH dan percaya sudah ada gerakan kerja berkaitan tetapi tempohnya tetlalu lama untuk diselesaikan.

Saya menutup aduan saya ini dengan jutaan harapan ada tindakan segera dilakukan. 

Mohon ada sedikit rasa malu di pihak MDCH kerana imej dan suasana begini dipersembahkan kepada masyarakat tempatan apatah lagi pelancong luar baik yang tempatan ataupun luar negeri.

Saya sebentar tadi amat malu kepada kumpulan berbasikal dari kelantan yang singgah untuk makan malam tetapi terpaksa beralih ke kawasan lain.

Saya malu .... 

Mohon Dato YDP melakukan sesuatu kerana aduan ini lebih kepada tuntutan kesejahteraan penduduk dan persekitaran tempatan yang selesa bukan berniat selain dari dinyatakan.

Nota: aduan ini kongsikan dalam blog saya. 

Sent from my S7edge smartphone

Thursday, February 23, 2017

Susun Atur Lokasi Penamat Peringkat keempat Le Tour De Langkawi 2017 Cameron Highlands

Majlis Daerah Cameron Highlands melalui facebook rasmi mereka telah berkongsikan maklumat susun atur lokasi penamat bersama dengan atucara program.

Jika anda ingin menghadiri aksi penamat ini, saya percaya poster yang dikongsikan oleh MDCH ini amat membantu anda untuk merancang perjalanan anda.

Juga pastikan anda tidak meletakan kereta anda dikawasan yang bakal digunakan ini.

Moh kita meriahkan suasana di LTDL 2017 di Cameron Highlands ini....

Sent from my S7edge smartphone

Wednesday, February 22, 2017

Notis Penutupan Jalan dan kawasan Letak Kereta sempena Le Tour De Langkawi 2017

Pihak Polis Cameron Highlands telah mengeluarkan Notis Penutupan Jalan dan Kawasan Letak Kereta bagi memberi laluan kepada Peringkat keempat Le tour De Langkawi 2017 yang akan berlangsung pada 25 Februari 2017, Sabtu melibatkan lokasi penamat di PekanTanah Rata.


Pastikan anda merancang perjalanan anda sepenuhnya.

Tips perjalanan anda:
1. Elakan laluan Tapah dan juga Pos Betau. Tapi jika perlu juga guna laluan tersebut tiba awal di laluan yang akan ditutup sebelum waktu penutupannya untuk mengelakan anda terperangkap di tepi jalan sahaja. 

Apabila laluan ditutup biasanya akan melibatkan tempoh sejam sebelum konvoi calvarade yang akan berada sejam di hadapan pelumba terlebih dahulu. Jalan biasanya akan terus ditutup sehinggalah semua pelumba telah melalui kawasan tersebut yang mana akan mengambil masa sejam atau dua.

Namun harus diingat, berdasarkan pengalaman tahun lepas memandangkan lokasi penamat di atas laluan utama 59 di Tanah Rata, jalan tersebut akan terus ditutup selepas semua pelumba sampai ke garisan penamat yang dijangkakan sekitar pukul 1.30 tengahari diikuti majlis penyampaian hadiah. 

Malah selepas itu krew akan membuka semula pentas dan segala peralatan yang telah dipasang dan ianya masih akan ditutup sehingga selesai

Tahun lepas rakan saya yang telah diarahkan berhenti sekitar Bharat Tea dan hanya dibenarkan melalui kawasan laluan sekitar pukul 2 petang tetapi kesesakan berlaku sehingga pukul 5.00 petang untuk sampai ke Tanah Rata. 

Jadi saya nasihatkan rancang perjalanan anda jika menggunakan laluan 59 Jalan Tapah-Cameron Highlands ini terutamnya melibatkan waktu perjalanan anda supaya tidak bertembung dengan acara LTDL ini. 

2. Jangan engkar arahan mengosongkan kawasan letak kereta mengikut notis ini. Kereta anda akan dialihkan menggunakan trak penunda. 

Nak ambil saya tak pasti samada di kawasan MDCH atau Polis. Tapi memang akan renyah untuk urusan penembusan.

Tahun lepas ada beberapa buah kereta dialihkan oleh trak penunda kerana puas dicari pemiliknya namun masih tidak muncul. Antaranya sebuah kancil yang diletakkan di sebelah kedai makan Orkid yang terpaksa ditunda walaupun  kancil itu milik orang Cameron. 

Mungkin pemiliknya seronok nak melihat pelumbaaan terletak di kawasan larangan sampai terlupa kawasan larangan meletak kereta ditempat tersebut.

Cadangan saya:
1. Gunakan laluan Simpang Pulai ke Cameron Highland kerana tiada gangguan dan penutupan jalan sepanjang Brinchang ke Kampung Raja.

2. Habiskan masa anda sepanjang hari Sabtu tersebut dengan melawat kawasan perlancongan di sekitar Brinchang dan elakKan ke Tanah Rata sebelum pukul 5 petang. Pergi sahaja ke Pasar Malam petang Sabtu tersebut dan malam boleh la ke Tanah Rata tanpa gangguan. 

3. Senang-senang anda jadi sahaja penonton di lokasi penamat di Pekan Tanah Rata. Amalkan perlancongan sukan. Anda boleh memeriahkan suasana di sana dan merasai kehangatan LTDL 2017.

4. Kalau boleh... elakkan memilih hotel di Pekan Tanah Rata sebab kawasan letak kereta akan dikosongkan. Ayat ini mesti ada pemilik hotel yang akan marah saya... saya cadangkan aje. Jangan kecam saya ya. Atau tanya pemilik hotel di mana kawasan meletak kereta yang sesuai semasa acara berlangsung. 

Harap membantu ya... saya ikut pengalaman tahun lepas sahaja...

Errr dengar dengar ada kayuhan ;Dah Letih Tua De Langkawi" dari rider tempatan awal pagi..saje bagi panas dan meriah sikit suasana di lokasi penamat macam acara tahun lepas yang kami namakan Kayuhan Perasan De Langkawi 2016.

Sent from my S7edge smartphone

Tuesday, February 21, 2017

Perincian Operasi Mencari dan Menyelamat Pendaki Wanita hilang di Gunung Irau

Saya perolehi laporan Operasi Mencari dan Menyelamat mangsa hilang ketila mendaki Gunung Brinchang, Norfatin Sulaiman, 29 tahun sejak hari sabtu yang lalu. 

Mangsa ditemui selamat dan berjaya dibawa keluar malam tadi sekitar 10.40 malam sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata.

Nak tahu perincian operasi tersebut, saya petik dari Facebook Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands.
Sumber perincian operasi dan gambar : Facbeook Bomba Dan Penyelamat Cameron Highlands


OPERASI SARS HARI PERTAMA

Assalamualaikum / selamat Sejahtera 
Datò / Tuan / Encik

Balai Bomba Dan Penyelamat Cameron Highlands 

Operasi : Sesat di Dalam hutan
Alamat : Gunung Irau

Pada 18/02/2107

Terima Panggilan.      : 23:20 
Mula Ops.                  : 01:31
Ops : Di tangguhkan : 02:46

Panggilan: Talian Balai dr Pihak PDRM 

Kekuatan anggota:
PBK II Muhamad 
3 x Anggota (PB)

Lain2 agensi
PDRM x 4

Kronologi operasi:

Terima maklumat seorang mangsa sesat di Gunung Irau semasa meneruni Gunung Irau dari puncak . Setelah sampai di CP pisang ahli kumpulan mendapati seorang rakan mangsa tiada tetapi menjangkan mangsa kemungkinan berada di hadapan, tetapi sampi di mossy forenst ( Base ) di dapati mangsa tiada. Mangsa kemungkinan hilang di antara laluan mini ke CP pisang. 


Kerja2 mencari dan menyelamat bertumpu kepada laluan mini ke CP Pisang. Mangsa tidak berjaya di temui.ops irau di tangguhkan.


OPERASI SARS HARI KEDUA

Pada 19/02/2017

SAR 1
Mula ops: 09:00
Tamat ops : 17:00

Kekuatan anggota;
Di ketuai PBK Il Azmi
4 x Anggota 

Lain agensi:
PDRM 
Insp Moktar
4 x Anggota 

SAR 2
Mula ops : 17:30
Tamat ops : 21:30

Kekuatan anggota:
PPgB Haziq Hazmi
2x Anggota 

Lain agensi:
Insp Rizzest
PDRM x 2
1x pejabat hutan
2x org awam

Kronologi:
Kerja- kerja mencari dan menyelamat di teruskan . Kawasan di beri tumpuan sepanjang laluan mini irau dan CP pisang , jarak pencarian di luaskan sehingga 100 Meter dari laluan asal Gunung irau . Mangsa dapt di hubungi oleh rakan mangsa pada Jam 0900 mengatakan bahawa berada di air terjun. 

Kajian laluan dan peta di buat untuk mengetahui kawasan mangsa.ops tamat 



Jam 17:30 satu team SAR 2 di tubuhkan di ketua PPgB Haziq hazmi pergi ke kawasan kemungkinan mangsa sesat dan membuat kerja mencari dan menyelamat sehingga 200 meter dr trail asal . Terdapat kesan tapak kaki mangsa dan bekas pautan mangsa pada dahan. Ops terpaksa di tangguhkan kerana faktor cuaca dan keselamatan.


OPERASI SARS HARI KETIGA
Pada 20/02/2017

Mula ops : 0830
Tamat ops : 23:20

Kekuatan anggota:

SAR
PPgB Haziq Hazmi
7x anggota 

PKOB
PgB Shahrul Nizam (KZ 3)
PPgB Nizar
PBK II shuami 
2x anggota 

Lain2 agensi
PDRM 
APM
Jabatan hutan
Radio amatur
Mossa
Petronas
Org awam
Jumlah : 90 

Kronologi:
Kerja2 mencari dan menyelamat di bahagi ke pada 2 bahagian satu di kawasan yg ada kesan tapak mangsa dan satu lagi tempat mengunjur sebelah kanan di CP pisang dari base (mossy forest ) . 

PPgB Haziq hazmi mengetuai mencari dan menyelamat kawasan di percayai kesan tapak mangsa dan menakala kawasan kedua di ketuai team mossa .

Jam 14:05 PPgB Haziq Hazmi bersama PB Iqbal , L/KPL Ag. Ismail , En.Khairul , En.Saiful. Team pertama menjumpai mangsa yang berada di kawasan air terjun . 

Mengambil mangsa dan membawa mangsa keluar dari kawasan air terjun dan seterusnya berjaya di bawa keluar pada jam 21:40 .

Ops Tamat pada 23:20

Poncho ditemui

pemeriksaan poncho dilakukan 







Operasi tamat.
********************************************** 
Tambahan cerita : Keseluruhan operasi tamat (Standown)  pada 6.40 pagi 21 Februari 2017, selepas semua pasukan mencari dan menyelamat melibatkan sukarelawan  telah kembali ke pos operasi.

Bayangkan mereka melakukan pendakian kembali ke pos operasi sepanjang malam selepas mendapat laporan mangsa telah ditemui selamat.

Semuanya wira ..... hero..... terima kasih.

Update 21 Feb 2017 dari Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands. Mereka telah kongsikan laluan yang menunjukan di mana mangsa ini telah sesat.

Jauhnya nak menuruni gaung ini sehinggakan mengambil masa 4 jam menuruni dan mendaki tentunya lebih lama.

Sumber gambar: Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands
Catatan awal : Pendaki Wanita Sesat di Gunung Irau 
Catatan awal : Pendaki Wanita sesat ditemui selamat
Catatan awal : Laporan Operasi SARS oleh Polis Cameron Highlands
Catatan awal : Laporan Operasi SARS oleh Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands

Sent from my S7edge smartphone

Monday, February 20, 2017

OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT MANGSA HILANG DI GUNUNG IRAU


Saya petik dan kongsi sepenuhnya kemaskini dari facebook Polis Cameron Highlands mengenai Operasi Mencari dan Menyelamat Norfatin Sulaiman yang telah hilang dan sesat ketika mendaki Gunung Irau selama 44 jam. 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dalam operasi ini

Catatan mengenai Operasi SAR ini telah saya kongsikan dalam beberapa catatan awal.


* sumber berita dan gambar : facebook Polis Daerah Cameron Highlands.


Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Gunung Irau Cameron Highlands.

Mangsa bernama Nurfatin bt Sulaiman telah ditemui selamat di kawasan sungai kaki gunung Irau jam lebih kurang 2.05 ptg 20/2/2017.

Operasi diketuai oleh YDH DSP Hasadid bin A.Hamid Ketua Polis Daerah Cameron bersama team SAR (Seacrh and rescue)Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan sukarelawan Daerah Cameron Highlands.











Sent from my S7edge smartphone

I LOVE CAMERON HIGHLANDS 2

Kelmarin,saya ada kongsikan lokasi 
I LOVE CAMERON HIGHLANDS 
di Tanah Rata ke Brinchang yang menjadi tumpuan untuk berhenti dan bergambar.

Catatan lokasi yang pertama di SINI



Saya ada sebutkan ada lokasi kedua yang turut dipasangkan landmark statement ini iaitu di Habu, Ringlet.
Saya kongsikan gambaran di sana. Namun saya risikonya ia terletak di tepi Jalan Utama Tanah Rata dan Ringlet juga di selekoh.

Nak ke sana ? Jika anda dari arah Ringlet, selepas Padang Habu anda akan mula melalui jalan berselekoh untuk ke Tanah Rata dan lokasinya di selekoh pertama selepas Stesen Hidro Habu sebelah kiri.


Untuk yang datang dari arah Tanah Rata anda perlu turun ke Habu dahulu sejauh 7 km.  

Malah lebih berisiko untuk bergambar kerana ruang meletak kereta adalah di seberang jalan dan perlu melintas jalan untuk ke tapak ini.

Saya kongsikan gambar yang selebihnya.







Pendaki Wanita ke Gunung Irau tersesat ditemui selamat

Alhamdulillah sudah ditemui pendaki wanita yang telah tersesat selama 44 jam semasa menuruni Gunung Irau. Catatan kehilangan di sini.


Ketua Polis Daerah Cameron Highlans, DSP Hasadid A Hamid mengesahkan pasukan penyelamat telah berjaya menemui Norfatin Sulaiman dalam keadan selamat tetapi berkeadan lemah di salah satu anak sungai yang terdapat di situ.

Usaha membawa keluar mangsa sedang dijalankan dengan membuat pendakian semula ke kaki Gunung Irau.

Tahniah kepada abang penyelemat semua. Anda memang hebat!!!!!
Nani abam-abam kongsikan pengalaman SARS yaa.

Catatan mengenai Operasi SAR ini telah saya kongsikan dalam beberapa catatan awal.


Sent from my S7edge smartphone

Cameron Riders @ Kayuhan Ceria Wilayah Persekutuan

Sempena Kayuhan Ceria Wilayah Persekutuan, Cameron Riders telah turut sama menghantar wakil kami sebagai sokongan.


Walaupun hanya 3 orang rider dari sini, ianya diharapkan dapat memeriahkan wilayah kayuhan ceria yang dianjurkan sempena sambutan hari wilayah.

Kayuham santai ini melibatkan jarak sejauh 30 kilometer melalui bandaraya Kuala Lumpur.


Selamat hari wilayah kami ucapkan. 

Terima kasih kepada wakil kami Zaihurin, Marzuki dan juga Ustaz Fadhil yang sanggup menempuh perjalanan sejauh 450 km pergi balik untuk menzahirkan sokongan ini. 

Sent from my S7edge smartphone

Sunday, February 19, 2017

Pendaki wanita sesat di Gunung Irau

Sedang berlaku sejak semalam adalah kes kehilangan atau pendaki sesat di trek pendakian Gunung Irau, Cameron Highlands sejak 5.30 petang Sabtu 17 Februari 2017.
Pendaki wanita bernama Norfatin Sulaiman berusia 29 tahun mengikuti kumpulan pendakinya seramai 47 pendaki yang dibahagikan kepada 5 kumpulan. 

Ketika mereka turun dari puncak Gunung Irau, kehilangan Fatin hanya disedari selepas kiraan di Check Point Pisang. 

Pihak Bomba dan Penyelamat mendapat laporan orang hilang pada 11.40 malam Sabtu dan gerakan mencari dan menyelamat digerakan. 

Sehingga hari ini, operasi menyelamat masih dijalankan dan difahamkan turut mendapat bantuan pendaki tempatan.  

Saya mendoakan semoga operasi mencari dan menyelamat ini berjalan lancar dan Alhmdulillah cuaca agak membantu ketika ini. 

Saya akan cuba berkongsikan maklumat yang saya perolehi dari rakan rakan yang menyertai operasi namun tidaklah terlalu terperinci kerana bimbang jika tersalah info. 

Setakat semalam ada dua pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai pasukan Bomba dan Penyelamat Polis, APM dan pendaki tempatan telah memasuki kawasan pencarian dan sumber mengatakan kesan jejak kasut ditemui di sekitar kawasan air terjun. 

Difahamkan operasi akan diteruskan sekitar kawasan ini dan besarlah harapan kita jika pendaki yang hilang ini dapat ditemui kerana sudah memasuki 30 jam kehilangannya.

Semoga dipermudahkan .. jom sama-sama berdoa..

Gunung Irau

Kisah pendaki sesat di Gunung Irau memang selalu terjadi kerana gunung ini menjadi pilihan utama untuk melakukan pendakian di sini. Malah kisah pendaki yang mengalami kecederaan ketika pendakian juga seringkali terjadi sehingga memerlukan operasi menyelamat dilakukan.

Sambutan dan tarikan utama pendaki untuk mendaki Gunung Irau ini disebabkan laluan yang berlumut dan mempunyai sudut pandang hutan lumut yang sangat cantik biarpun puncaknya tidak menjanjikan pemandangan yang menarik. 

Gunung Irau terletak di antara dua Negeri iaitu sempadan Perak dan Pahang malah sepanjang laluan pendakian adalah melalui kawasan batu sempadan negeri di mana ada ketikanya anda akan berada dalam Negeri Pahang dan ada ketikanya di dalam Negeri Perak.Terdapat kawasan transit perkhemahan sebelum sampai ke Puncak Gunung Irau yang dinamakan sebagai Mini Irau.

Tambahan lagi ketinggian Gunung Irau iaitu sekitar 2,110 meter dari aras laut namun pendakiannya bermula pada paras ketinggian 1,950 meter sahaja kerana terdapat laluan jalanraya ke pintu masuknya iaitu Mossy Forest di Cameron Highlands memudahkan pendakian berbanding gunung lain yang memerlukan pendakian dimulakan pada paras ketinggian yang lebih rendah. 

Jarak pendakian juga sekitar 2 kilometer menjadikan ianya popular dan bersesuaian untuk kumpulan pendaki yang masih baharu menyebabkan adalakalanya bagaikan pasar malam di puncaknya.

Pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang melalui Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands telah menghadkan jumlah pendaki iaitu hanya 100 pendaki sahaja dibenarkan melakukan pendakian setiap hari dengan keperluan memiliki permit memasuki kawasan hutan simpan sebagai langkah pemuliharan keaslian hutan lumut sekitarnya dan juga soal berkaitan keselamatan.

Catatan Gunung Irau kembali disakiti
Catatan mengenai Operasi SAR ini telah saya kongsikan dalam beberapa catatan awal.



Sent from my S7edge smartphone

I love Cameron Highlands

#I_LOVE_CAMERON_HIGHLANDS

Antara tarikan yang baharu adalah landmark statement "I Love Cameron Highlands" di Tanah Rata. 

Dah sebulan lebih dah dipasang sebelum Tahun Baru Cina dan saban minggu ini menjadi tarikan untuk bergambar oleh pelancong yang hadir.


Kami di Cameron dah lama tunggu akan  landmark statement sebegini sebab mana mana pergi ada dah dibuat dan dipasang disetiap daerah  oleh pihak majis tempatan di seluruh malaysia. Tak apa sini lambat sikit sebab kena naik gunung. 

Akhirnya berdiri tegak jugak landmark statement sebegini di daerah perlancongan ini.

Cuma lokasinya agak sedikit merbahaya kerana  di selekoh jalan utama di Tanah Rata ke Brinchang. Tak ape anda kena berhati hati. Pastikan anda meletak kenderaan dengan baik dan tidak memasuki jalan raya.

Yang paling utama, pastikan anak-anak anda tidak bermain di jalan raya. Utamakan keselamatan anda terlebih dahulu.


Kita harapkan akan ada lebih banyak tarikan ringkas sebegini di sekitar kawasan yang sesuai di Cameron  supaya pelancong dapat bergambar dan berkongsikan pengalaman mereka ketika di sini tambahan lagi inikan tahun melawat Pahang.

Ada dua landmark statement sebegini iaitu satu lagi Habu juga di selekoh jalan utama dan ada kerja menambah lanskap sebelahnya. Untuk mengetahui lokasi dan bagaimana rupa bentuk I love Cameron Highlands di Habu ini boleh dilihat di SINI


 Kita harapkan selepas ini ada pula entrance statement di setiap Pekan pekan di sini supaya pekan seperti Tanah Rata dan Brinchang menjadi tumpuan bergambar.

Syabas MD Cameron ... cantik bunga yang digantikan dan lebih bercirikan suasana tanah tinggi...  baru terasa perbezaan lanskap kalau sekadar bunga biasa yg sudah sering dijadikan hiasan di bawah sana.


Kepada pelancong selamat bergambar.. di tanah rata dicerun Majlis Daerah Cameron Highlands juga sudah dipasang landmark statrment Cameron Highlands cuma lokasinya agak curam dan masih berumput sahaja tanpa lanskap bunga-bungaan... bolehlah untuk bergambar jugak kan...  berhati-hati ya..

Adakah anda "Love Cameron"??? Saya ya...

Sent from my S7edge smartphone