Tuesday, June 30, 2015

Menu Kambing Golek di De Bamboo Steamboat and Grill Taman Sedia, Tanah Rata

Semakin menjengah separuh perjalanan ke bulan Ramadan, rakan saya di De Bamboo Steamboat and Grill di Taman Sedia menambah menu istimewanya iaitu Kambing Golek untuk pakej berbuka puasa.

Katanya sangat mendapat sambutan hangat dengan hanya RM 13 seorang.


Namun menu kambing golek ini hanya disediakan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu sahaja manakala untuk hari lain adalah menu berbuka bagi Pakej RM 10 seorang.


Hubungi mereka melalui laman Facebook untuk maklumat lanjut dan tempahan.
Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Pasar Ramadhan di Brinchang, Cameron Highlands

Pasar Ramadhan di Brinchang lebih kecil saiznya berbanding di Tanah Rata sekitar 20 gerai sahaja dan bukan semuanya dibuka ketika saya ke sana petang tadi buat kali pertama.

Apa yang menarik? Rasanya selain air tebu kegemaran saya tiada yang istimewa sangat kecuali gerai kuih akok panas.

Biarpun saiz bazar Ramadhan ini kecil sahaja, namun bagi kami boleh untuk dikunjungi kerana hanya terdapat dua Bazar Ramadhan sahaja di Cameron Highlands iaitu Tanah Rata dan Brinchang dibuka sepanjang bulan ini..



Selamat mencuba memilih menu berbuka di sini. 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Racun haram digunakan di Cameron Highlands?...

Benarkah sayur-sayuran di Cameron Highlands tidak selamat? 

Pekebun menggunakan racun sayur yang tidak dibenarkan atau haram?

Isu ini ditimbulkan oleh wartawan Utusan Malaysia yang kembali ke Cameron Highlands dan memaparkan kembali isu keselamatan makanan dan alam sekitar dua tiga hari ini.

Jadi apa yang halal? 

Saya kongsikan berdasarkan pengetahuan cetek saya ini ya. Kalau salah tolong tegur..

Penggunaan Racun Perosak sebenarnya antara kompenan Pengurusan Serangga Perosak (IPM) yang selamat dan disyorkan namun seharusnya menjadi pilihan yang terakhir dalam IPM.

Saya tidak akan mengulas panjang apakah itu IPM cuma saya akan menumpukan apakah kategori racun perosak yang halal atau dibenarkan.


Rujukan pertama yang harus dilihat adalah Racun Yang Berdaftar sahaja yang boleh digunakan di Malaysia iaitu mesti mendapat kelulusan daripada Lembaga Racun Mahkluk Perosak yang akan memberi kebenaran untuk racun ini didaftarkan dan digunakan setelah melalui proses yang amat panjang.

Keduanya adalah setelah hanya racun perosak yang didaftarkan ini hanya racun perosak yang dibenarkan untuk tanaman tertentu atau spesifik sahaja boleh digunakan untuk tanaman tersebut.


Contohnya jika racun tersebut seperti bahan utama racun jenis Zineb dan Ziram dibenarkan untuk tanaman tomato, maka tomato boleh menggunakannya sebaliknya jika tidak dibenarkan maka ianya tidak berdaftar untuk tanaman tersebut dan tidak boleh digunakan. 

Rujukan mudah untuk mengetahui apakah jenis bahan ramuan yang dibenarkan adalah berdasarkan AKTA MAKANAN 1985 melalui Jadual 16 yang secara tepat memberikan senarai bahan ramuan yang dibenarkan untuk digunakan dalam setiap sayuran.  

Keduanya ialah garis panduan untuk penggunaan racun adalah menggunakan Garis Panduan Antarabangsa iaitu CODEX yang juga mempunyai senarai bahan ramuan racun yang boleh digunakan untuk setiap sayur-sayuran dan tanaman. 


Mengapa perlu merujuk kepada CODEX

Mudah kerana untuk rujukan antarbangsa, senarai ramuan racun adalah berbeza dengan satu negara yang lain berdasarkan peruntukan undang-undang dan standard yang digunakan. 

Maka CODEX adalah garis panduan yang diiktiraf untuk digunakan. Bayangkan dalam Jadual 16 Akta Makanan 1985 menunjukan senarai racun yang dibenarkan pada tahun 1985 tanpa sebarang pindaan dan ini pastinya sedikit ketinggalan. 

Saya tidak akana mengulas panjang mengenai CODEX kerana agak panjang dan rumit dan mungkin dalam catatan yang berlainan khas mengenaiu CODEX.

Untuk memberi ruang dan peluang kepada pengusaha dan pekebun maka garis panduan CODEX digunakan sebagai rujukan panduan di mana jika Tiada senarai racun di Jadual 16 tetapi ada di dalam senarai CODEX maka racun tersebut dibenarkan pakai.  

Akhir sekali, jika kedua-duanya tiada tetapi pengusaha masih mahu menggunakan ramuan racun tersebut maka syarat pematuhan Paras sisa Racun Maksima atau Maximum Residue Limit (MRL) 0.01 mg/kg digunapakai.


Anda paham ? Tak paham tak apalah .. 

Soalan sebelum penutup catatan ini;
Apakah racun yang menggunakan racun yang telah berdaftar dan dibenarkan dalam Akta Makanan 1985 atau CODEX itu selamat?

Rasanya apa jawapan ?

TIDAK semestinya selamat kerana ada pematuhan yang perlu diambilkira iaitu KADAR SISA RACUN MAKSIMA (MRL) yang perlu dilepasi syaratnya. 

Maksudnya ... contoh jika Ramuan racun Ziram dibenarkan oleh Jadual 16 Akta Makanan 1985 ianya masih perlu mematuhi MRL tidak melebihi daripada 5.0 mg/kg sample yang diambil. 

Ianya boleh diketahui dengan ujian makmal atau pengusaha menggunakan racun pada kadar yang dibenarkan dan mematuhi Tempoh Tuanian Selepas meracun atau Post Harvest Interval (PHI) yang ditetapkan.  

Lain kali saya cerita...

Untuk mengesahkan samada pekebun Cameron Highlands ini ada menggunakan racun yang haram, jika mereka tidak menepati ciri-ciri di atas iaitu racun tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Perosak, tidak menggunakan racun yang disyorkan untuk tanaman tersebut , tidak mengikut cadangan penggunaan  dan tidak mematuhi paras sisa racun yang maksima, maka sayuran tersebut tidak selamat untuk dimakan.

Insyallah .. sayur yang dari kebun saya selamat dimakan kerana kami mematuhi keperluan di atas sepanjang masa. 

"Makan Sihat , Makan Lushious" 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Kebun haram kembali beroperasi ....

Kisah ini saya kongsikan kembali:

KUALA LUMPUR 3 Mac - Hampir 15 peratus daripada kawasan seluas kira-kira 10,000 hektar yang di-ceroboh untuk pertanian haram di Cameron Highlands telah dibersihkan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor berkata, operasi pembersihan yang dijalankan sejak akhir tahun lalu itu melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pahang.

“Setakat ini, kira-kira 10 hingga 15 peratus ladang-ladang haram di Cameron Highlands telah kita bersihkan dan bagi kawasan lain, kita dalam usaha untuk membersihkannya,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Forum Media Kha-zanah Alam 2015 di sini hari ini.

Dan Kisah dibawah ini saya kongsikan... fresh dari oven ... apa yang terjadi ... kembali terjadi dan akan terus terjadi sebabnya ... malas nak cakap dah .. 

Ibaratnya ... menuang air ke daun keladi... 




Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Pencerobohan Tanah Terus Berlaku.......

Apakah kesudahan cerita ini. 

Agak panjang dan rasanya tiada berpenamat. Apa nak buat.

Kalau dibangkitkan kembali pun dah ibarat siaran ulangan ASTRO yang mana kisahnya diulang siar beberapakali dan senyap seketika sebelum disiarkan kembali. 






Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Penguatkuasa Membantu Pendatang asing meloloskan diri?!!!

Bukan pertanyaan saya. 

Tetapi ditanya oleh wartawan UTUSAN MALAYSIA hari ini.

Betul ke berlaku? Untuk rekod, sejak 6 bulan yang lalu sebaik sahaja Ops Gading dijalankan kesemua pintu masuk dan keluar dari Daerah Cameron Highlands telah dikawal dengan pos kawalan sementara di bawah Majlis Keselamatan Negara.


Malah Setiausahanya turut mengatakan tindakan ini akan diteruskan sehingga semua pendatang asing ditahan dan pengusaha kebun haram didakwa serta kebun-kebun haram dimusnahkan. 

Itu janji pada bulan November dan December tahun lepas dan kami merasai perubahan yang dimaksudkan dengan bilangan pendatang asing yang bebas bergerak dan menguasai kawasan tertentu mulai kendur dan saya sendiri pernah mengatakan dalam catatan terdahulu. 


Namun, mulai dua tiga minggu yang lepas selepas kes pencerobohan dan pemerdangan manusia di Wang Kelian yang menemui seratus lebih mayat mangsa pemerdagangan orang terutamanya Rohingya, suasana kawalan telah sedikit kendur bilamana PASUKAN GERAKAN AM mengundurkan diri dari operasi di sini bagi memberikan tumpuan di kawasan sempadan. 

Tetapi lama sebelum itu lagi kami merasakan tiada perubahan kerana kelibat warga asing bebas bergerak dan kembali menguasai kawasan di Cameron Highlands biarpun ketika itu MKN masih menjalankan operasi bersama agensi lain terutamanya pihak Imigresen.


Pendatang asing kelihatan tidak takut langsung sejak dua tiga bulan ini? Kenapa ya ?

Saya nak berkongsikan mengenai maksud kerakusan penguatkuasaan semasa operasi gading.

Semasa awal operasi, kisah yang mengatakan pihak yang terlibat telah mengambil kesempatan dengan membawa keluar barangan dan peralatan ladang di kawasan operasi seperti pam, enjin diesel malah barangan peribadi pekerja termasuklah wang tetapi tidak diumumkan sebagai barangan rampasan atau mencuri.

Bukan satu dua kisah yang berdendangan di sekitar Cameron Highlands kerana setiap kali operasi dikatakan akan berlaku sebegitu. 


Malangnya tiada yang membuat laporan polis kerana takut diambil tindakan tambahan lagi status kebun mereka yang tidak sah dan nanti seperti telah mengakui kawasan tersebut adalah milik mereka. 

Namun pada bulan yang lalu saya mengalaminya sendiri. 

Satu operasi pemeriksaan pekerja asing dilakukan di premis ladang jagaan saya ketika pukul 4.30 pagi. 

Saya sangat-sangat mengalu-alukan pemeriksaan tersebut kerana pihak berkuasa perlu diberikan peluang dan ruang melakukan tugasan mereka. 

Namun apa yang berlaku, ketika pemeriksan tersebut terdapat segelintir anggota operasi yang mengambil wang dan peralatan perbadi seperti telepon dan kamera yang menyebabkan kerugian sekitar MR 7600 dikalan 10 orang pekerja asing sah kami. 

Satu laporan Polis di buat di pagi hari Jumaat yang mulia. Sehingga kini, tiada tindakan penyelesaian diambil dan pekerja saya mengadukan kepada pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia di atas tindakan tersebut.

Bagi saya amat memalukan dengan sikap dan perangai pihak penguatkuasa yang diberikan tanggungjawab untuk melakukan amanah mereka tetapi melakukanya dengan sangat keji dan hina. 

Pekerja-pekerja ini adalah pekerja yang sah yang datang bekerja sejak dua tahun yang lalu dan membayar Levi untuk bekerja dan ditanggung Insuran Kesihatan. 

Malangnya, mereka dilayan seperti pekerja asing tanpa izin dan sikap tidak amanah penguatkuasa Malaysia ini menganiaya mereka. 

Khabar buruk ini segera disebarkan kepada keluarga di Indonesia dan kini pihak Kedutaan mereka mengambil tindakan susulan. 


Ini kisah benar dan saya tidak ada masalah untuk pihak yang berkenaan untuk mengemukan bukti kerana laporan Polis telah dibuat. 

Cuma kisah-kisah yang disebarkan oleh pekebun yang terlibat mengenai tindakan penguasa ini saya tidak dapat sahkan kerana tiada bukti .  

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Penguatkuasa di Cameron Highlands terima Wang pelindungan?!!!

Biar betul tuduhan di atas ini. 

Wartawan Utusan Malaysia hari ini membuat satu kenyataan mengatakan pendatang asing membayar wang perlindungan sebanyak RM 50 seorang. 

Sebagai orang awam di Cameron Highlands, kami sebenarnya tidak tahu tahap kebenaran kisah dan amalan yang celaka ini samada berlaku ataupun tidak. 


Cuma kalau nak dilihat dan dipertimbangan, kemungkinan benar sebab terlalu bebas pendatang asing ini melakukan aktiviti ekonomi di Cameron Highlands seperti pertanian, perniagaan dan juga pergerakan mereka termasuklah yang memandu kenderaan di laluan dan jalan utama.

Jadi syak wasangka akan mudah wujud ekoran mudahnya mereka ini bergerak bebas dan ada yang mengatakan menjadi warga asing lebih senang untuk berniaga berbanding orang tempatan yang akan diambil tindakan 'super pantas' malah nama mereka akan disenaraihitamkan untuk sebarang permohonan perniagaan di masa hadapan. 

Antara sembang-sembang nakal di kalangan rakan-rakan ketika bersarapan bulan lalu, mengatakan kes penguatkuasaan ke atas gerai 'Bangla' bersebelahan Arked Makanan di Kea Farm bulan lalu bukannya isu baharu kerana gerai itu telah lebih  dua tahun beroperasi tetapi baharu kini dimasukan ke dalam Facebook MDCH selepas operasi tersebut. 


Kata kawan-kawan lagi, kalau orang tempatan, pasang hari ini esok buka. Kata mereka bukannya kata saya.

Saya sekadar mendengarnya sahaja kerana itulah yang dikatakan mereka kerana mungkin pihak MDCH mempunyai rekod operasi ke atas gerai tersebut sejak dua tahun yang lalu tetapi pengusaha masih degil malah sangat degil dan terlalu degil dan tidak boleh diambil tindakan kerana mereka sangat degil sedegil-degilnya yang menjangkau keberanian pihak penguatkuasa.

Untuk di pasar malam, memang ketara mereka menguasi ruang niaga. Tidak pasti samada mereka ini berniaga atas kapasiti perniagaan sendiri ataupun bekerja dengan peniaga tempatan yang menggunakan mereka untuk menarik pelanggan yang juga pendatang asing khasnya bangladeshi yang membanjiri kawasan pasar malam terutamanya Pasar Malam di Kg Raja dan Kuala Terla serta di Ringlet. 


Yang membuka kedai pun statusnya sama di mana kekeliruan antara berniaga atau bekerja. Dan pastinya passport dan permit kerja mereka boleh diperiksa samada dibenarkan bekerja dalam sektor yang melibatakan peruncitan tersebut.

Istilahnya adalah 'ALI BABA' yakni mereka menyewa lesen peniaga tempatan untuk berniaga kerana setiap tapak niaga telah mempunyai pemilik lesen yang telah diberikan oleh pihak MDCH.

Ini kerja pihak yang berkuasa yang mahir dalam bidang masing-masing. MDCH untuk lesen perniagaan dan pihak Imigresen yang telah membuka Pejabat di Cameron Highlands sewajarnya lebih ke hadapan dalam isu ini. 

Mungkin boleh dibuka kaunter semakan setiap pasar malam dan dilakukan pemeriksaan berterusan. 

Dan untuk rekod dan makluman .. kesemua isu di atas BUKAN ISU BAHARU!!!!...

Nak taip lebih-lebih nanti dipandang sinis pulak di sini. Saya sekadar huraikan catatan Wartawan Utusan di atas sahaja.. 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Monday, June 29, 2015

Cerita lama, ancaman baharu ... isu alam sekitar Cameron Highlands

Ini bukan kisah baharu. Tetapi diperbaharui semula siarannya selepas 7 bulan kisah yang sama dibawakan kepada umum. 

Selepas pendedahan pertama, kita menyaksikan di sini pelbagai paluan gendang perang dipalu seawal pendedahan dengan pelbagai janji akan melakukan penguatkuasaan dan juga tindakan yang sangat tegas.

Tiada kompromi! Tiada lagi rundingan! Tiada lagi tolak ansur! 

Yang ada adalah TINDAKAN TEGAS  dan TINDAKAN TEGAS dan TINDAKAN TEGAS!!!!!

Bukan saya yang palu gendang perang dan bukan saya juga yang mengalunkan janji asyik di atas tetapi semua pihak yang terlibat ketika itu.

Mungkin jika ada masa saya akan buat catatan ringkas mengenai alunan janji asyik yang pernah dipuisikan oleh pihak yang terbabit. 

Saya tidak mahu cerita banyak sebab wartawan UTUSAN MALAYSIA telah membuat satu ulasan yang sangat tepat. Biarlah mereka berbicara melalui tinta mereka...


PADA 22 Jun lalu, penulis bersama dua lagi wartawan Utusan Malaysia sekali lagi melangkah ke Cameron Highlands. Matlamat kami bukanlah untuk mengungkit kisah lama atau cuba membangkitkan isu bagi menimbulkan kemarahan mana-mana pihak, tetapi meninjau perkembangan terkini tanah tinggi itu selepas tujuh bulan lalu kami berbuat demikian.

Ternyata bermula dari Ringlet yang bersempadan antara Perak dan Pahang hinggalah ke Blue Valley yang bersempadan dengan Kelantan, situasi Cameron Highlands semakin serius. Penerokaan tanah yang selama ini dibenarkan atas nama pertanian terus bermaharajalela. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kebun-kebun haram terus wujud biarpun pernah digempur.

Sudah pastilah pendedahan kali kedua berhubung keadaan di Cameron Highlands oleh Utusan Malaysia akan dianggap satu agenda atau dendam lama oleh pihak-pihak tertentu. Namun penulis tidak mahu membuang masa melayan kelompok seumpama itu kerana apa yang penting ialah bagaimana kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil langkah dan usaha bagi menamatkan isu tanah tinggi itu yang dianggap ‘cerita lama, ancaman baru’.

Sememangnya penerokaan ta­nah di Cameron Highlands adalah cerita lama, sungai-sungai di daerah itu tercemar juga dianggap cerita lama dan sudah pasti pembangunan yang semakin rancak dilakukan di situ tanpa kawalan juga cerita lama.

Tetapi ‘cerita-cerita lama’ itu kini akan mengundang ancaman baru kepada Cameron Highlands. Tanah tinggi yang terkenal dengan cuaca sejuk itu sedang berhadapan dengan ancaman baru iaitu bencana alam sekitar lebih besar.

Bencana itu bukanlah satu rekaan atau hendak menakutkan sesiapa tetapi ia adalah realiti. Pergilah ke Cameron Highlands sekarang, lihatlah sendiri bagaimana semakin banyak kawasan di daerah itu mula mengalami hakisan tanah. 

Keadaan menjadi bertambah parah apabila sungai-sungai di Cameron Highlands juga semakin tercemar termasuk mengandungi bahan-bahan bahaya yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

Begitu juga kewujudan kebun-kebun haram yang didakwa masih beroperasi di dalam hutan-hutan di tanah tinggi itu. Penulis akui memang apa yang dipaparkan adalah cerita lama tetapi ancaman yang menanti Cameron Highlands bukan cerita lama, sebaliknya perkara baharu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak bertanggungjawab.

Sebab itulah, kalau pun mana-mana pihak mahu menganggap ia cerita lama tetapi janganlah mengamalkan sikap lama dengan melihat apa yang berlaku di Cameron Highlands sekarang perkara biasa. Apakah perkara biasa jika ia boleh meletakkan penduduk dalam bahaya?

Yang biasanya ialah apabila pelbagai pihak kelam kabut merancang itu dan ini apabila tragedi berlaku, yang biasanya apabila segala tindakan yang dilakukan ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang biasanya apabila ada antara kita berpura-pura mengambil berat nasib Cameron Highlands tetapi dalam masa sama menjadi penyumbang kepada kemusnahan tanah tinggi tersebut.

Namun membiarkan Cameron Highlands terus ‘dinodai’ dan tidak melakukan apa-apa bagi memulihkan keadaan itu tidak lagi boleh dianggap perkara biasa. Cameron Highlands perlu diletakkan dalam situasi mesti diselamatkan.
Dalam soal pembangunannya, sesiapa juga yang mengunjungi Cameron Highlands akan mendapati daerah itu ‘penuh kecacatan’. Pelbagai projek yang dijalankan bukannya mengindahkan tanah tinggi itu sebaliknya ibarat ‘jalan raya yang berlubang-lubang’.

Majoriti pemandangan di situ tidak lagi dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok atau bukit bukau yang indah sebaliknya dipenuhi pelbagai projek pembangunan. Melihat situasi di Cameron Highlands, ia seolah-olah membuktikan ada pihak tertentu bersikap selagi ada ‘ruang di situ ada peluang’, apa yang hendak berlaku kepada alam sekitar tanah tinggi itu soal kedua, bak kata orang, ‘kita fikir bila terjadi’.

Mungkin ada pihak yang berhujah bahawa segala projek di daerah tersebut sudah mendapat kelulusan. Benarkah? Kalau begitu bagaimana dengan satu projek yang didakwa dilaksanakan tanpa mengikut peraturan apabila dibina atas struktur bangunan yang tidak dirobohkan, bagaimana ia boleh diluluskan? Penulis tidak perlu menyatakan apakah projek itu tetapi ia sudah mendapat perhatian pejuang-pejuang alam sekitar di Cameron Highlands.

Seperkara lagi penerokaan ta­nah bukan kegiatan yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Ia samalah juga dengan perbuatan bermain mercun yang diseludup ke negara ini. Mercun sudah pasti berbunyi begitulah penerokaan tanah, ia boleh dilihat dengan jelas. Persoalannya, tidakkah pihak-pihak bertanggungjawab dari semasa ke semasa tidak nampak kegiatan itu?

Tidak kiralah sama ada ia dilakukan secara sah atau tidak tetapi soalnya, apakah kita hanya memburu keuntungan tanpa memikirkan bencana alam sekitar yang menanti?

Begitu juga dengan kebun-kebun haram yang didakwa kembali beroperasi di Cameron Highlands. Operasi besar-besaran perlu dilakukan dan pekebun-pekebun haram yang terlibat perlu dihadap ke muka pengadilan dan didakwa sebagai penjenayah alam sekitar.

Ini memandangkan mereka inilah yang sanggup memberi rasuah bagi menutup mulut anggota-anggota penguat kuasa yang bersedia menjual maruah mereka dengan sedikit imbuhan.

Pekebun-pekebun haram ini adalah penjenayah yang memusnahkan alam sekitar Cameron Highlands. Mereka meraih keuntungan melalui perbuatan jahat mereka. Penulis agak terkejut apabila ketika melawat pasar-pasar di daerah itu kerana kualiti sayur-sayuran agak teruk tetapi harganya agak mahal. Apabila penulis bertanya kepada salah seorang peniaga, dia mengakui operasi memusnahkan kebun-kebun haram banyak menjejaskan bekalan sayur-sayuran mereka.

Tanpa mahu membuat tuduhan melulu, penulis tertanya-tanya apakah selama ini, sebahagian besar peniaga itu mendapat bekalan daripada pekebun-pekebun haram? Kalau benar begitu bagaimana hasil cukai kepada kerajaan? 

Sudah berapa lama perbuatan seumpama itu dilakukan? Kenapakah tidak ada pengawasan daripada agensi penguat kuasa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan sayur daripada pekebun yang sah, bukannya pekebun haram.

Cameron Highlands semema­ngnya mempunyai banyak cerita lama tetapi sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman baru. Alam sekitarnya sedang dimusnahkan dan hasil buminya diselewengkan. Justeru sebelum terlambat Kerajaan Pusat perlu bertegas bagi memulihkan Cameron Highlands. 

Pembukaan satu demi satu pejabat kerajaan di tanah tinggi tersebut bukanlah penyelesaian. Letaklah berapa ramai pun pegawai penguat kuasa, hantarlah berapa ramai pun kakitangan kerajaan, ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada daerah itu.

Ini memandangkan Cameron Highlands memerlukan tindakan bukannya bersifat hangat-hangat tahi ayam atau sekadar satu sandiwara apatah lagi bersikap terantuk baru terngadah tetapi satu usaha yang serius dan penuh keikhlasan oleh sekelompok insan berintegriti tinggi serta sentiasa ingatkan Allah SWT dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Rasulullah SAW bersabda: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan. (riwayat Muslim).’
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/cerita-lama-ancaman-baharu-1.108224#sthash.16rd0vRN.dpuf

Kembali hangat!!!!

‎Kisah sama yang diulangi kerana tiada kesudahan. 

Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia semalam dan Utusan Malaysia hari ini membawa kembali kisah di Cameron Highlands yang mereka gemparkan negara dengan kenyataan tajuk utama degan mengatakan Cameron Highlands ditawan warga asing.


Juga isu alam sekitar yang tiada berkesudahan yang akhirnya menyaksikan daerah ini diletakan dibawah Operasi pembersihan oleh Majlis Keselamatan Negara yang bertujuan memusnahkan struktur pencerobohan di atas tanah kerajaan dan hutan simpan oleh pekebun haram.

Setelah pelbagai perisitiwa kami saksikan seperti DYMM Tuanku Sultan Pahang murka diatas pencerobohan yang berlaku kemudian menyaksikan Cameron Higland dihujani 11 buah helikopter yang datang serentak membawa pembesar negara yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri serta Menteri-Menteri berkenaan, serta aktivti operasi baik menangkap warga asing dan juga kebun haram, hari ini janji untuk memusnahkan 10,000 ha kebun haram sekadar tinggal janji sahaja. 


Kalau mengikut surat khabar, 15 % telah dimusnahkan iaitu kalau kira-kira dibuat sekitar 150 ha sahaja dan dikatakan 70 kertas siasatan telah dibuka namun sekadar hingga hari ini hanya Pang Liang Por, pekebun dari Kampung Raja yang didakwa di Makamah Raub dua minggu lalu. 

Apa kesudahannya?  

Layan sahaja...

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

RM40 juta bersih Tasik Ringlet

‎Ini bukan kisah baharu.

Tetapi kisah di Cameron Highlands ini dah macam saluran ASTRO yang diulangi saban hari Filem yang sama walaupun ramai yang membuat aduan dan celaan tapi tak berapa ramai yang nak tamatkan langganan ASTRO mereka. 

Ibarat kata tiada kesudahan. Saya kongsikan kisah semalam di Utusan Malaysia. 

Apakah pendedahan ulangan ini akan sekadar menjadi lemau seperti kuih raya kelak.





Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Sunday, June 28, 2015

Musim durian datang lagi ke Cameron Highlands

‎Musim durian datang lagi ke Cameron Highlands seperti tahun lepas, bulan puasa juga waktunya. 


Bersama kembarnya petai, kebanyakkan durian kali ini datang dari‎ Jalan Pahang atau lebih dikenali dengan Jalan Tapah bermula dari batu 7 berbanding tahun lepas kebanyakkan dari Daerah Lojing dan Gua Musang, Kelantan. 

Setiap petang akan ada sahaja penjual durian membuka gerai termasuklah di pasar ramadhan. 

Manakala saya lebih banyak membeli di Ringlet kerana berada di sana setiap hari dan uniknya belian saya terus dari penjual durian Orang Asli yang membawanya dari Tapah terus ke Ringlet. 


Mereka juga amat arif dengan jenis durian kampung dan tidak mahal pula harganya.



Dan menjadi kebiasaan saya tidak terlalu berkira jika pada pertimbangan saya ianya berbaloi untuk dibeli kerana mereka bukannya menjual untuk membina empayar kekayaan, sebaliknya mencari rezeki untuk kehidupan di kala durian mulai gugur. 

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Cameron Highlands... Sejarah Stesen Hidro TNB

Saya membelek-belek koleksi rencana Utusan Online dan saya temui versi sofy copy mengenai Catatan ini ditulis oleh wartawan Utusan Malaysia yang mempunyai ruangnya di Mingguan Malaysia,  Johardy Ibrahim yang telah disiarkan dua tiga minggu yang lalu.
Saya ingin berkongsikan catatan beliau kerana sayaa tertarik info sejarah mengenai sejarah Cameron Highlands yang dikongsikan serta baharu didedahkan berbanding versi biasa dan sumber nya seiringan dengan sejarah pembangunan stesen Hidro Tenaga Nasional Berhad. 
Saya sekadar kongsikan kembali sebagai simpanan saya di blog ini dan untuk anda bersumberkan Utusan Online. 

SEBUT sahaja Cameron Highlands, terus dianggap ber­cu­ti. Tolong belikan strawberi. Beli sayur. Terkesima se­bentar. Sebenarnya, ke sana sejak Rabu lalu atas urusan rasmi bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bukan saya se­orang. Ada 30 lagi wakil media dari Kuala Lumpur, Pahang dan Perak.
Tiada salah bila mengaitkan Cameron Highlands dengan percutian. Nama dalam bahasa Melayunya ialah Tanah Tinggi Cameron. Dan ia tiada kaitan dengan pelakon Cameron Diaz atau Perdana Menteri Britain, David Cameron.
Cameron Highlands ini mendapat nama daripada juruukur British, Sir William Cameron yang diberi tugas membuat peta sempadan Pahang dan Perak oleh kerajaan penjajah tersebut pada 1885.
Antara laporannya yang menarik minat Residen Perak yang berkhidmat antara 1887 dan 1889, Sir Hugh Low ialah "wujud seakan-akan pusaran di pergunungan, sementara terdapat kawasan luas cerun kecil dan dataran tinggi". Istilah Inggeris yang diguna Cameron ialah a sort of vortex on the mountains. Cameron mungkin peminat Shakespeare.
Sama sahaja seperti mana-mana wakil penjajah yang oportunis, Cameron meminta kebenaran Low untuk mem­ba­ngunkan kawasan itu menjadi sanatorium, resort kesihatan dan tanah pertanian terbuka. Laluan kecil dibuka menerusi belantara tersebut. Mungkin tiada sokongan kewangan diberi atau diperoleh, ia kekal jadi hutan dara.
Hanya 40 tahun kemudian, baharulah tindakan kon­krit dilakanakan oleh Ketua Setiausaha Negeri-negeri Me­layu Bersekutu, Sir George Maxwell yang bersetuju membangunkan wawasan asal Cameron. 

Penjajah British memiliki satu kecenderungan yang unik. Di setiap koloni, mereka mesti mahu membina kawasan rehat eksklusif. Di Malaysia ada Bukit Fraser dan kemudian Tanah Tinggi Cameron. Di Pakistan, ada Murree Hills dekat Islamabad. Di Sri Lanka ada Nuwara Eliya yang semacam klon Cameron Highlands iaitu rumah desa British dan ladang teh. 

Keadaan muka bumi sebagaimana yang digambarkan oleh Cameron: a sort of vortex on the mountains juga mendorong keputusan kerajaan Malaysia yang baharu lahir pada 1957, bersetuju untuk membina stesen jana elektrik hidro pertama di Cameron Highlands.
Kemuncak
Projek yang melibatkan tenaga kerja yang ramai serta bantuan daripada pakar jurutera dan juruteknik daripada Jerman, Austria, Itali, Switzerland dan Britain itu dimulakan pada 1959 dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah pada 26 Jun 1963 dan operasi penuh stesen ini bermula setahun kemudiannya.
Tempoh pembinaan ini termasuk dalam Zaman Darurat iaitu keganasan Partai Komunis Malaya (PKM). 

Keadaan itu menyebabkan pembinaan tergendala serta perlahan. Ia juga menyaksikan petani keturunan Cina di kawasan itu dipindahkan ke Kampung Baru di Bertam. 

Selepas hampir kepada permulaan operasi stesen hidro yang bakal menenggelamkan kawasan rendah untuk dijadikan empangan, penduduk tersebut dipindah ke kawasan lain.
Ya, kami disajikan dengan video hitam putih terbitan Filem Negara Malaysia yang memberi butiran tentang projek tersebut. Rakan-rakan wartawan riuh ketawa semasa adegan model Mat Salleh berperahu menyelamatkan kucing domestik yang berpaut pada tunggul dalam air empangan.
Pagi Jumaat merupakan acara kemuncak program bersama TNB ini iaitu lawatan ke Pusat Kawalan Stesen Janaelektrik Sultan Yussuf atau Jor. Terletak di Batu 19 dari Tapah menuju ke Tanah Rata di Cameron Highlands, ia merupakan stesen yang berada 262.128 meter (860 kaki) di bawah tanah.
Stesen itu dikategorikan sebagai kawasan keselamatan strategik yang tidak dibuka kepada orang ramai, dan bila mendapat jemputan TNB untuk meninjau stesen hidrolektrik yang termasuk dalam "keajaiban kejuruteraan" yang pertama di Malaysia, peluang ini tidak dilepaskan. Menurut pengurus besar stesen tersebut, Mohammad Zaki Jalaludin, sejak 1964, hanya kira-kira 20 peratus teknologi yang diguna pakai dalam stesen itu ditukar, terutama membabitkan sistem kawalan bagi menyesuaikan dengan perkembangan teknologi semasa.
Namun, daripada segi mekanikal seperti turbin walaupun asalnya diimport dari Rusia, Perancis dan sebagainya, TNB telah memiliki keupayaan membina sendiri alat-alat ganti bagi jentera tersebut. Untuk proses baik pulih jentera, ia dilakukan setiap tujuh tahun dengan kos RM7 juta.
Terdapat 210 warga TNB di stesen itu, dengan pusat kawalan dikendalikan oleh pasukan lima orang yang bertugas dalam tiga shif selama 24 jam. Dengan siapnya empangan hidrolektrik Ulu Jelai bernilai RM2.7 bilion tidak lama lagi, Mohammad Zaki akan memiliki tambahan 50 tenaga kerja.
Selama ini, bila naik ke Cameron Highlands memang ada ternampak pintu masuk stesen tetapi tidaklah sedar nilai kepentingannya dan sejarah pembinaannya. Jadi ketahuilah kini, Cameron Highlands bukan sekadar suhu dingin, sayur segar dan strawberi. Ada nilai sejarah kejuruteraan yang bukan sahaja bersejarah tetapi menjadi nadi kepada pembekalan elektrik di negara ini.
Sila hafal fakta sejarah di atas yang akan tersenarai dalam kuiz Merrepak. Pengurus Komunikasi Korporat TNB, Mohd Arshi Mat Daud semasa diajukan soalan penajaan sekadar menyebut: "Kipidap. DunGibap.''

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

Saturday, June 27, 2015

Kebakaran di Tadika Winlon Tanah Rata

Petang tadi, 27 Jun 2015, sekitar 6.20 petang, Tadika Winlon yang terletak bersebelahan dengan Padang Bolasepak MDCH Tanah Rata telah terbakar.


Mujurnya ketika kejadian bukanlah semasa hari persekolahan yang biasanya akan terdapat 40 orang kanak-kanak seusia 4 hingga 6 tahun. 

Pihak Bomba dan Penyelamat telah datang memadamkan Kebakaran dan mengawal dari merebak ke bangunan bersebelahan. 


Namun, keseluruhan bangunan tersebut yang dimiliki oleh Puspanita Daerah Cameron Highlands telah musnah terbakar namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Punca kejadian masih disiasat. 





Dato Pegawai Daerah Cameron Highland turut berada di tempat kejadian.

Sent from my BlackBerry 10 smartphone.