Sunday, July 31, 2011

Dikebumi sebagai seorang lelaki

Seperti dijangka, Berita utama di setiap surat khabar hari ini semuanya berkenaan dengan pemergian menghadap ilahi pemuda yang pernah mengemparkan negara kita beberapa minggu yang lalu,  Ashraf Abd Aziz dan aku ingin memetik pesanan Bekas Mufti Negeri Johor, Datuk Noh Gadut dalam Berita Harian ;

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, berkata orang ramai juga tidak wajar menghina keluarga pemuda terbabit yang meninggal dunia semalam kerana segala yang berlaku ada hikmah tersendiri dan secara tidak langsung memberikan pengajaran cukup besar kepada masyarakat.
Mengenai urusan pengebumian jenazah, beliau berkata, jenazah umat Islam perlu disempurnakan dan diuruskan mengikut jantina ketika mereka dilahirkan walaupun kemudian sudah berubah keadaan fizikal, sama ada lelaki mengubah fizikal menjadi wanita atau sebaliknya. 

Dan seperti yang aku pernah tulis, biarpun apapun yang berlaku , dia tetap Ashraf di mata, di hati, di jiwa kepada Ibu dan ayahnya.. Tetap adik dan abang kepada ahli keluarganya. Tetap darah daging yang tiada ternilai bagi mereka biarpun ada yang diluar sana kelihatan lebih mendahuli yang lain dengan menghina dan mencaci tanpa henti. Aku percaya, walau dihina dan dikeji malah mungkin kalau ada yang ingin mengugut dan membenci sekalipun ianya TETAP Ashraf bagi mereka yang lebih mengenali dan mengetahui segalanya... 

Derita Mereka..hanya mereka yang tahu...

Al-Fatihah kepada Arwah dan takziah kepada keluarga...


Dikebumi sebagai seorang lelaki

ABDUL AZIZ Ahmad memerhatikan isterinya yang hanya mahu di kenali sebagai Mak Yah menyiram air mawar ke atas pusara Mohd. Ashraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.
Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.
Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.
“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.

Saturday, July 30, 2011

Mohd Ashraf Abd Aziz, meninggal dunia...

Kalau beberapa minggu yang lalu aku kongsikan bagaimana rintihan ibu dan ayah kepada Mohd Ashraf akan kejian dan tohmahan yang diterima bilamana anak lelaki mereka memohon pertukaran status jantina, hari ini, mereka terpaksa menerima hakikat Ashraf telah kembali ke rahmatullah akibat tekanan yang hebat atas isu ini. 

Aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mereka diatas kehilangan ini dan aku ingin menyeru rakan-rakan pembaca untuk bersedekahkan Al-Fatihah kepada beliau. 

Aku mengikuti beberapa tulisan dan catatan blogger yang lain, dalam keperitan ibu dan ayah ini, mereka dikeji dan dihina. Mereka diumpat dan dilemparkan dengan pelbagai kata-kata yang amat perit didengar dan kita rupanya telah kehadapan dalam menjatuhkan hukuman.  


Tanpa kita sedar ... tanpa kita rasai dan tanpa kita ketahui sendiri , Derita Mereka Siapa yang tahu ... 

Lelaki mohon tukar nama Aleesha Farhana meninggal dunia

2011/07/30

pix_gal0
KUALA TERENGGANU: Mohd Ashraf Abd Aziz, 26, (gambar) yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana meninggal dunia jam 4.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke wad ICU, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, awal pagi semalam kerana mengalami tekanan darah rendah akibat kemurungan apabila permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.


Petikan kisahnya lebih awal dari Kosmo..

Mohd. Ashraf murung teruk, muntah-muntah


KERATAN muka depan Kosmo! 19 Julai 2011.



KUALA TERENGGANU - Lelaki yang tidak berjaya untuk bergelar seorang wanita dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dipercayai akibat mengalami kemurungan ekoran kegagalannya itu.
Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz , 25, dikatakan mengalami masalah tersebut ekoran tertekan sejak Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menolak permohonan menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz pada 18 Julai lalu.
Kemuncaknya kira-kira pukul 3 pagi semalam, dia terpaksa dikejarkan ke HSNZ selepas mengalami muntah-muntah yang teruk.
Difahamkan, sehingga lewat petang semalam, dia masih menerima rawatan di ICU ke-rana tekanan darahnya terlalu rendah iaitu 80/40 namun Mohd. Ashraf masih sedar dan mampu bercakap dengan ahli keluarganya.
Bapa lelaki itu, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi HSNZ bagaimanapun meminta wartawan supaya tidak menemui anaknya itu kerana keadaannya masih dipantau rapi oleh doktor.

Rintihan rakyat Somalia

Memanjangkan kisah penderitaan mengenai krisis kemanusian  dan kebuluran kanak-kanak  yang pernah aku bawakan sebelum ini , sekali lagi KOSMO membawa isu yang cukup menyentuh hati ini dalam rencana mereka. Cuma kali ini terus menumpukan krisis di Kebuluran di Somalia, salah sebuah negara Afrika yang pernah bergolak suatu ketika dahulu pada awal 90 an dan pernah di filemkan dalam Black Hawk Down sekitar tahun 2004. Kini kita disajikan dengan kisah Lanun Somalia yang tiada penghujungnya di Teluk Aden.

Aku simpati dan amat sedih melihat akan keadaan ini yang tidak tertanggung rasanya jika kita berada di tempat mereka tambahan lagi mereka adalah kebanyakan umat Islam.

Aku tak pasti juga apakah keadaan sebenar di Somalia ketika ini. Apakah akibat perang saudara yang meletus awal 90 an masih berpanjangan sehingga kini. Diburukan lagi dengan kemarau panjang yang cukup memeritkan. 

Abg Ipar aku pernah bertugas di sana sebagai Pengaman PBB pada tahun 1991 kalau tak silap aku meninggalkan anak sulungnya yang baru 2 minggu dilahirkan. Bertugas jauh dirantauan sudah memeritkan tetapi  mengalami nasib kebuluran seperti mereka ini pasti lebih memeritkan lagi.... 

Syukur aku lahir di MALAYSIA...

Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF


KESEDIHAN Sainab Yusuf Mohamed tidak mampu dibendung lagi. Hatinya pilu dan luluh mengenangkan nasibnya yang kehilangan dua orang anak kesayangan dalam sekelip mata.
Namun, bagaikan sudah dijangka, naluri keibuannya selama ini sudah kuat berbisik bahawa masalah kebuluran yang melanda tanah airnya akan mengancam nyawa anak-anaknya.
“Kami tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Tubuh anak-anak semakin kurus sehingga menampakkan rangka akibat kekurangan zat. Saya kasihan melihat keadaan mereka tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.
“Sungguh sedih apabila dalam perjalanan merentas padang pasir yang kering-kontang bagi mendapatkan bantuan makanan, anak sulung saya meninggal dunia. Lebih perit, sebaik saja mengebumikan jenazahnya, anak kedua saya pula menghembuskan nafas terakhir,” luah Sainab dalam nada bergetar.
Nasib malang Sainab turut dialami oleh Hassan Abdi. Dalam perjalanan ke kem pelarian, tangan kirinya mendukung cucunya yang kurus kering manakala tangan kanannya pula menjinjit sebuah beg kain berisi bijirin, gula dan sebotol minyak masak sumbangan agensi bantuan.
“Perut cucu saya sudah lembik kerana dia mengalami kelaparan terlampau. Saya fikir stok makanan yang diperoleh ini tidak mencukupi dan mampu bertahan untuk beberapa hari saja kerana kami perlu berkongsi dengan tujuh orang ahli keluarga lain,” kata Hassan sambil menunjukkan perut cucu lelakinya yang berusia lima tahun itu.
Beginilah senario terbaharu di Somalia yang sedang berhadapan dengan krisis makanan kronik dalam tempoh dua dekad. Krisis kemanusiaan terburuk pada abad ke-21 itu telah menyebabkan separuh daripada rakyat tempatan bergelut mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan.
Menagih bantuan

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan krisis kebuluran berkenaan akan merebak dalam tempoh dua bulan di Somalia sekiranya tiada bantuan dihulurkan.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Unit Analisis Keselamatan Makanan dan Nutrisi (FSNAU), seramai 3.76 juta rakyat Somalia terpaksa mengharapkan bantuan kemanusiaan dari segi makanan dan ubat-ubatan.
Oleh kerana tidak tahan lagi untuk menjalani kehidupan di tanah sendiri yang sudah kehabisan sumber makanan, majoriti rakyat Somalia sanggup merentas kawasan panas kering dan berkaki ayam di bawah terik matahari yang mencecah 50 darjah Celsius ke kem-kem pelarian yang menyediakan makanan.
Malangnya, belum pun sempat menjejakkan kaki di kem berkenaan, segelintir daripada mereka mati dalam perjalanan terutamanya kanak-kanak dan bayi. Cuaca panas dan kebuluran antara faktor utama yang meragut nyawa mereka. Sementara yang berjaya tiba di kem dalam tempoh 24 jam tampak lesu, tidak terurus dan kurus kering.
CUACA kemarau mengakibatkan rakyat Somalia terpaksa berjalan kaki ke
kem-kem pelarian untuk mendapatkan bantuan makanan
Dianggarkan secara purata setiap hari, seramai 60 bayi mati akibat kelaparan dan kekurangan makanan berkhasiat, selain kemusnahan tanaman dan haiwan ternakan.
Hari ini, Somalia yang terletak di timur Afrika merupakan salah satu negara yang berhadapan dengan ancaman kemarau dan kebuluran kronik selain di Habsyah, Djibouti, Sudan dan Kenya.
Berdasarkan statistik Program Makanan Dunia (WFP) mendapati seramai 3.5 juta orang di Kenya, 3.2 juta orang di Habsyah, 2.5 juta orang di Somalia dan lebih 100,000 orang di Dijbouti terdesak memerlukan bantuan makanan.
Menurut Ketua Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), Antonio Guterres, krisis kemarau dan makanan di Somalia adalah antara yang paling teruk di dunia.
“Sukar diluahkan dengan kata-kata apabila menyaksikan banyak nyawa terkorban kerana musim kemarau dan panas terik. Saya tidak pernah melihat kem-kem pelarian sesak dengan orang ramai yang hadir dalam keadaan terdesak dan tidak bermaya.
“Paling menyedihkan adalah apabila melihat seorang ibu yang kehilangan tiga orang anak serentak ketika menuju ke kem pelarian,” jelas Antonio Guterres mengenai satu perempat daripada 7.5 juta orang Somalia yang membanjiri kem pelarian.
Masalah dalaman

Menurut Penganalisis Ekonomi dan Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah, krisis kebuluran di wilayah Afrika tidak berkesudahan sekiranya masalah dalaman di negara itu tidak diselesaikan pada kadar segera.
Selagi isu rasuah, pergolakan politik dan perbalahan rakyat masih belum diatasi, maka secara tidak langsung ia menyebabkan ekonomi negara semakin merosot. Semua itu mengakibatkan Afrika kekal tersenarai sebagai negara mundur dan miskin.
RAKYAT Somalia menunggu giliran mengambil makanan
yang disediakan di kem pelarian.
“Selain kacau-bilau, kenaikan harga bahan api dan bahan mentah turut menyumbang pada krisis kebuluran di beberapa wilayah di Afrika.
“Disebabkan faktor itu, kebanyakan negara maju, badan korporat, individu dan agensi bantuan terpaksa mengehadkan perbelanjaan stok bekalan makanan yang ingin diagih-agihkan kepada rakyat Somalia.
“Kos pengangkutan dan penghantaran makanan ke negara itu juga dititikberatkan memandangkan ia melibatkan kos bahan api.
“Bagi rakyat Afrika pula, mereka mengalami kesukaran mengeluarkan sumber makanan daripada hasil pertanian kerana faktor cuaca yang panas dan kedudukan geografi,” tambah Haim yang merujuk pada kawasan gurun dan tanah tandus di Afrika yang tidak sesuai dijadikan tapak pertanian.
Tambah Haim, isu kebuluran di setiap negara miskin dapat diatasi dengan baik sekiranya negara maju dan membangun seperti Eropah, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura atau negara sedang membangun seperti Malaysia bijak menguruskan sistem stok makanan dengan baik
“Pada pandangan saya, daripada stok makanan dibiarkan membazir begitu saja, lebih baik ia disalurkan pada negara-negara yang memerlukan,” jelasnya lagi.
Kemarau berterusan
Cuaca panas dan kemarau berpanjangan telah menyebabkan 12 juta rakyat di beberapa wilayah itu terpaksa berjalan kaki ke kem pelarian bagi mendapatkan bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Dalam pada itu, krisis kemarau tersebut turut mengakibatkan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan unta terkorban. Jika musim kemarau lima tahun lepas hanya mengorbankan antara 20 hingga 30 ekor haiwan ternakan setiap bulan tetapi kemarau tahun ini angka haiwan yang mati hampir mencecah 50 ekor.

WANITA ini hanya mampu berserah mengenangkan kesihatan badan anaknya yang semakin kurus akibat kekurangan makanan.
Kehilangan jumlah haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak secara tidak langsung menyebabkan rakyat Somalia kehilangan sumber makanan.
Memetik ramalan saintis Pusat Geologi Amerika Syarikat (USGS), Chris Funk, menjangka musim kemarau di timur Afrika akan berterusan dalam tempoh yang sukar dipastikan. Lazimnya, bulan Mac hingga Jun merupakan musim hujan di Afrika.
“Namun sehingga ke hari ini, tidak menampakkan sebarang tanda-tanda hujan akan turun malah kadar purata hujan di Somalia mencatatkan di bawah paras paling rendah.
“Lebih memburukkan keadaan, isu pemanasan global dijangka meningkat dan faktor ini menyukarkan lagi usaha rakyat Afrika untuk menjalankan aktiviti bercucuk tanam kerana kekurangan sumber air serta tanah kering kontang,” jelas Funk.
Setakat ini bagi menghulurkan bantuan makanan kepada rakyat Somalia yang kebuluran, UNHCR dan kerajaan Habsyah mengambil inisiatif menyediakan kem di Dolo Ado, Habsyah. Dianggarkan kem berkenaan menerima hampir 2,000 pelarian baharu setiap hari.
Persekitaran di Somalia bukan saja mempamerkan gelagat kanak-kanak bermain tanpa menyarungkan seluar malah turut menyaksikan penghuni kem sentiasa bersesak merebut makanan yang disumbangkan oleh pihak-pihak tertentu.
Keadaan yang sama turut berlaku di kem Dadaab, Kenya iaitu kem pelarian terbesar dunia yang kini dihuni kira-kira 382,000 orang sedangkan ia hanya mampu menampung 90,000 orang pada satu-satu masa.

Wednesday, July 27, 2011

Lagu Rasmi FELDA

Mungkin ramai yang tidak pernah mendengar lagu ini malah aku percaya lebih ramai diluar sana tidak tahu bahawa Felda mempunyai lagu Rasmi sekian lama. Bagi mereka, lagu mungkin sekadar lagu. Sekadar didengar ataupun dinyanyikan.

Asrama Felda Kuantan yang baharu.
Bagi aku, inilah antara lagu yang aku dan rakan-rakan seAsrama Felda nyanyikan  mungkin bukan sekadar puluhan malah ratusan kali dan tidak mustahil mungkin juga sudah  ribuan kali sejak tahun 1991 hinggalah kini. 
Ini adalah antara lagu yang akan dinyanyikan bagi pelajar-pelajar Asrama Felda di setiap perhimpunan, majlis perjumpaan ataupun aktiviti mingguan. Setiap kali dinyanyikan, lantonan suara bergema segenap dewan walaupun tanpa muzik dan konduktor. Setiap kali dinyanyikan juga, terasa semangat kian berkobar dan begitu bersemarak malah inilah saat yang di tunggu-tunggu setiap kali perhimpunan ataupun perjumpaan ... 

Lagu ini akan dinyanyikan bersama lagu Warisan (bermula anak kecil main api....) yang juga sentiasa dinyanyikan dengan penuh peringatan kepada diri sendri akan nasib bangsa dan agama serta tanah air tercinta mungkin suatu hari nanti akan berlaku dan boleh berlaku  dan kalau tak silap aku ada sebuah lagi lagu yang aku lupa tajuknya... 

Aku ingin berkongsi di sini lagu ini... LAGU FELDA... hayati ... 


Juga ingin aku kongsikan lagu yang cukup bermakna ini...  Nanyikan dan hayati liriknya... 

Kalaulah mengingatkan sesama melayu itu dianggap Rasis... jumud .. maka aku rela digelar rasis dan jumud asalkan Melayu terus kukuh dan bersatu kembali...

Hayati lagu-lagu ini ... 

Tuesday, July 26, 2011

Laju macam peluru... Kerata Api di Negara China...

Semalam kita dikongsikan cerita kemalangan keretapi laju di Negara China yang mengorbankan ramai penumpang. Dan bercerita mengenai keretapi, China sekali lagi mendahului negara-negara pengeluar keretapi laju seperti Perancis dan Jerman dengan pelancaran kereta api terlaju di dunia. 

Memetik kisah dan rencana utama dari Kosmo, dikongsikan  di sini untuk anda. Malaysia baru sahaja meneroka landasan berkembar untuk keretapi elektrik merentas bandar utama dan akan dipanjangkan sehingga utara ke selatan.




CHINA sememangnya menggemari pencapaian yang luar biasa. Pada 30 Jun lalu, ia melancarkan dua pencapaian meganya secara serentak. Pertama, jambatan laut terpanjang di dunia dibuka di Qingdao iaitu Jambatan Teluk Jiaozhou. Jambatan itu dianggap satu lagi keajaiban Negara Tembok Besar itu
Namun, projek kedua lebih mengagumkan. Rangkaian rel kereta api laju Beijing-Shanghai dibuka pada hari yang sama. Beribu-ribu orang membanjiri Stesen Kereta Api Selatan di Beijing dengan tiket di tangan.
"Saya sangat teruja," kata Tina Cheng, seorang eksekutif pemasaran teknologi maklumat yang membayar 550 yuan (RM260) untuk tiket kelas kedua kereta api ekspres itu yang turut dikenali sebagai bullet train.
Tiket kelas VIP pula dijual pada harga AS$270 (RM837) sehala.


Perkhidmatan itu melalui tiga majlis perbandaran dan empat wilayah pada kelajuan 330 kilometer sejam (km/j).
Perjalanan dari Shanghai ke Beijing sejauh 1,318 kilometer tidak sampai lima jam. "Ia detik yang membanggakan rakyat China," kata Tina seperti dipetik NBC News.
Landasan kereta api baru itu dibina dalam masa 39 bulan, iaitu hampir setahun lebih awal daripada yang dijadualkan.
Jurutera dan pegawai kereta api telah menguji laluan itu sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembukaannya iaitu sehari sebelum Parti Komunis China menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya, 1 Julai lalu.
Kerajaan China telah menjemput hampir 300 kru media dari seluruh dunia bagi menyaksikan 'pertunjukan' itu.
Seratus tahun silam, perjalanan dari Beijing ke Shanghai bukan sahaja berbahaya bahkan memerlukan masa sehingga tiga minggu. Kereta api biasa mengambil masa 10 jam tetapi tren laju hanya empat jam 48 minit.
Sebagai perbandingan, jika anda menaiki kereta api ekspres dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam, ia mengambil masa selama 10 jam untuk sampai.
Pihak berkuasa kereta api berkata, tren laju itu akan mempunyai 180 perjalanan ulang-alik sehari dan boleh membawa 80 juta penumpang setahun.
Teknologi
CHINA memiliki rangkaian tren laju paling komprehensif dan terbesar di dunia.


Dari segi teknikal, ia boleh bergerak selaju 486km/j namun atas faktor keselamatan, kerajaan China menetapkan 300km/j sebagai had purata kelajuan.
Perjalanannya sangat lancar dan pantas. Tetapi apa yang lebih penting, projek itu dibuat sepenuhnya oleh China.
"Teknologi yang kami ada sangat maju," kata Ketua Pereka di Kenderaan Rel CNR Changchun yang menjayakan projek itu, Yang Hong.
"Kami menyerap teknologi import bagi mencipta dan membangunkan produk kami sendiri," tambah beliau.
Para jurutera China mengakui tren laju terbaharu itu telah menyerap banyak idea dari Jerman, Perancis dan Jepun sebelum menukarnya menjadi produk yang lebih baik.
Petugas media turut dibawa melawat kilang CNR yang terletak di Wilayah Jilin. Kilang itu kelihatan seperti sebuah hangar angkasa dengan ramai pekerja Barat memakai baju T Siemens.
Syarikat kejuruteraan gergasi Jerman itu dan Alstom, sebuah konglomerat dari Perancis yang pakar dalam bidang pengangkutan dan sistem janakuasa - telah bekerja untuk CNR selama beberapa tahun dengan membina sistem tren laju itu.
"Kedua-dua tren dan rel dari Alstom dan Siemens ini merupakan teknologi termaju di dunia.
"Berdasarkan platform itu, kami membangunkan kereta api kami sebelum ini, CRH380B yang berkelajuan 380km/j. Kami adalah pemilik penuh hak cipta intelek tren itu," kata Yang.
Dengan memiliki jaringan tren laju terbesar di dunia, China sekurang-kurangnya berjaya menunjukkan yang ia lebih bagus dalam bidang itu berbanding negara pesaing ekonominya yang lain khususnya Amerika Syarikat (AS).
Kelajuan
TREN CRH380C adalah hasil gabungan teknologi Perancis, Jerman dan Jepun.


Sementara banyak bandar di dunia memiliki sistem rel dan kereta api bawah tanah canggih, sebaliknya rakyat AS lebih gemar bergerak menaiki kereta dan kapal terbang.
Hanya baru-baru ini kerajaan Presiden Obama memperuntukkan AS$8 bilion (RM25 bilion) untuk membina jaringan tren laju pertama di AS. Tren terlaju di negara itu pada hari ini ialah Acela Express, berkelajuan 241km/j, yang beroperasi di antara Boston dan Washington.
Perancis, Jepun dan China memang sudah lama terkenal dengan teknologi tren laju. Secara purata tren laju di seluruh dunia beroperasi pada kelajuan 275km/j. Tren konvensional paling laju setakat ini ialah TGV milik Perancis dengan rekod kelajuan 574km/j.
Jepun pula memiliki Shinkansen yang bergerak di atas landasan konvensional. Pada tahun 1996, ujian ke atas Shinkansen berupaya mencecah kelajuan 443km/j. Banyak negara menjadikan Shinkansen sebagai model sistem tren laju mereka.
Pada tahun 2007, jurutera Perancis membuktikan bukan kereta api maglev sahaja yang boleh terapung di landasan. TGV Est V150 rekaan syarikat Alstom, bergerak pada kelajuan 574km/j.
Bagaimanapun, rekod kereta api paling laju di dunia masih dipegang kereta api yang menggunakan teknologi maglev iaitu kusyen udara terapung magnetik.
Tren yang dimaksudkan itu dinamakan MLX01 dan merupakan projek Maglev Chuo Shinkansen Line di Jepun.
Pada tahun 2003, di landasan Yamanashi sepanjang 42 kilometer, kereta api itu stabil pada kelajuan ideal 500 km/j walaupun ia diuji berjaya mencapai 581km/j. Kelajuan ideal bagi kebanyakan tren laju yang membawa penumpang pada hari ini ialah 300km/j sahaja.
PENUMPANG dilayan seperti di dalam kapal terbang.


Tren maglev dipercayai akan menggantikan Shinkansen menjelang tahun 2025 namun kos pembinaannya sangat tinggi, dianggarkan AS$44 bilion (RM136 bilion).
Buat masa ini, tren laju terkini China, CRH380C, merupakan kereta api paling laju yang sedang beroperasi.
Syarikat pembuat model jenis itu berkata, geseran yang dihasilkan kurang 12 peratus daripada model CRH380B.
Model kereta api baharu itu dijangka digunakan China untuk membina projek kereta api di luar negara khususnya di Asia Barat dan AS.
Syarikat-syarikat China kini telah membina teknologi rel di Turki, Iran, Venezuela dan berharap dapat menembusi Britain dan Amerika Syarikat.
"Kami ada hak untuk mengeksport teknologi kami," kata Yang.
Menjelang tahun 2013, China dijangka memiliki rangkaian kereta api laju paling komprehensif di dunia dengan 800 buah tren. Ia juga merupakan sebahagian daripada projek Laluan Sutera yang akan menghubungkan Shanghai dan Singapura dengan melalui Rangoon di Myanmar atau Kunming di Wilayah Yunnan ke New Delhi, Lahore dan Tehran.



Simbolik upacara perceraian di Jepun ..

Pelik. Kalau bercerita tentang pelik, Jepun antara yang mempunyai ribuan cara dan teknik pelik dalam kehidupan mereka. Mereka kadangkala mengamalkan sesuatu budaya yang baru dibentuk dan menjadi ikutan pula. Ini sekadar pengamatan aku sahaja bukan pengalaman sebab belum pernah ke negara ini.

Bercerita tentang amalan pelik, mereka juga memperkenal majlis perceraian sebagai simbolik penutup hubungan suami dan isteri. Ternyata, bukan sekadar majlis perkahwinan dianjurkan bagi tanda ikatan kasih dan sayang tetapi juga majlis perceraian bagi tanda berakhirnya ikatan. Namun yang baiknya, apalah salahnya kalau sesuatu yang baik kita mulakan diakhiri dengan baik juga caranya...

TERAI (kanan) memegang cincin perkahwinan pasangan Kenji (kiri) dan Keiko sebelum memulakan upacara memecahkannya dengan tukul.


SEPASANG suami isteri dengan pakaian yang cantik berdiri sebelah-menyebelah. Mereka dikelilingi puluhan tetamu yang merupakan kawan-kawan rapat pasangan.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang mengenakan sut hitam dan boleh diibaratkan sebagai paderi menunjukkan isyarat untuk memulakan upacara penceraian.
Dengan kuasa yang dimilikinya, lelaki berkenaan kemudiannya mengarahkan pasangan suami isteri itu memecahkan cincin perkahwinan mereka dengan sebatang tukul.
Hiroki Terai yang bertindak sebagai perancang upacara penceraian di Tokyo yang juga pada majlis ketika itu berkata:
"Saya tak fikir konsep perceraian adalah satu perkara yang negatif. Daripada terus bertengkar sepanjang masa, adalah lebih baik mereka memutuskan saja perhubungan dan hidup secara berasingan."
Untuk rekod, kadar perceraian di Tokyo semakin ketara sejak era 1960-an. Purata kes perceraian dikatakan melibatkan 70,000 pasangan setiap tahun. Namun pada tahun 2009, ia meningkat empat kali ganda iaitu seramai 253,000 pasangan yang bercerai.
Terai berpendapat, masyarakat Jepun kini menganggap status perkahwinan dan hubungan kekeluargaan lebih mendatangkan tekanan. Justeru, mereka kini mencari peluang untuk melaraskan semula kehidupan yang lebih menenangkan.
"Bayangkan sejak saya kecil, saya selalu ingin tahu mengapa orang tidak mengadakan upacara perceraian sedangkan kalau perkahwinan ada pula satu majlis khas untuk itu.
"Perceraian yang bersifat mesra adalah satu acara yang sangat saya idamkan. Jika saya bercerai, saya mahu sebuah majlis diadakan," katanya bersahaja.
Terai sehingga kini memegang status bujang walaupun usianya sudah menginjak 31 tahun.
Pada minggu lalu, Terai menguruskan majlis perceraian ke-79 dalam kerjanya. Ia melibatkan pasangan Kenji, 38, dan isterinya, Keiko, 36. Terai membantu mereka menyambut permulaan hari bahagia setelah berpisah.
Kenji berterus-terang kepada wartawan sebelum upacara diadakan: "Kami berkahwin sejak tujuh tahun lalu dan saya akui ia bukan satu perkara mudah untuk mengakhirinya dengan hanya menandatangani persetujuan perceraian di atas sehelai kertas.
"Sebenarnya, ia merupakan satu peluang untuk kami menjelaskan perasaan kami seterusnya memulakan kehidupan baharu."
Pertolongan akhir
Bagaimanapun, Keiko yang memakai pakaian berwarna hitam, yang signifikan pada kod pakaian an upacara kematian, dilihat kurang berminat untuk memberi ulasan panjang lebar tentang majlis perpisahan mereka.
Wanita itu hanya berkata, dia berbuat demikian sebagai satu pertolongan terakhir kepada bekas suaminya.
PASANGAN Kenji dan Keiko dibawa berarak sekeliling kota dengan lanca secara berasingan.


Untuk majlis itu, sebagai perancang majlis perpisahan, Terai telah menyediakan lanca untuk dinaiki secara berasingan oleh Kenji dan Keiko yang sedang bersedih.
Beberapa rakan dan taulan terdekat dijemput mengikuti upacara menaiki lanca itu di belakang mereka. Pasangan itu kemudiannya, diserahkan kepada juruacara majlis dan merujuk mereka sebagai 'bekas pengantin lelaki' dan 'bekas pengantin perempuan'.
"Di sebalik keputusan untuk bercerai, terdapat banyak perkara kompleks yang harus anda fahami.
"Kita mendoakan agar hari ini merupakan satu permulaan yang baik untuk kamu berdua," kata juruacara itu.
Sejurus selepas itu, lelaki berkenaan menyerahkan tukul dan meminta pasangan berkenaan memecahkan cincin perkahwinan. Ia disusuli dengan tepukan gemuruh daripada para tetamu.
Upacara terakhir itu nyata membuatkan Keiko bercucuran air mata.
"Ia adalah penghujung kepada sebuah derita, saya terasa sedikit sayu," kata Keiko dengan senyuman dalam tangisan.
Terai yang kini meluaskan perkhidmatannya di Korea Selatan iaitu negara yang mempunyai kadar perceraian tertinggi di Asia berkata, reaksi Keiko itu adalah emosi biasa yang selalu berlaku dalam upacara sedemikian.
"Biasanya setelah memecahkan cincin, mereka kelihatan seperti merasa lega. Tetamu pula menyambut perpisahan itu dengan rasa gembira," katanya.
Dalam pada itu, Terai memberitahu, lebih banyak golongan suami yang menolak pendekatan tersebut untuk mengakhiri sebuah perkahwinan berbanding pihak wanita.
"Bila perhubungan itu berakhir, lazimnya kaum wanita dilihat berupaya mengatur perjalanan hidup dengan mudah, tapi lelaki sukar untuk berbuat demikian," katanya sambil memberitahu sembilan pasangan yang dikendalikannya telah berubah fikiran lalu menolak untuk bercerai pada saat-saat akhir. - AFP