Wednesday, April 20, 2011

Rumah Plastik

(Maklumat catatan ini adalah dari pengamatan dan pengalaman tugasan saya dan sedikit rujukan kertas kerja dan carian di internet. Manakala gambar-gambar adalah koleksi lensa peribadi saya dengan tanda watermark mrkumai.blogspot.com dan juga carian di internet)


Topik kali ini berkenaan pembinaan rumah plastik untuk tanaman. Bagi yang biasa datang ke Cameron Highlands pastinya pernah melihat pelbagai bentuk dan jenis rumah plastik samada untuk tanaman bunga, sayur-sayuran dan juga strawberry.

Rumah Plastik di Sektor Pertanian di Dunia:
Rumah pelindung hujan untuk tanaman biasanya terbahagi kepada dua jenis iaitu rumah kaca , rumah plastik dan rumah polycarbanate. Ianya sangat berfungsi sebagai plot tanaman yang melindungi sepenuhnya atau separuh kesan tanaman dan persekitaran samada suhu, hujan, salji, musim dan serangan seranga perosak.

Dianggarkan jumlah keluasan rumah plastik atau kaca di dunia pada tahun 2000 adalah 70,000 ha dan anggaran perkembangan atau pertumbuhan rumah plastik setiap tahun sekitar 7000 hingga 1200 ha setahun termasuk menaiktaraf.

Namun taburan perkembangan rumah plastik lebih tertumpu di negara-negara maju dan kini mula berkembang di negara-negara Asia malah terdapat juga di negara-negara Arab.

Perbezaan Rumah Plastik dan Rumah Kaca:
Sebagai pilihan popular di dunia, rumah plastik dan kaca menjadi pilihan kerana kelebihan tersendiri:
Contoh rumah kaca di Warragul, Australia
Rumah Kaca selalunya menjadi pilihan di kawasan pertanian yang mempunyai kelembapan yang rendah dan mempunyai kepelbagaian musim cuaca seperti di Eropah.
Kelebihan: Jimat Tenaga, Ketelusan cahaya yang tinggi sekitar 94%, Kurang kos penyelengaraan dan Struktur rumah yang kuat
Kelemahan: Kos struktur dan pembinaan yang mahal, Pembinaan yang agak sukar, Kadar pengudaraan natural yang terbatas.
Contoh Rumah Plastik di Tanah Rata
Rumah plastik selalunya menjadi pilihan di negara yang tidak ketara perbezaan suhu atau musim dan selalunya bagi negara yang membangun.
Kelebihan: Pilihan jenis struktur yang banyak,Pilihan jenis plastik bumbung yang banyak,Kos pembinaan yang murah, Senang di bina.
Kekurangan:Kurang ketelusan cahaya (87%), Kehilangan haba yang tinggi.

Jenis dan bentuk Struktur:
Terdapat beberapa pilihan iaitu samada besi atau kayu.
Jika besi biasanya dipilih dengan rawatan atau jenis 'deep galvanised' bagi mengelakan karat dan ketahanan yang tinggi . Manakala jenis kayu biasanya digunakan adalah merbau dan jati dibahagian tiang untuk mengelakan anai-anai.
Jenis-jenis model Rumah Plastik 
Terdapat beberapa model rumah plastik dan di antaranya adalah jenis mata gergaji atau sawtooth yang mempunyai aliran bumbung yang tajam di sebelah atas, rama-rama atau butterfly yang mempunyai dua bukaan sebelah di atas bumbung, separa bulatan yang tidak mempunyai bukaan di atas bumbung, rata iaitu yang mempunyai permukaan bumbung sedikit condong dan pelbagai lagi.

Pemilihan jenis dan bentuk struktur adalah bergantung kepada jenis tanaman yang ingin ditanam, kadar suhu, kelembapan dan kekuatan arah angin. Selain itu juga perlu mengambil kira keupayaan kos dan lokasi yang dipilih.

Kebanyakan struktur di negara-negara Eropah adalah jenis struktur rama-rama yang mempunyai mekanisma bumbung angin yang  boleh ditutup dan dibuka secara automatik samada melalui sensor atau program. Ini kerana keperluan tanaman ketika musim-musim tertentu. Manakala bagi negara tropika seperti Asia pilihan bumbung berbentuk gergaji lebih diminati kerana berupaya mengalirkan haba keluar dan mengawal kelembapan di dalam rumah plastik.

Struktur rumah plastik mestilah berupaya mengatasi dan menahan rintangan angin dan selalunya kadar ketahanan struktur yang di minati adalah bagi keupayaan ketahanan kelajuan angin 85km hingga 125 km sejam. Begitu juga dengan daya ketahanan struktur menampung berat tanaman khasnya yang mempunyai dan memerlukan sistem sokongan 'trelising'. Kekuatan daya sehingga 25 kilogram setiap meter persegi memberikan pilihan untuk jenis tanaman yang boleh ditanam.

Manakala bagi lapisan dinding biasnya digunakan netting atau jaring halus di antara 25 mesh hinggalah ke 50 mesh setiap inci permukaan. Tujuan jaring ini adalah untuk menghalang serangga perosak memasuki ke dalam plot tanaman. Namun pemilihan mesh yang sangat kecil iaitu melebihi 32 mesh biasanya akan menyekat aliran angin dari luar rumah ke dalam plot tanaman. Ini akan meningkatkan kandungan kelembapan udara atau humiditi dan tidak membantu pendebungaan.

Pemilihan jenis bumbung pula adalah bergantung dengan persekitaran. Terdapat pelbagai versi bumbung plastik yang dicipta khusus untuk keperluan tanaman. Ianya ditentukan dengan ketelusan cahaya masuk melalui istilah UV. Selain itu terdapat jenis-jenis plastik bumbung yang telah direka khusus untuk anti titisan, sebaran cahaya UV, Anti serangga, pengkaburan, anti kabus dan anti habuk.

Mungkin ada di antara anda yang pernah mendengar Control Enviroment Farming atau CEF atau Tanaman di dalam persekitaran yang dikawal. Biasanya ianya dirancang dan digunakan di negara-negara yang beriklim 4 musim di mana suasana di dalam rumah plastik boleh diselaraskan dengan keperluan tanaman biarpun musim bertukar-tukar. Contohnya pemanasan rumah palstik melalui stim yang dialirkan di dalam paip-paip sekiranya suhu terlampau sejuk, pembukaan bumbung atau pelindung di atas bumbung jika kadar radiasi atau cahaya matahari lemah atau terlalu panas, suntikan CO2 atau Karbon diaoksida bagi membantu pertumbuhan pokok, kipas besar untuk mengalirkan haba panas dan mengawal kadar kelembapan. Biasanya semuanya telah diprogramkan untuk berubah dan diaktifkan secara automatik.
Namun di Malaysia, kita tidaklah memerlukan sistem ini kerana cuaca yang konsisten sepanjang tahun.
Pandangan udara rumah plastik di Cameron Highland 2009
Rumah Plastik di Cameron Highland
Rumah Plastik Terawal di Cameron Highlands
Struktur utama rumah plastik kalau mengikut lisan petani di sini bermula pada awal tahun 90an dengan kayu sebagai struktur utama dan biasanya bumbung adalah rata dan sedikit condong untuk aliran air hujan. Namun kini semakin berkembang dan kita dapat melihat bagaimana struktur besi menjadi pilihan utama malah pelbagai jenis bumbung dapat dilihat.

Pada awalnya, rumah plastik yang dibina di Cameron Highland adalah dari struktur kayu dan sedikit pengubahsuaian dengan bumbung plastik untuk pengudaraan. Pembinaan rumah plastik ini diteraju samada oleh syarikat dari luar yang membawa masuk teknologi ini. Namun melihat kepada perkembangan semasa, kebanyakkan petani kini mampu membina rumah plastik sendiri tanpa bantuan luar. Malah mereka juga mampu untuk membuat rekaan bentuk dan binaan rumah plastik sendiri. Dianggarkan melebih 1500 ha tanaman menggunakan rumah plastik sama ada bunga ataupun sayur-sayuran.
Penambahbaikan rumah plastik oleh Petani


   


(Catatan ini mula dimuatnaik pada 27 May 2011 dan akan dikemaskini dari masa ke semasa....)

Monday, April 18, 2011

Red Coral

Kalau datang ke Cameron Highlands, pasti yang akan anda terfikir adalah strawberry, tomato, teh , bunga dan jugak barangkali sayur-sayuran. Rasanya kali ini aku nak kongsi sedikit mungkin satu lagi pilihan untuk anda membeli 'Red Coral' atau salad karang merah. Aku tak pasti kalau betul terjemahannya sebab mana pernah panggil dalam bahasa melayu. Red Coral sebenarnya salah satu variety salad yang boleh ditanam di sini. Selain itu mungkin sudah biasa dengan iceberg atau green coral atau butterhead atau mini romainie. Namun kesemua ini bukanlah berasal dari sini semata-mata tetapi kebanyak dari negara-negara Europe atau mungkin dari Amerika. Namun dek kerana kesesuaian dan mungkin keperluan yang menyamai dengan negara asal , maka Cameron Highlands menjadi pusat tanaman bagi sayuran ini. Namun begitu perubahan teknlogi juga nampaknya semakin baik berkembang di sini. Kalau dahulu. petani menanam diatas tanah dan kawasan terbuka, kini semakin ramai yang beralih ke sistem tanaman hidropnik yang lebih berskala besar antaranya aku sendiri yang menanam di dalam rumah plastik dan menggunakan sistem tanaman hdiropnik berasaskan Nutrient Fil Tecnique atau famous dengan nama NFT cukup menarik. Menarik pada kawalan penyakit, pusingan tanaman dan juga senang tetapi bukan terlalu senang. Mari kita kongsi sedikit berkenaan Red Coral:

  1. Tanaman dari varietie musim summer menjadi keutamaan. 2. Tempoh di nursery dilinkungi 20-25 hari malah mungkin kurang jika panas.

  2. Tempoh matang di plot tanaman dalam lingkungan 24-30 hari.

  3. Berat sepokok dalam anggaran 250-300 gram.

  4. Kesan penyakit kurang kecuali penyakit bawaan air.

  5. Bagi penyakit seranggan serangga perosak agak kurang jika ditanam dalam rumah plastik yang bertutup.

  6. Media utama penanaman adalah berasaskan air yang sentiasa mengalir.

  7. Ranggup dan tidak pahit.
Tips Membeli Red Coral.

  1. Pastikan anda melihat harga pada berat bukan kepala. Maklumlah harga semasa RM 5.00 atau kurang memerlukan 3-4 kepala.

  2. Tidak tahan dengan panas. Kalau membeli belah di Cameron Highlands, belilah semasa hari terakhir.

  3. Periksa helaian dalam untuk memastikan tiada larvae atau serangga. Ini adalah jenis sayur paling susah nak periksa.

  4. Jangan makan tanpa basuh dahulu. Mungkin telah diracun. Sebenarnya Post Harvest Interval dan sukatan Minimum Residue Level racun untuk sayuran daun ni paling kurang 4 hari. Bayangkan kalau pekebun tidak mematui tempoh ini dan telah menuai unutk dijual dan saya selalu melihat ramai pelancong yang suka meratah termasuklah strwaberry.
Jadi selamat mencuba Red Coral. Untuk lebih banyak gambar red coral , periksa laman picasweb/mrkumai untuk melihat koleksi gambar.
Posted by Picasa

Saturday, April 16, 2011

Tips Melancong ke Cameron Highlands

Terdapat banyak catatan untuk siri Tips Melancong ke Cameron Highlands di mrkumai atas dasar pengamatan dan pendapat peribadi. Semoga dapat membantu anda membuat perancangan dan perjalanan anda. Jika ada pertanyaan, sila ajukan di ruangan ulasan, dan Insyaallah saya akan cuba membantu... Anda boleh membuat carian di sini dengan kata kunci Tips, Cameron Highlands, pertanian dan sebagainya untuk terus ke tips-tips yang telah saya muat naik.  


Ramai kawan-kawan yang bertanya apa yang boleh dilawati di Cameron highlands, malah ada bertanya bagaimana hendak melancong di sini dengan kos yang minima. Selalunya aku akan menjawab dengan jawapan yang standard dan akan berulang kali nasihat yang sama. Mungkin bagi aku ini yang terbaik tetapi aku lebih suka meletakan nasihat ini sebagai salah satu pilihan cara untuk melancong disini. 

Ada cara dan pendapat yang lain yang lebih baik barangkali. Jadi untuk permudahkan, aku cuba senaraikan satu persatu:

Waktu yang sesuai:
Ramai yang selalunya memilih untuk datang ke Cameron Highlands pada waktu cuti panjang seperti cuti sekolah, cuti umum dan juga hujung minggu yang biasa. Nasihat aku, kalau boleh membawa ahli keluarga yang lain, elakkan memilih tarikh utama percutian umum seperti Tahun baru , Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali atau hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum. 

Juga kalau boleh elakkan masa cuti sekolah yang pendek seperti cuti sekolah bulan 3 dan 8 yang seminggu sahaja tempohnya. Ini kerana semua cuti ini dianggap 'peak season' di sini malah semua kos sama ada bilik sewa, hotel atau apartment juga akan penuh. 

Bayangkan pada hari biasa, 3 bilik apartment berharga sekitar RM 200-250 semalam boleh melonjak ke RM 350 malah ada yang menyentuh RM 450 semalam. Hotel memang sudah awal-awal istiharkan musim pucak atau peak season. Maka harganya pasti melonjak naik dan mereka selalunya akan meletakan harga ini kerana terdapat permintaan yang melebihi penawaran bilik hotel yang sedia ada. 

Ada yang bertanya, bila musim hujan, akau cadangkan selalu perikasa laman Jabatan Kaji Cuaca. Musim tak menentu disini. Bulan 3 hingga 7 sepatutnya musim panas tapi selalu hujan jugak.


Rancang penginapan anda
Bagi yang suka-suka datang berkeluarga besar atau mungkin dua atau tiga buah kereta, cadangannya sewalah apartment percutian kerana selalunya ada 3 bilik yang selesa dengan kadar yang lebih murah. Banyak apartment sewa harian yang ditawarkan dan pastinya Pekan Tanah Rata adalah keutamaan. 

Hotel Cool Point di Tanah Rata
Kalau ditanya di mana yang terbaik, kalau dapat di Desa Athurium , Arabela (tanya dahulu blok mana, kalau blok A , cadangan jadi pilihan terakhir, kalau block B ,C tu bagus, kalau Blok E, F, G atau H pun kira ok).

Kalau ada yang offer Flat Jasar, rasanya tolaklah ... sempit ... Carnation Park masih boleh diterima lagi dan masih selesa. Brijcourt di tengah bandar Tanah Rata manakala Parkview Apartment pun tengah bandar, Jika anda mendapat tawaran Apartment di Royal Lily, jadikanlah sebagai pilihan ke dua kerana saiz apartment kecil. 

Di Brinchang , kalau offer Flat tu, tengok lah dahulu. Terdapat banyak pilihan hotel budget di kawasan pekan ini tetapi amat kurang apartment di sana, cuma di antara yang bagus adalah Villa Dahlia.

Bagi mereka yanggemarkan homestay, dicadangakan Taman Sedia yang memberikan peluang kepada anda untuk menginap secara homestay dan dikelilingi dengan kebun-kebun strawberry milik pengusaha bumiputera. Pasti menjadi satu pilihan menarik untuk anda. Ingin mencuba, sila lanjutkan di catatan Homestay di Tanah Tinggi ini . 

Panduan Perjalanan
Kejadian tanah runtuh adalah senario biasa di sini
Aku cadangkan , kalau sampai belilah Map Cameron Highlands. Ada beberapa versi yang bagus dan lengkap dengan harga di antara RM 3.00 hingga RM 5.00 sebuah.

Atau yang kedekut dengan duit tu bolehlah guna internet di Pejabat dan Printer di pejabat untuk print out mana-mana website yang berkongsi peta percutian di Cameron Highlands . 

Bertolaklah awal pagi dari rumah anda untuk sampai tengahari di sini dan nikmati waktu lebih panjang. Aku selalu cadangkan kepada kawan-kawan untuk ke Cameron Highland boleh melalui 4 laluan sama ada dari Timur, Tengah dan utara. 

Pertama laluan Tapah - Ringlet tapi cukup memeritkan bagi yang berkeluarga. Hanya 54 km dari Tapah untuk sampai di Ringlet dan akan melalui kawasan Air Terjun Lata Iskandar di pertengahan jalan. Jalannya sempit dan berliku-liku. 

Kedua bagi yang mahukan perjalanan santai bolehlah melalui Simpang Pulai ke Kg Raja, jauhnya lebih kurang 80 km. 

Ketiga dari Gua Musang boleh melalui Lojing ke Kg Raja. Laluannya juga santai dan selesa tapi bukan untuk perjalanan malam. Gelap gelita dan sunyi sepi. 

Keempat laluan baru Raub-Sungai Koyan - Pos Betau ke Bertam Valley ... 125 km tapi laluan baru malah belum digazetkan. Bahaya untuk perjalanan malam dan kalau terlibat dengan kemalangan, insuran tidak tanggung kerana jalan belum gazet. Tetapi baru-baru ini ada khabar mengatakan ianya telah diserahkan kepada kerajaan untuk digunakan oleh pihak kontraktor.

Untuk mengetahui cabaran laluan menuju ke Cameron Highlands dan melalui laluan Tapah, and aboleh meneruskan pembacaan anda di catatan 270 liku ke Puncak ini...


Tambah kapsyen
Pakej Lawatan: 
Rata-rata tempat lawatan boleh dikunjungi dengan kenderaan ringan kecuali berhajat untuk off road. 

Beberapa syarikat travel membuat trip perjalanan haraian khasnya untuk pelancong asing dengan harga sekitar RM45- 85 samada sehari penuh atau separuh hari antaranya TJ Travel, Kang Travel dan banyak lagi. Pkej mereka merangkumi perjalanan ke kawasan penempatan Orang Asli beserta pakej melihat bunga raflesia yang terdapat dibeberapa kawasan di sekitar Lojing, Lawatan ke Ladang Tea dan Gunung Brinchang termasuklah ke Mossy Forest, Lawatan ke Kebun Lebah, bunga dan sebagainya.  
Malah terdapat  pakej untuk anda melihat suasana matahari terbit yang bermula dari seawal pukul 5 pagi. Semuanya ditawarkan setiap hari.

Tempat Lawatan : 
Aku selalu mencadangkan tempat-tempat berikut ; Hari Pertama kalau sampai lawatlah Pekan Tanah Rata dan mungkin boleh singgah di Bharat Tea Plantation Tea Centre di sebelah jalan dan ke Stesen Mardi di Tanah Rata atau ke Ladang Strawberry di Taman Sedia atau ke Cactus Valley dan Red Big Starwberry Farm di Brinchang. 

Bila malam menjelang, silalah ke Pasar Malam Brinchang yang dibuka pada malam Sabtu dan Ahad atau sepanjang malam sepanjang cuti sekolah. Di sini anda akan menemui banyak gerai jualan sayur-sayuran, strawberry dan barangan cenderhati untuk dibawa pulang. 

Parit Fall antara laluan trek yang boleh anda uji di sini.
Hari Kedua, mungkin boleh ke Kea Farm atau Sungei Palas Tea Centre dan alang-alang ke sana , lencongkan pendakian anda ke kawasan ladang tea menuju Mossy Forest dan terus ke Puncak Gunung Brinchang dalam jarak 8 km. 

Kalau memilih waktu cuti umum , maaflah. Perjalanan yang sepatunya hanya 20 minit melalui pemandangan menakjubkan ladang teh boleh menjadi lebih 2 jam atau lebih. Berbaloi ke tidak untuk datang dan tersekat dalam kesesakan jalan raya. 

Malam ke dua boleh menikmati steamboat di mana-mana restoran di Brinchang dan Tanah Rata. Antaranya bagi mereka yang beragama Islam , Glory 78 selalunya menjadi pilihan masyarakat setempat termasuk saya. Manakala terdapat banyak restoran milik pengusaha Cina yang menawarkan steamboat sama ada di Tanah Rata atau pun di Brinchang. 

Hari ketiga cadanganya bolehlah ke Kea Farm untuk membeli belah sekejab terutamanya sayur-sayuran untuk dibawa pulang. Ramai yang sudah membeli belah sayur-sayuran dan bunga malah strawberry pada malam pertama sampai . Kesudahannya semua sudah tidak segar lagi.

Nasihat ketika berbelanja: 
Jangan beli barang-barang berikut : Madu yang dijaja. Bukan asli malah kami sebagaia penduduk tempatan langsung tak pernah nampak penjual-penjual sepanjang hari biasa. Madunya dipercayai palsu. Beli madu di Bee Farm. 

Kedua kalau ke pasar malam , jangan beli jambu kristal atau epal Cameron sebab semuanya tipu. Jambu dikisar kulit dan dicelup pewarna hijau. Malah pernah senyap sekejab selepas CAP Penang buat pendedahan. 

Ketiga JAGUNG Mutiara Cameron Highlands, susah nak kenal pasti sebab sekarang banyak yang datang dari Kampar dan Ipoh. Selalunya saiz jagung Cameron tidak besar dan tidak panjang sangat. Kalau dah beli Jagung ni bukan untuk direbus tapi mesti dikukus atau dibakar sahaja. Jika anda merebus, jagung  akan keras. 

Keempat , Bunga Kering yang kononnya tahan 5 tahun... lupakan sahaja.

Kelima Sayur-sayuran paket, nampak menarik samapi 12 paket dengan harga RM 10 tapi beli bawah kadang2 lebih murah . Sekilo pun tak sampai kalau kira berat tu. Lobak, asparagus , cendawan dan beberapa lagi bukanlah berasal dari Cameron Highlands malah anda mudah dan murah jika membeli di bawah.

Keenam, Bagi yang muslim, kalau gerai peniaga bukan Muslim biasanya ada pekerja Indonesia yang jualkan terutamanya kuih, kentang , jagung , strawberry kering , jadi tepuk dada tanya selera samada was was atau tidak. Hebatnya meraka ini, setelah seketika bekerja, pekerja yang berasal dari Indonesia ini mampu  bertutur dalam dialek Kedah, kelantan, Terengganu malahan dialek Cina seperti hokkien dan kantonis!!!

Ketujuh bila memilih Apartment, survey dahulu harga dengan beberapa owner sebab kadangkala owner hanya meletak harga murah tapi runner atau midle man yang menaikkan harga tinggi. Apartment muslim ada yang khusus tak bercampur terutamanya yang ingin memasak sendiri. 

Kelapan, bagi yang muslim yang mementingkan makanan, di sini Restoran Mamak atau Nasi Kandar hanyalah Restoran Mutiara Nasi Kandar dan selain itu kebanyakan Restoran India yang menggunakan tilte nasih kandar. Tapi bagi aku , Restoran Mutiara ni boleh diragui jugak sebab kadang-kadang pekerja dia bukan muslim pun ada pekerja Bangla pun ramai. 

Oooo lupa di Brinchang ada satu lagi restoran nasi kandar berdekatan Kavy Hotel. Hotel yang halal , mmmm rasa-nya ada satu atau dua sebab nak kata halal semuanya ada jual arak , wine dan sekutunya.

Kemudahan Kesihatan : 
Klinik swasta disini terhad dan tidak dibuka sepanjang malam atau pada cuti umum. Namun hospital di sini amat besar dan kurang pesakit dan selalunya layanan boleh dikatakan dalam suasana first class dan kalau kes yang agak berat terus dihantar ke Ipoh. Anda terasa lebih baik dari hospital swasta.


Kemudahan Internet : 
Bagi yang dah ada broadband sendiri, sini liputan adalah agak jelas jika dikawasan bandar. Hotel pun banyak yang bagi percuma. Starbuck, Marybrown dan beberapa restoren juga meberi secara percuma free.

Rasanya setakat ini dahulu untuk tips melancong disini. Mungkin lain kali boleh kongsi lagi. Mungkin yang nak lihat gambar sekitar Cameron Highlands boleh ke link dibawah picasaweb dibawah carian mrkumai ...

Klik Koleksi TIPS BERCUTI DI CAMERON HIGHLANDS ini untuk lebih banyak tips di sini.

Jika anda merasakan artikel dan catatan ini membantu anda atau ada sebarang cadangan info untuk penambahbaikan, saya amat mengalu-alukan anda meninggalkan sedikit kata-kata di ruangan ulasan di bawah. Terima kasih.

Felda Kumai, Triang Pahang

Pengenalan:

Buat yang pertama kali membaca dan menyebut nama Felda Kumai, ianya terletak 29 km dari Bandar Simpang Kerayong yang kini menjadi pusat pentadbiran bagi Daerah Bera. 

Berkeluasan sekitar 2300 hektar dengan tanaman kelapa sawit menjadi tempat rezeki kepada 530 buah keluarga dan perkembangannya berlaku dengan tiga peringkat pengambilan peneroka pada penghujung 1979 dan awal 1980.

Felda Kumai merupakan sebahagian penempatan peneroka dengan tanaman kelapa sawit pada awal 1980an dan kini telah ditanam semula dengan tanaman yang sama selepas melebihi 25 tahun sekitar 2004 dan mula mengeluarkan hasil bagi generasi kelapa sawit yang kedua.

Lokasi:

Ingin ke Felda Kumai, pilihan laluan anda.
Terletak di antara salah satu penempatan felda di kawasan Gugusan Bera, Triang, Pahang.

Dengan perjalanan satu jam 32 minit daripada Bandar Temerloh, Pahang atau 28.4 km jarak perjalanan dari Bandar Triang. Bersempadan dengan Felda Mayam di sebelah Timur  dan Felda Rentam di sebelah selatan serta bersempanan dengan Hutan Simpanan Chini di sebelah Tenggara.

Felda Kumai boleh dikunjungi melalui berapa jalan darat samada dari Kuala Lumpur, Kuantan mahupun dari Melaka atau Negeri Sembilan.
  • Jarak dari Kuala Lumpur  melalui Jalan Duta - Lebuh Raya Karak - Jalan Utama Bera sejauh 187 km, 3 jam 13 minit.
  • Seremban Kuala Piliah- Triang- Felda Kumai 151 km , 2 jam 45 minit
  • Kuantan ke Temerloh ke Felda Kumai , 197 km, 3 jam 19 minit 
  • Kuantan - Muadzam- Bera , 193 , 1 jam 8 minit
  • Felda Kumai - Felda Mayam , 8.3 km, 11 minit
  • Felda Kumai- Felda Rentam ,7.7 km , 10- minit
  • Felda Kumai- Tasik Bera, 29.6 km, 34 minit
  • Felda Kumai- Simpang Bera, 28.4 , 33 minit
  • Felda Kumai - Temerloh , 57.9 km, 1 jam 32 minit

Terdapat jalan pintasan melalui Chenor iaitu melalui jambatan baru Chenor ke Seberang Chenor dan memasuki jalan ladang kelapa sawit ke Felda Purun. Anda akan melalui perkampungan tradisional Pahang di sekitar Chenor.


Awal Pembukaan:

Felda Kumai dibuka pada tahun 1974 dengan penerokaan hutan dan ladang serta mula menerima  penempatan peneroka pada penghujung 1979 dan awal 1980 dengan pengambilan peneroka dari seluruh negara.

Terdapat peneroka yang berasal dari Perlis hinggalah ke Johor malah turut melibatkan Terengganu dan juga Kelantan dan menjadikan ianya unik dengan percampuran adat tradisi bangsa melayu berbilang negeri.

Berkisar dengan 3 pengambilan peneroka iaitu peringkat pertama, kedua dan ketiga secara berperingkat sehinggalah berjumlah 530 keluarga secara keseluruhannya. Malah terdapat blok Bakal Calon Peneroka atau dikenali sebagai BCP sebelum diserapkan sepenuhnya sebagai peneroka Felda Kumai.

Seawal penempatan peneroka, setiap peneroka akan diserahkan kebun yang telah ditanam dengan kelapa sawit seluas 10 ekar atau 40,000 meter persegi dan 0.25 ekar atau 1,000 meter persegi untuk kediaman dan kemudahan pembangunan dan nilainya dibayar secara ansuran oleh Peneroka selama 15 tahun.

Pada tahun 2004, peneroka Felda Kumai telah menerima penyerahan geran ladang dan tapak rumah secara individu daripada Kerajaan Negeri Pahang.


Pelan penempatan Felda Kumai
Bagi anak-anak generasi ke 2 yang sempat merasai tahun-tahun awal semasa pembukaan (bagi berumur 34 tahun keatas ) pasti akan dapat berkongsi bagaimana keperitan kehidupan awal di Felda Kumai.

Ketiadaan bekalan air terawat sehingga pertengahan 1980 an bukan semata-mata cabaran tunggal di sini.

Bekalan elektrik hanya terbekal sepenuhnya oleh Lembaga Letrik Nasional pada 1990. Sekolah awalnya hanya menumpang di  Sk Felda Mayam sehingga pada 1983.

Manakala sekolah menengah pula hanya mengharap SMK Felda Purun sekitar 12 km  dan SMK Bera, Bandar 32 dan pada sekitar 1997 sebahagiannya ke Sekolah Menengah Triang 3.

Aku mungkin lahir selepas zaman-zaman awal atau masih teringat sedikit sahaja kesusahan tersebut. Cuma aku dapat catatkan beberapa perkara yang masih segar atau teringat:
  • Jalan masuk dari Simpang Kerayong sehingga tahun 1985 masih lagi bertanah merah. Satu kejadian runtuhan jalan sebelum pos Felsco (Felda Security ) simpang ke Triang 1 terpaksa di lencongankan.
  • Air minum dan mandi masih di kongsi di kepala paip di depan rumah . Kalau tak silap 10 buah rumah kongsi satu paip air.
  • Pernah gajah liar menceroboh blok 12 (Belakang rumah Pak Cik Rahim) waktu tengah malam. Dan Mergastua (Perhilitan) pernah menangkap beruang di Hutan Simpan Chini (hutan dibelakang kawasan Felda Kumai).
  • Sekolah pertama hanya dibuka awal tahun 1983 atau 84 kalau tak silap. Sebelum itu, sekolah terdekat hanyalah SK Felda Mayam melebihi 13 km jauhnya. Bagi mereka yang masih ingat Bas Sekolah Pak Cik Radhi berulang alik. Bagi sekolah menengah, kebanyakan akan ke Asrama Sekolah Menengah Felda Purun.
  • Kalau tak terlupa, dulu awal2 mak ayah kita pergi muster di pejabat ladang. Atau masa baja sampai , ramai-ramai gotong royong angkat masuk lori. Dan bergerak ke ladang menaiki pula traktor yang dibawa oleh Encik Mukhtar.
  • Sistem Ladang dulu secara berkelompok sehingga penghujung 90 an sebelum hak milik diserahkan sendiri olehMenteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob di padang awam Felda Kumai.
    Gambar diawal penempatan sumbangan Rohaya
  • SISTEM BLOK diperkenalkan untuk urusan pembahagian kawasan tanaman untuk setiap peneroka. Ada blok yang menggunakan sistem 3 ekar , 4 ekar dan 3 ekar di lokasi yang berbeza. Ada yang 4 ekar , 4 ekar dan 2 ekar bergantung dengan rupabentuk muka bumi.
  • Setiap kali 'potong buah' macam pesta dalam ladang. mak ayah bawak anak beranak potong buah. Selalunya 3 hari sahaja 'round potong buah' dan 2 kali sebulan.
  • Membaja dalam tempoh 4 bulan sekali dengan 10 bag setiap seorang atau seekar satu bag. Paling popular baja Urea atau kami panggil garam kasar.
  • Dahulu masa pertengahan tahun 1980 an terutamanya pada 1985-1987 , ketika harga sawit jatuh teruk, ada yang bapa-bapa kita yang bergaji kurang RM 1.00 malah ada yang negatif! Sungguh perit dan sengsara.
  • Dulu awal bulan 'kantin' atau kedai Kedai Niaga Felda (Tak ingat nama betul) akan penuh dan sebelum tu siap tulis barang apa nak ambik. Kemudian pakat tunggu nombor dipanggil. Bukan nombor rumah tapi no peneroka ..no. ayah aku ..1803.. aku masih ingat..
  • Masa dahulu hanya berapa kerat yang ada kereta. Selebihnya satu rumah satu motor... pergi sekolah naik basikal atau jalan kaki atau orang tua ambik.
  • Hobi bebudak masa dahulu jelas sangat bermusim, basikal , bola sepak, layang-layang dan permainan kanak-kanak malah memikat burung serindit. Manakala padang bola penuh dengan abang-abang belia bermain bola.
  • Kalau sebut bola sepak , masa tu cukup hebat sebab abang-abang kita semua remaja yang aktif malah kalau kejohanan 7 atau 9 sebelah boleh jadi karnival besar. Felda Kumai pernah menjadi johan pasukan bolasepak antara Felda Gugusan Bera pada tahun 1989 atau 1990 dibawah jurulatih Cikgu Kamaruzaman. Perlawanan akhir di Padang Felda Sebertak dan Koperasi Felda menyediakan Lori untuk mengangkut penyokong. Aku antara penyokong yang turut sama terlibat.
  • Selain daripada itu , kalau tak silap Felda Kumai pernah menjadi pentas persembahan di Padang. Yang aku ingat Ahmad B, Haslina Kamsan... sape lagi lupa...
  • Bekalan elektrik hanya diterima dibawah Lembaga Lektrik Negara nama TNB pada masa itu sekitar tahun 1990. Jalan di hadapan rumah mula diturap 'crusher run' pada tahun 1989.
  • Pekan sehari pada hari Ahad atau lebih dikenali dengan Pekan Sari (untuk jualan pasar) pada awalnya adalah sehari suntuk tetapi pertengahan 1990, pekan sari hanya beroperasi setengah hari dan Pasar Malam mula mengambil tempat pada setiap rabu malam Khamis.

Felda Kumai terkini;

Sehingga kini, Felda Kumai seperti felda-felda yang lain sentiasa berkembang dengan pembangunan samada melibatkan sosial dan juga ekonomi masyarakatnya.
TADIKA atau TABIKA seawal 1980an
Memiliki institusi pendidikan seawal usia seperti Tadika Kemas, Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Rakyat melahirkan lapisan generasi yang berjaya dalam pendidikan dan lahirnya ramai golongan profesional. 

Begitu juga dengan kemudahan telepon ke rumah pada tahun 1998 dan kini kemudahan rangkaian telepon bimbit dari semua pernyedia perkhidmatan.
Bekalan air juga tersedia namun sehingga tahun lalu masalah bekalan air yang menghantui Felda-felda sekitar Bera masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.
Rumah-rumah peneroka mula berubah wajah dengan pengubahsuaian yang dilakukan oleh peneroka dari hasil ladang masing-masing. Malah konsep satu rumah satu motorsikal seawal penempatan kini mula bertukar konsep dengan deretan motorsikal dan kereta milik peneroka dan generasi keduanya. 

Rimba Rekreasi Bukit Bertangga:

Rimba Rekreasi Bukit Bertangga adalah kawasan rekreasi seperti air terjun dan latanya.
Terdapat 2 air terjun pada ketinggian 20 meter dan 30 meter setiap satunya dan lebih utama adalah laluan airnya yang jernih dan begitu sejuk.
Terdapat kemudahan seperti laluan kenderaan, tandas, tempat berkelah dan kemudahan perkhemahan yang dibina selepas tahun 2000.
Namun sebenarnya kawasan air terjun ini mula dikunjungi oleh peneroka dan keluarga semasa dan selepas kegiatan pembalakan sekitar tahun 1984-1986 di kawasan ini dengan kemudahan jalan balak yang dibina oleh syarikat ini. Ikuti catatan mengenai Rimba Rekreasi Bukit Bertangga.

Selamat berkunjung ke Felda Kumai... catatan yang lain mengenai Felda Kumai juga telah dimuatnaikan...


gambar lama dipinjam daripada Rohaya Razak, http://www.facebook.com/profile.php?id=702838051

Satu Permulaan...


Puas aku fikir, apa yang nak aku tulis sebagai permulaan kepada blog aku ni.. kadang-kadang , lama pula sampai nak pening kepala. 


Jadi sebagai permudahnya, Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua yang sudi singgah disini. 

Mungkin apa yang akan dibaca atau anda perolehi disini tidak bermakna atau sekadar menjadi picisan untuk dilihat. Tak mengapa sebab tujuan aku menulis disini bukan juga untuk menarik minat semua orang sampai terpaku dan mengikut. 

Jadi apa yang aku nak tulis? Aku pening jugak .... maklumlah , bukan pandai pun nak menulis .. tapi bila baca blog kawan-kawan.. mmm menarik juga. Jadi aku rasa cukuplah sebagai permulaan ni aku kongsi aje apa yang nak dikongsi.. 

Kalau rasa ada manfaat , silalah untuk tindakan selanjutnya. tapi kalau rasa membazir masa, mintak maaf laa.. lebih baik buat kerja yang lain yang lebih bermaanfaat. 

Sebagai permulaan juga, elok diperkenalkan diri, aku dikenali dengan beberapa nama ... keluarga dan orang kampung panggilnya Sham , rakan sekolah panggilnya Kumai , Kawan di UiTM Jengka panggil KG ... dan sekarang lebih dari 11 tahun aku dipanggil Jack. 

Jangan tanya kenapa dan bagaimana nama-nama ni boleh melekat.... Sekitar pusing-pusing Felda Kumai, Asrama Semai Bakti Tun Abd Razak dan SM St Thomas Kuantan, atau barangkali dari keluarga DPIIM UiTM Jengka , mungkin masih terkesan dan terkenang dikalangan kawan-kawan Kumpulan Guthrie dan kini kepada Cameron Highlands... yang kenal atau tidak mengenali ... tak jadi masalah ... 

Ok .. insyaAllah .. kita jumpa lagi ...
Posted by Picasa