TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Sunday, September 3, 2017

Madu Tiruan di Cameron Highlands?????


SETIAP kali berkunjung ke Cameron Highlands, Pahang untuk bercuti, Muhammad Farhan Abdul Rahman, 28, pasti membeli beberapa botol madu yang banyak dijual di kawasan peranginan tanah tinggi itu.
Khasiat madu yang dikatakan boleh memberi tenaga tambahan selain meningkatkan sistem imun tubuh badan antara faktor yang mendorong Muhammad Farhan untuk meminati hasil lebah itu.
"Harga madu yang dijual sangat murah berbanding kawasan lain iaitu sekitar RM15 hingga RM20 sebotol kecil bagi madu jenis tualang dan kelulut.
"Biasanya, saya akan membeli kira-kira enam botol untuk diberikan kepada ahli keluarga yang lain.
"Bagaimanapun, saya terkejut apabila akhbar Kosmo! mendedahkan, kebanyakan madu yang dijual di Cameron Highlands, Simpang Pulai dan Tapah di Perak adalah tiruan serta tidak asli. Bila diselidiki, madu itu sama seperti yang selalu saya beli.
"Patutlah saya tidak merasai apa-apa kesan kesihatan sepanjang lebih dua tahun mengamalkan madu itu.
"Saya harap, pihak berkuasa akan ambil tindakan tegas dan bersepadu bagi memantau penjualan madu tiruan," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Muhammad Farhan menambah, semua madu yang pernah dibeli mempunyai rasa, warna serta struktur yang sama seperti madu asli.
Seorang penternak madu kelulut di Kampung Rinching Hilir, Bangi, Selangor, Fadirul Fais Baharudin, 29, pula berkata, walaupun jualan madu asli tidak terjejas dengan lambakan madu tiruan, dia bimbang perkara itu akan merosakkan industri berkenaan jika pengguna hilang kepercayaan terhadap hasil madu.
"Harga pasaran madu kelulut sekitar RM290 sekilogram manakala madu lebah tualang RM190 tetapi madu tiruan pula dijual serendah RM30 untuk sekilogram. Kebanyakan pengguna menjadi rambang mata apabila ditawarkan madu dengan harga yang lebih murah.
"Sukar untuk saya menjelaskan kepada pelanggan mengapa terdapat madu yang lebih murah. Mahu dakwa madu murah itu sebagai tiruan, kami tiada bukti.
"Saya hanya boleh nasihatkan mereka supaya beli terus daripada penternak atau pencari madu asli," ujarnya.
Madu lebah dan kelulut mempunyai banyak khasiat kepada manusia sama ada sebagai bahan pemanis semula jadi, penjagaan kesihatan dan kecantikan serta merawat pelbagai jenis penyakit.
Khasiat itu telah diketahui semenjak peradaban awal manusia sekitar 2,000 sebelum Masihi berdasarkan kepada penemuan batu bersurat mengenai madu yang dijumpai di Sumeria (kini Iraq).
Analisis makmal
Bagaimanapun, ramai orang tidak sedar, kira-kira 80 peratus hasil madu yang dijual di pasaran negara merupakan madu tiruan dan boleh mengundang bermacam-macam penyakit jika diambil secara berterusan.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini turut mendedahkan kewujudan madu tiruan apabila 15 sampel madu yang dibeli di pasaran didapati tiruan melalui analisis makmal di sebuah makmal swasta di ibu negara.
Lambakan madu tiruan di pasaran ketika ini menggusarkan pengguna kerana tiada agensi atau peraturan yang mewajibkan penyemakan status ketulenan madu itu sebelum dijual kepada pengguna.
Pakar Penyelidik Madu Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Wan Iryani Wan Ismail menjelaskan, madu dihasilkan daripada sumber nektar bunga atau air sap tumbuhan melalui beberapa proses fisiologi tertentu di dalam perut lebah atau kelulut.
Jelas beliau, madu itu akan disimpan di dalam sarang yang dibina sehingga menjadi matang dan sesuai dituai untuk pelbagai kegunaan.
"Berbeza dengan madu tiruan, ia boleh dibahagikan kepada dua iaitu madu campuran dan madu sintetik.
"Madu campuran mempunyai kandungan madu lebah asli tetapi dalam kepekatan yang rendah dan dicampur bahan lain seperti air gula tebu untuk mendapatkan kuantiti yang banyak.
"Madu sintetik pula dihasilkan dengan menggunakan sirap jagung berfruktosa tinggi atau air gula seratus peratus tanpa campuran madu asli.
"Air gula Melaka juga diguna untuk mendapatkan warna kuning keperangan seperti warna madu lebah asli," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Wan Iryani, terdapat juga produk tiruan di pasaran yang mencampurkan madu lebah asli murah dengan air limau, lemon atau cuka untuk menghasilkan madu kelulut bagi memperoleh keuntungan berganda berikutan harga yang mahal.
Beliau berkata, keadaan bertambah buruk apabila terdapat penjual madu yang berani menambah pelbagai bahan kimia terlarang seperti tadalafil iaitu sejenis bahan perangsang seks untuk menghasilkan khasiat madu tiruan yang sama dengan madu asli.
"Kajian yang dilakukan oleh mantan profesor di Universiti Malaya, Dr. Kamaruddin Mohd. Yusoff sekitar 2005 mendapati, sebanyak 77 peratus madu yang dijual di pasaran di seluruh Malaysia adalah tidak asli.
"Pihak berkuasa menggunakan hasil kajian itu untuk mengekang aktiviti penjualan madu tiruan.
"Bagaimanapun aktiviti penghasilan dan penjualan madu tiruan dilihat kembali rancak sejak akhir-akhir ini," ujarnya.
Menentukan keaslian madu adalah satu proses yang kompleks kerana kaedah tradisional yang sering digunakan oleh masyarakat di Malaysia tidak tepat dan diragui selain bertentangan dengan ciri-ciri madu asli.
Jelas Wan Iryani, kaedah makmal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah berdasarkan kaedah yang ditetapkan oleh Codex Standard for Honey, Stan 12-1981 (Codex).
Parameter
Kaedah Codex menetapkan beberapa parameter yang perlu diukur untuk menentukan keaslian sesuatu madu antaranya, kandungan 5-hydroxymethylfurfural (HMF), gula penurun, gula sukrosa, aktiviti enzim dan beberapa parameter lain.
"Bagaimanapun, kesemua parameter itu perlu diukur kerana sesetengah parameter dapat ditiru dalam penghasilan madu tiruan dan wujud dalam madu asli yang berkualiti rendah," katanya.
Sebagai contoh, kandungan sukrosa dalam madu asli yang tidak melebihi lima peratus dapat dihasilkan dalam madu sintetik apabila kandungan utama madu tiruan itu menggunakan sepenuhnya bahan kimia tanpa campuran gula.
"Kandungan HMF yang melebihi paras dibenarkan oleh Codex iaitu 80 miligram bagi setiap kilogram madu turut hadir dalam madu asli yang berkualiti rendah seperti madu yang dipanaskan dengan suhu terlampau tinggi untuk mengurangkan kandungan air.
"Bagaimanapun, kandungan HMF hampir tidak didapati jika sesuatu madu itu segar atau baru dituai," katanya.
Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan, Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Suri Roowi berkata, madu asli sangat istimewa kerana ia mengandungi pelbagai jenis enzim semula jadi.
Katanya, kehadiran enzim itu memberi kebaikan kepada sistem penghadaman manusia kerana ia boleh memecahkan bahan bersaiz besar seperti kanji, protein dan gula selain bagus untuk mengubati sakit perut akibat ketidakhadaman.
"Ketulenan sesuatu jenis madu sebenarnya boleh diukur dengan kehadiran enzim-enzim ini. Teknik yang saya dan rakan-rakan bangunkan di MARDI ialah dengan mencampurkan madu herba terpilih dan dibiarkan pada tempoh masa tertentu.
"Jika madu itu tulen, ia boleh memecahkan bahan berkhasiat tertentu dalam herba terpilih dengan membentuk struktur yang lebih kecil kerana madu tulen mengandungi enzim," katanya.
Tambah Suri, kehadiran bahan antioksidan seperti fenolik dalam madu juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur ketulenan madu kerana bahan itu hadir dalam bunga dan buah yang menjadi makanan lebah.
"Jika madu ditambah dengan sumber gula lain, biasanya bahan fenolik ini akan diikat dengan gula yang ditambah dan ia bakal berkurang atau tidak dapat dikesan lagi apabila diuji menggunakan peralatan makmal," ujarnya


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4rbiC3HI5 
Hakcipta terpelihara 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock