Upacara dimulakan dengan Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan dan perkakas Nobat Diraja yang dikendalikan oleh Raja Chik Muda Pawang Diraja, Raja Rosli Raja Mohamad di Balairung Seri, Istana Iskandariah pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Berangkat sama dalam majlis tersebut, bonda Sultan Nazrin, Raja Permaisuri Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Upacara tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berlangsung dalam keadaan gelap dan hanya diterangi cahaya lilin yang dibawa masuk oleh 16 jejawat perempuan.

Setelah selesai upacara memulih perkakas, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat ke tempat bersemayam di puncak Panca Persada setinggi 11 tingkat di pekarangan istana yang dibina khas bagi Istiadat Bersiram Tabal.

Dalam upacara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berada di bawah sehelai kain putih yang direntang dan dipegang oleh empat kerabat diraja wanita di setiap penjuru di tempat persemayaman pasangan diraja itu.

Istiadat disempurnakan dengan air yang diambil dari tujuh kuala Sungai Perak pada sebelah pagi ini, dicurahkan ke atas baginda berdua dengan diketuai Raja Chik Muda Pawang Diraja diikuti Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik dan adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Azureen.

Baginda berdua kelihatan ceria sambil tersenyum sewaktu menjalani istiadat itu yang berlangsung selama kira-kira lima minit.

Sepanjang upacara itu berlangsung, lagu Raja Berangkat (Gendang Berangkat) dan Puteri Mandi Mayang dimainkan oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak.

Sejurus selesai Istiadat Bersiram Tabal, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara diselimutkan dengan kain songket bersulam benang emas sebelum turun dari Panca Persada.

Selepas menukar persalinan di Bilik Kesenangan, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat ke Balairung Seri untuk Istiadat Santapan Nasi Berastakona, sekali gus menyempurnakan Istiadat Tabal Pusaka.

Baginda berdua kemudian menghadiri majlis santapan di Dewan Santapan istana bersama dengan kaum kerabat, pembesar negeri dan tetamu yang lain.

Semalam, Sultan Nazrin ditabal sebagai Sultan Perak ke-35 dan Tuan­ku Zara dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak dalam Istiadat Tabal Adat yang berlangsung di Istana Iskandariah.

Istiadat Tabal Pusaka merupakan antara enam istiadat yang perlu disempurnakan sempena pertabalan Sultan Perak.
Istiadat tersebut mengandungi beberapa istiadat kecil termasuk Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal Di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Pemulihan Perkakas-perkakas Kerajaan, Istiadat Bersiram Tabal dan Istiadat Santapan Nasi Berastakona.