Istiadat pertabalan itu kembali berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini selepas kali terakhir diadakan 30 tahun lalu ketika ayahanda Sultan Nazrin, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ditabal sebagai Sultan Perak Ke-34 pada 9 Disember 1985, selepas dimasyhurkan pada 3 Februari 1984.

Dalam Istiadat Tabal Adat yang bermula pukul 11.10 pagi itu, Tuanku Zara Salim turut dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.
Terdahulu, Sultan Nazrin menerima hormat diraja dan memeriksa anggota kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Markas Dua Divisyen sambil diiringi lagu kebesaran negeri yang dimainkan oleh kumpulan Pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pukul 9 pagi.
Baginda segak bergaya mengenakan persalinan rasmi lengkap dengan perkakasan kebesaran negeri termasuk tanjak, Pontoh Bernaga dan Rantai Bunga Nyiur manakala Tuanku Zara memakai tiara, Pontoh Ular Lidi, Agok dan Dokoh.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berangkat masuk serta bersemayam di atas singgahsana di Balairong Seri dengan didahului jejawat-jejawat istana membawa masuk kesemua 16 lembing dan 16 payung kerajaan berukir perak.

Sejurus itu, Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Ir. Mohamad Othman Zainal Azim dititah menghadap bagi memohon perkenan tuanku untuk memulakan istiadat.

Istiadat dimulakan dengan baca­an ayat suci al-Quran oleh Radzi Kamarul Hailan sebelum Timbalan Mufti, Zamri Hashim membawa masuk kitab suci al-Quran ke dalam Balairong Seri dan menyerahkannya kepada Orang Kaya-Kaya Imam 
Paduka Tuan, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti untuk dipersembah kepada Sultan Nazrin lalu dikucup oleh baginda serta diletakkan di tempat khas.

Istiadat diteruskan dengan kehadiran Raja Chik Muda Pawang Diraja menatang Pedang Cura Si Manja Kini masuk ke dalam Balairong Seri dan dipersembah oleh Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin kepada Sultan Nazrin.


Sultan Nazrin kemudian ber­kenan menerima pedang tersebut yang dimiliki oleh Sang Sapurba dan diwarisi sejak Sultan Perak pertama, Sultan Mudzaffar Shah; lantas menghunus mata pedang serta mengucupnya.
Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik kemudian menaiki singgahsana bagi mempersembah Mestika Embun serta menyunting Cap Halilintar ke telinga kanan Sultan Nazrin sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul sultan) kepada baginda.



Selepas itu, Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja membaca pemasyhuran pertabalan Sultan Nazrin sebelum melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali berturut-turut diikuti sekalian yang hadir. Serentak itu, Nobat Tabal kembali bergema setelah hampir 30 tahun tidak dipalu seiring dengan 21 das tembakan meriam.

Istiadat diteruskan lagi dengan pemasyhuran Tuanku Zara sebagai Raja Permaisuri Perak setelah warkah pengisytiharan gelaran istiadat yang dibawa masuk oleh Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim dengan diapit oleh dua bentara, dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.

Sultan Nazrin kemudian menye­mat Bunga Pencawa Pencara ke rambut Tuanku Zara sebelum Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian yang hadir serta diiringi oleh paluan nobat.

Sebaik sahaja selesai, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan sementara Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mewakili kerajaan dan rakyat.

Atur cara berkenaan diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas Sultan Nazrin menyampaikan titah baginda selepas ditabal sebagai Sultan Perak.

Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda kemudian dititahkan semula menghadap bagi memohon perkenan untuk menutup istiadat tersebut.

Turut berangkat ke istiadat tersebut, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Raja Permaisuri, Tuanku Bainun.

Istiadat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri, Pengiran Anak Sarah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra; Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Berangkat sama Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Tengku Seri Temenggong Terengganu, Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin
Sultan Badlishah, Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang 

Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman dan menteri-menteri turut menyaksikan istiadat penuh bersejarah itu.

Pertabalan Sultan Perak Ke-35 melibatkan beberapa istiadat bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Ahad lalu, diikuti Istiadat Tabal Adat, Istiadat Tabal Pusaka, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Menziarahi Makam-makam Diraja sebelum diakhiri Istiadat Menutup Kerja pada 17 Mei ini.

Selain itu, Santapan Pertabalan bagi meraikan raja-raja, pembesar-pembesar negeri dan sahabat baginda dari dalam dan luar negara akan diadakan pada 9 Mei ini.