TAIP KATA KUNCI CARIAN ANDA DI SINI:

Wednesday, January 14, 2015

Hanya 1000 PATI ditangkap @ Cameron Highlands


Pasti kita tercari-cari di mana perginya 29,000 baki pendatang asing tanpa izin yang dinyatakan oleh Utusan Malaysia dibawah tajuk 'Cameron ditawan'‎ bulan Oktober tahun 2014 kalau tak silap saya.

Semalam, Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan jumlah yang ditahan dan ditangkap sah sebagai PATI adalah sekitar 979 orang.. 

Laporan dari BERNAMA.

CAMERON HIGHLANDS, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak 979 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Khas di sekitar Cameron Highlands dalam tempoh 4 Dis hingga 31 Dis tahun lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata PATI yang ditahan itu ditempatkan di depot yang ditetapkan untuk siasatan lanjut dan sebahagiannya sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Beliau berkata operasi tersebut tidak akan dilakukan secara bermusim tetapi ia akan diteruskan dengan mengesan PATI yang cuba menyorok atau lari ke kawasan lain.

"Kita tidak akan berhenti melakukan operasi...hari ini, esok dan lusa akan diteruskan secara berkala dan tidak berhenti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Imigresen Cawangan Cameron Highlands di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan risikan untuk memantau perkembangan mengenai PATI di kawasan tanah tinggi itu yang melibatkan agensi penguat kuasa antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan laporan media sebelum ini mengenai kebanjiran kira-kira 30,000 PATI di sini sebagai tidak munasabah kerana sehingga kini dakwaan itu tidak dapat dibuktikan.

"Apabila kita buat operasi tidak dapat membuktikan (dakwaan) sedemikian, jumlah yang dapat ditangkap setakat ini jauh berbanding apa yang dilaporkan media.

"Ada yang dakwa PATI sudah lari ke Lojing di Kelantan atau Tapah, tapi bila kita lakukan operasi sebenarnya tak ramai pun PATI di sana. Saya harap media berhati-hati apabila melaporkan sesuatu isu," katanya.

Mengenai Pejabat Imigresen Cawangan Cameron Highlands beliau berkata ia dapat memudahkan urusan penduduk dan majikan yang sering merungut untuk mendapatkan perkhidmatan imigresen.

"Kita mendapat rungutan daripada penduduk dan majikan di sini, yang mana sukar untuk berurusan kerana mereka terpaksa pergi ke Kuantan atau Ipoh untuk mendapatkan permit pekerja asing atau urusan lain yang sering tidak dapat dilakukan dengan sepenuhnya," katanya.

-- BERNAMA



Sent from my BlackBerry 10 smartphone.

No comments:

KOLEKSI CATATAN:

My Photo Collection @ Shutterstock